Sabtu, 31 Disember 2011

TIGA SAINTIS MUDA USM TERIMA GERAN BERJUMLAH RM 55,000


PULAU PINANG, 28 Dis -  Dua pelajar ijazah tinggi dan seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dianugerahkan geran penyelidikan sains dan teknologi Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) berjumlah RM 55,000 dalam satu majlis khas yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penganugerahan geran tersebut dibuat bagi membiayai penyelidikan asas yang berkaitan dengan bidang yang diikuti pelajar berkenaan, selain turut menjadi platform khusus dalam menyokong usaha kerajaan melahirkan saintis muda berpotensi.

Menurut satu kenyataan dari Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM, pencalonan bagi mendapatkan geran tersebut dibuat melalui  cadangan dari pihak universiti dan wakil-wakil dari institusi sains dan sebagainya.

Tiga calon USM berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 saintis muda yang layak diberikan geran, antaranya ialah pelajar Ijazah Sarjana dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Teh Yi Lee melalui kajiannya yang bertajuk  Phylogenetic analysis of Aspergillus  species based on internal transcribed spacer (ITS) and β-tubulin gene sequences.

Yi Lee mendapat geran berjumlah RM 20,000 manakala Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Tan Pi Lin turut merangkul geran dengan jumlah yang sama melalui kajiannya, Investigation of the interaction between Synthetic Porphyrin as an Organic Film and Flexible Substrate.

Turut tersenarai, Dr. Pung Swee Yong juga pensyarah dari PPKBSM turut berjaya memperoleh geran berjumlah RM 15,000 bagi penyelidikannya, Photocatalytics study of manganese oxide nanowires with different polymeric phase.

Majlis penyampaian geran penyelidikan tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Polisi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad telah dijalankan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sumber:Laman Web USM 
EXCO PENERANGAN,PUBLISITI & MULTIMEDIA

Selasa, 27 Disember 2011

solat hajat perdana

salam...

Majlis Perwakilan Pelajar USM dengan kerjasama desasiswa USM akan mengadakan majlis solat hajat perdana di ketiga - tiga kampus USM di kampus induk, kampus kejuruteraan Nibong Tebal dan kampus kesihatan Kubang Kerian selepas solat Maghrib. Semua dijemput hadir.


semua dijemput hadir...

Sabtu, 24 Disember 2011

Selamat Menghadapi Peperiksaan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia ingin merakamkan ucapan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester 1 sidang 2011/2012. Semoga segala usaha mahasiswa dan mahasiswi USM selama ini diberkati dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

MPPUSM juga ingin mengingatkan kepada pelajar-pelajar yang pulang ke kampung halaman semasa minggu ulangkaji ini agar berhati-hati di jalanraya, PANDU CERMAT JIWA SELAMAT.., Kepada yang tidak pulang ke kampung halaman, luangkanlah masa ulangkaji ini dengan mengulangkaji sebaik mungkin.Ingatlah tanggungjawab kita sebagai mahasiswa,tanggungjawab kita sebagai anak dan pemimpin negara di masa hadapan.

Justeru,MPPUSM sekali lagi mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan..

"YA ALLAH,PERMUDAHKANLAH SEGALA USAHA KAMI DALAM MENEMPUH CABARAN HIDUP YANG ENGKAU BERIKAN, TENANGKANLAH HATI KAMI DALAM MENIMBA ILMU DAN KURNIAKANLAH KESIHATAN YANG BAIK SEMASA KAMI MENGHARUNGI PEPERIKSAAN,AMIN YA RABBAL'ALAMIN"

Khamis, 22 Disember 2011

YOUTH SEMINAR ON FOREIGN POLICY:JAGA, SETIA DAN RAJIN BERTANYA KUNCI CEMERLANG


PULAU PINANG, 20 Dis – Siswa-siswi yang akan melangkah ke dunia pekerjaan khususnya di sektor awam disaran supaya lebih fokus kepada keperluan tugas termasuk menjaga tempat di mana mereka bekerja, setia dan mengamalkan sikap suka bertanya dalam segala hal.
Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Pengerusi Foreign Policy Studi Group (FPSG), Tan Sri Razali Ismail berkata, ketiga-tiga keperluan itu perlu dipenuhi bagi menjamin kejayaan individu dalam melaksanakan tugas yang digalas.

Katanya, graduan perlu tahu tanggungjawabnya menjaga, setia dan bertanyakan segala persoalan di mana sahaja mereka berkhidmat namun ia perlu dibuat dengan cara yang berdiplomasi dan beretika.
``Kita perlu tahu menjaga dan mengambil tahu tempat di mana kita bekerja, memberi kritikan atas hal-hal yang dirasakan perlu serta menanam semangat kesetiaan yang tinggi.
``Kita juga kena bertanya, baik kepada kakitangan yang lebih senior atau sesiapa sahaja untuk kepentingan menambah maklumat dan pengetahuan.  Amalan ini perlu dipupuk mulai sekarang namun biarlah dengan cara yang betul,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Seminar Belia Mengenai Dasar Luar Negara di USM, di sini hari ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Prof. Madya Dr. Azhari Abdul Karim.

Mengulas penganjuran seminar seumpama itu yang julung kali diadakan, beliau berkata: ``Saya gembira dan terkejut dengan hasil yang telah dibentangkan sepanjang dua hari ini oleh para peserta.
Mereka mempunyai masa depan yang cerah dan saya berpendapat sebahagian besar daripada peserta akan mendapat tempat dalam sektor awam di Malaysia sebaik mereka menamatkan pengajian kelak.’’
Omar pula berkata, para peserta mendapat banyak pendedahan dan pengalaman berharga dengan adanya pakar-pakar dalam bidang berkaitan yang turut serta dalam seminar itu, selain turut memberi nilai tambah kepada mereka dalam mengembangkan pemikiran kritis.

``Kita berharap segala hasil yang dibentangkan dalam seminar dapat dipanjangkan kepada penerbitan supaya ia lebih memberi impak daripada dibiarkan begitu sahaja,’’ katanya.
Dalam pada itu, tiga peserta dipilih sebagai terbaik dalam pertandingan menulis esei yang berkisarkan kepada topik mengenai kepentingan atau peranan belia dalam memberi sumbangan kepada negara khasnya dalam hal-hal berkait dengan polisi luar.

Ketiga-tiga mereka ialah pelajar dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, Nik Mohamed Hussein Nik Ali dari USM dan Mohamad Iqbal Ab Wahab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Seminar ini menghimpunkan para belia dari institusi pengajian tinggi di negara ini yang akan membincangkan dan melihat dengan lebih terperinci isu-isu yang berhubungkait dengan hal ehwal luar negara, termasuk yang menyentuk aspek diplomasi, tadbir urus, demokrasi dan sebagainya.

Sumber: Laman Web USM

MOHD HANIF AHMAD
EXCO PENERANGAN,PUBLISITI DAN MULTIMEDIA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM

Jumaat, 16 Disember 2011

USM : UNIVERSITI PERTAMA TERAJU PROGRAM KEUSAHAWANAN BIDANG FARMASEUTIKAL

Pulau Pinang, 16 Dis. – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila buat pertama kali dipilih oleh syarikat kimia berprestij negara, Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) sebagai universiti pertama Malaysia menerajui bidang keusahawanan dalam bidang farmaseutikal.

Program yang dinamakan Jalinan Universiti dan Industri (JATI) di bawah Chemical Company of Malaysia (CCM) telah memilih USM sebagai peneraju dan kolaborasi bersama bagi mensasarkan 500 usahawan muda dari bidang Farmaseutikal sehingga tahun 2020.

Menurut Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), program kerjasama di antara CCM dan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM diharap dapat membuka dimensi baru buat pelajar yang bergraduan dalam bidang tersebut, bukan sahaja menjadi seorang ahli Farmasi berjaya,malah dibentuk menjadi ahli perniagaan dan usahawan masa hadapan.

“Sekiranya program JATI CCM-USM diambil penelitian secara terancang, saya percaya ia mampu melatih pelajar agar tidak terikat kepada sudut pandangan konservatif dan memupuk graduan agar berkeupayaan menjadi berbeza dengan yang lain melalui penyebaran ilmu untuk faedah masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan program Jalinan antara Universiti dan Industri (JATI) CCM-USM di Kompleks Cahaya, USM.

Tambahnya lagi, Pusat Pengajian Sains Farmasi bukan sahaja perintis di dalam bidang penghasilan ubat-ubatan, malah telah melahirkan ramai graduan yang berdikari dan bekerja sendiri melalui bidang perniagaan.

“Graduan Farmasi USM senantiasa diperlengkapkan sebaik mungkin bukan sahaja ilmu tetapi juga pengalaman, cantuman ini saling melengkapi dan pastinya akan menguntungkan negara kelak”

Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, Pusat Pengajian Sains Farmasi telah menghasilkan sumber rujukan pertama di dunia untuk penghasilan perubatan menggunakan sumber bahan yang halal, iaitu Pharmacopia.

“Pihak PPSF melalui kerjasama dan buah idea para pensyarah dan penyelidik telah berjaya menghasilkan Pharmacopia, sumber rujukan pertama dunia untuk ahli farmasi merujuk dan menganalisis bagi mencipta ubat-ubatan menggunakan bahan yang sah dari segi kehalalannya,” katanya selepas majlis perasmian.

Katanya, sekiranya tiada apa-apa halangan, Pharmacopia bakal dilancarkan pada tahun hadapan dan USM merupakan perintis pertama dunia yang menghasilkan sumber rujukan tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) dan Prof. Sudesh Kumar, Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat USM.

(Sumber: Laman Web USM)
 
Exco Penerangan,Publisiti & Multimedia
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011

Pandangan Anda : Pindaan AUKU Seksyen 15


Salam Aspirasi Mahasiswa..
Perhatian kepada sahabat-sahabat warga USM..
MPP akan membuka booth di foyer DK 15/16/19 Disember 2011 untuk menerima pandangan bertulis oleh seluruh warga kampus berkenaan 'apakah yang diinginkan dalam seksyen 15 AUKU yang baru oleh para mahasiswa USM'.
Segala pandangan mahupun pendapat bertulis boleh lah diserahkan kepada MPP @ Blog MPP @ Sahabat MPP yang bertugas di kaunter..
Pandangan saudara-saudari akan dikumpulkan sehingga 20/12/2011 di blog , kaunter ataupun melalui email idzuan_jamalludin@yahoo.com @ ismaliahasimi89@gmail.com dalam bentuk 'words' @ softcopy yang akan di hantar ke Perdana Menteri untuk terus dibawa kepada Jawatankuasa Pembubaran Seksyen 15 AUKU yang diumumkan baru-baru ini.
Di samping itu sahabat-sahabat juga diharap dapat menyalurkan sumbangan derma kepada sahabat kita (pelajar kampus kejuteraan) yang meninggal dunia tempoh hari. Serta kotak aduan akan diletakkan juga di kaunter..
Kerjasama sahabat-sahabat amat dihargai..Terima kasih
 
"KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI"

Isnin, 21 November 2011

PERTANDINGAN SEJARAWAN MUDA

PERTANDINGAN SEJARAWAN MUDA
www.sejarawanmuda.com

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melantik Double U Network Sdn. Bhd untuk menerbitkan rancangan tv berkonsepkan kuiz realiti kenegaraan yang bertemakan sejarah Malaysia. Sejarawan Muda (13 episod x 60 minit) akan diterbitkan untuk siaran di TVi (RTM).

Sejarawan Muda yang dikendalikan oleh seorang hos menawarkan hadiah wang tunai lebih suku juta ringgit (+RM250,000) untuk para peserta dan penonton di rumah yang menyertai rancangan ini. Penyertaan hanya dibuka kepada warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia.Pemilihan 14 peserta berumur 17-25 tahun akan diadakan di seluruh Malaysia (sila lihat jadual ujibakat peserta) di mana hanya peserta yang berpengetahuan dalam sejarah Malaysia dan memberikan komitmen untuk penyertaan akan dipilih menyertai Sejarawan Muda.

Pada setiap episod, peserta yang mendapat markah paling rendah akan ‘terkeluar’ namun mereka akan membawa pulang hadiah wang tunai iaitu RM98,000 akan dibawa pulang oleh 11 orang peserta. Pada episod akhir (episod 13) hanya 3 peserta sahaja akan bertanding untuk merebut hadiah wang tunai RM100,000 (johan), RM30,000 (kedua) dan RM25,000 (ketiga).

Rakaman akan diadakan di studio tv (Lembah Klang) bersama penonton juga di luar studio, di mana para peserta akan dibawa ke setiap negeri di Malaysia untuk menjejaki/mencari bahan sejarah yang terdapat di setiap negeri tersebut.

Pakar-pakar sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia dan Muzium Negeri juga dijangka terlibat dalam rancangan Sejarawan Muda ini.
Penonton di rumah juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 dengan mengumpul dan menjawab 10 soalan mingguan tentang sejarah Malaysia bersama slogan..
Penerbit:

Double U Network Sdn. Bhd.
23-2A, Tingkat 1, Blok L, Jalan PJU 1/3C,
SunwayMas Commercial Centre,
47301, Petaling Jaya, Selangor.
Tel : +603-78031400
Faks : +603-78031401
E-mel : double_u@streamyx.com, sejarawanmuda@hotmail.com
http://www.sejarawanmuda.co/





Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


 

SENARAI USUL DAN TUNTUTAN YANG DITERIMA DAN DITOLAK OLEH DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (DPPUSM)

by Fatin Syamila Fadzil on Monday, November 21, 2011 at 4:52pm

USUL 1 PEMBINAAN SURAU DI FOYER DEWAN KULIAH


TUNTUTAN


1. Membina satu surau yang boleh digunakan oleh semua pelajar tanpa perlu mencari surau yang jauh. - DITERIMA


2. Mengubahsuai satu atau dua bilik tutorial di kawasan foyer dewan kuliah sebagai surau yang lengkap dengan kawasan berwuduk. Pengubahsuaian ini memerlukan kos yang jauh lebih rendah berbanding kos untuk membina bangunan baru sebagai surau. - DITOLAK


3. Surau juga hendaklah dilengkapi dengan mikrofon dan pembesar suara yang akan membolehkan seseorang azan apabila telah masuk waktu solat. - DITOLAK






USUL 2 MEMOHON MATA MERIT PELAJAR DIPAMERKAN UNTUK TUJUAN PERMOHONAN PENGINAPAN DESASISWA & MEMANTAU KEMBALI MEKANISME PELAKSANAAN SISTEM MERIT


TUNTUTAN

1. Menuntut supaya diadakan pencerahan kembali terhadap polisi yang dilaksanakan oleh pihak pentadbiran mengenai pemberian merit. - TERIMA


2. Mempamerkan jumlah terkumpul merit pelajar-pelajar pada papan kenyataan di mana-mana dalam kawasan kampus pada setiap akhir semester sahaja (2x setahun). - TOLAK


3. Boleh melihat nilai merit pelajar secara terperinci di akaun Campus Online pelajar. - TERIMA


4. PINDAAN Jaminan penempatan secara automatik dalam desasiswa bagi semua pelajar yang aktiF. - TERIMA


5. TAMBAHAN Mata merit juga diberikan kepada sukarelawan untuk PKU yang banyak membantu golongan PKU - TERIMA




USUL 3 PINDAAN USUL PEMBENTANGAN PERUNTUKAN BAJET APEX UNTUK PEMBANGUNAN PELAJAR KEPADA PEMIMPINPELAJAR


TUNTUTAN


1. BHEPP mengadakan satu majlis yang melibatkan wakil pentadbiran (naib canselor) dan pemimpin pelajar (MPP, yang Di-Pertua MPD, persatuan dan kelab yang berdaftar di USM) untuk membentangkan pengurusan bajet APEX serta memberi ruang kepada pemimpin pelajar memberi cadangan penambahbaikan. -TERIMA


2. TAMBAHANLaporan audit tahunan universitI dihebahkan kepada umum -TOLAK




USUL 4 TRANSPARENSI PEMARKAHAN ‘COURSEWORK’


TUNTUTAN


1. Markah setiap pelajar bagi setiap sub-component coursework (kuiz, tugasan, ujian, projek, dll) jelas dinyatakan dan dimaklumkan kapada pelajar selewat-lewatnya pada minggu ulangkaji. -TERIMA


2. TAMBAHAN Pelajar diberi masa tiga (3) hari untuk menyuarakan bantahan dan meminta penjelasan sekiranya markah coursework adalah tidak memuaskan - TERIMA



3. TAMBAHAN Bukan sahaja mata sub-component ditunjukkan, malah sistem pemarkahan juga dinyatakan kepada pelajar -TERIMA





USUL 5 DASAR PENGGUNAAN USM WIFI (DARI SEGI LAMAN WEB/SESAWANG YANG DIHALANG AKSESNYA) PERLULAH DIROMBAK DAN DIPERHALUSI SEMULA


TUNTUTAN


1. Pentadbir sistem Wifi USM merombak dan memperhalusi semula dasar penghalangan akses laman web yang sedia ada dan memastikan laman web yang sememangnya berguna kepada warga ataupun sekurang-kurangnya tidak membawa masalah (seperti contoh yang telah dinyatakan dalam justifikasi/munasabah di atas) tidak disekat dengan tidak munasabah. TOLAK


2. Pentadbir sistem Wifi USM menyediakan pelantar/cara/pungutan suara warga kampus untuk memberikan maklumbalas secara terus sekiranya laman web yang ingin dilayari pengguna wifi (dan bukan lucah, spam, pop up atau mempunyai virus) telah disekat aksesnya dengan tidak munasabah.
TOLAK


3. Pentadbir sistem Wifi USM menyediakan laporan perbandingan penggunaan bandwidth dalam kampus sebelum dan selepas Youtube dibenarkan akses dan teruskan berhubung serta memberi makluman kepada warga kampus tentang usaha penaiktarafan dan penyelenggaraan yang sedang dan akan dilakukan dengan giat. TOLAK


4. TAMBAHAN Meminta pihak Universiti memberi perbelanjaan untuk menaiktaraf internet USM -TERIMA


5. TAMBAHAN Meminta internet bagi ketiga-tiga kampus di USM diselaraskan- TERIMA


* Tuntutan 1, 2, 3 ditolak kerana sudah dilaksanakan






USUL 6 PINDAAN USUL MENAIKTARAF MAKMAL KOMPUTER DI SESETENGAH PUSAT PENGAJIAN



TUNTUTAN


1. Penyelenggaraan terhadap komputer yang menggunakan perisian lama perlu dilakukan sekerap mungkin. -TERIMA


2. Pemeriksaan secara berkala perlu dilakukan agar komputer yang rosak sentiasa diperbaiki atau ditukar ganti dengan yang baru. -TERIMA







USUL 7 MENINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN JALAN RAYA DI HADAPAN PINTU PAGAR A USM KAMPUS KESIHATAN


TUNTUTAN.


1. PINDAAN Menuntut pihak USM menitikberatkan dan melihat isu berkenaan meningkatkan tahap keselamatan jalanraya di hadapan pintu pagar A USM Kampus Kesihatan sebagai satu perkara yang serius. -TERIMA


2. PINDAAN Menuntut pihak USM untuk menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan membuat laluan zebra untuk melintas jalanraya ke seberang jalan di hadapan pintu pagar A bagi pejalan kaki dan seterusnya meletakkan lampu isyarat pejalan kaki mahupun yang lebih baik daripada itu. -TERIMA







USUL 8 PENGAWALAN LALULINTAS DALAM KAWASAN USM PERLU DIPERTINGKAN


TUNTUTAN


1. Jabatan Keselamatan perlu menutup pintu masuk atau mengawal pintu tersebut dengan hanya membenarkan mereka yang mempunyai kad USM sahaja masuk semasa waktu tersebut bagi mengelakkan kesesakkan yang sememangnya berlaku ke atas warga USM sendiri. Cara ini juga bagi menghalang orang luar masuk ke dalam USM semata-mata untuk melalui jalan “shortcut”. -TOLAK


2. Pemberian pelekat kenderaan perlu ditapis dan diberikan kepada mereka yang benar-benar aktif dalam organisasi. -TOLAK


3. Pemeriksaan oleh Jabatan Keselamatan lebih kerap perlu diadakan bagi memastikan semua kenderaan yang diparking mempunyai pelekat. -TOLAK


4. Denda perlu dikenakan bagi kenderaan yang tidak mempunyai pelekat. -TOLAK


5. TAMBAHANMPP berbincang dengan pihak MPPP untuk memanjangkan masa lampu isyarat. -TERIMA


* Tuntutan 2, 3, 4 ditolak kerana telah dibawa oleh MPP






USUL 9 PINDAAN USUL MEMPERKETATKAN KAWALAN KESELAMATAN DESASISWA DI SEMUA DESASISWA DAN MEMPERKETATKAN KAWALAN KESELAMATAN DI DESASISWA-DESASISWA YANG BERPOTENSI UNTUK DICEROBOH SERTA MELONGGARKAN SEDIKIT BIROKRASI YANG TELAH DITETAPKAN KEPADA PENGAWAL KESELAMATAN



TUNTUTAN


1. Pengawasan perlu diperketatkan dengan melakukan rondaan sekerap mungkin oleh pengawal keselamatan. -TERIMA


2. PINDAAN Menyediakan pengawal keselamatan di setiap blok. -TOLAK

3. PINDAAN Pemasangan grill pada aras yang berpotensi besar untuk diceroboh. -TERIMA


4. Selain penggawa dan pengurusan, Yang Dipertua Desasiswa juga boleh memberi kebenaran kepada Jabatan Keselamatan untuk masuk ke desasiswa sekiranya berlaku kecemasan. -TERIMA





USUL 10 PERKHIDMATAN DOKTOR PERGIGIAN DI SETIAP KAMPUS


TUNTUTAN


1. Perkhidmatan doktor gigi di Kampus Kejuruteraan diteruskan. TERIMA


2. PINDAAN Memohon pihak pengurusan universiti dapat menyediakan doktor gigi tempatan atau menyerap graduan lepasan kursus pergigian agar kes ini tidak akan berulang lagi -TERIMA


3. Memohon agar melantik salah sebuah klinik gigi di sekitar USM dijadikan sebagai klinik panel USM. -TERIMA






USUL 11 YURAN AKTIVITI SEPUNYA UNIVERSITI DIMANSUHKAN DENGAN DITANGGUNG SEPENUHNYA OLEH UNIVERSITI


TUNTUTAN


1. Yuran aktiviti yang dikenakan perlu dimansuhkan. -TERIMA


2. Pihak universiti perlu menanggung kos tersebut kerana aktiviti yang dijalankan berfungsi untuk mencari pelajar yang berbakat untuk calon varsiti yang akan mewakili universiti bagi pertandingan yang dianjurkan oleh pihak luar. Oleh yang demikian, wajar kos ini ditanggung oleh universiti kerana hasilnya adalah untuk universiti juga. -TERIMA






USUL 12 AKTIVITI SEPUNYA UNIVERSITI YANG MELIBATKAN RAMAI PESERTA DIADAKAN DI INDUK MANAKALA AKTIVITI YANG MEMERLUKAN PENYERTAAN SEDIKIT DIADAKAN DI KAMPUS LAIN


TUNTUTAN


1. Aktiviti sepunya universiti yang melibatkan ramai penyertaan dijalankan di Kampus Induk manakala aktiviti yang melibatkan penyertaan sedikit dibuat di Kampus Kesihatan. TERIMA


2. Ia perlu diselaraskan bagi setiap tahun. TERIMA


3. Pihak universiti perlu menanggung separuh atau sepenuhnya perbelanjaan bagi desasiswa Kampus Kesihatan sebagai ganti kepada pertukaran ini. TERIMA






USUL 13 SEKSUALITI MERDEKA 2011


TUNTUTAN


1. PINDAAN Meminta DPP USM untuk menghantar memorandum supaya mengutuk sekeras-kerasnya program terbabit -TERIMA


2. Meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan rakyat Malaysia yang menyertai program terbabit -TERIMA






USUL 14 PENYELARASAN ELAUN PESERTA YANG MEWAKILI DESASISWA MENGIKUT PERINGKAT


TUNTUTAN


1. Pihak universiti perlu menyelaraskan elaun bagi peserta dari semua desasiswa mengikut peringkat.


Contoh :


-PINDAAN Aktiviti dalam kampus : RM 15.00 / seorang
-PINDAAN Aktiviti peringkat luar kampus : RM 25.00 / seorang

DITERIMA






USUL 15



PINDAAN USUL PENANGGUHAN AKTIVITI KOKURIKULUM KEPADAHARI LAIN SEMASA PELAKSANAANSUKAD DAN TOT DILANGSUNGKAN


TUNTUTAN


1. PINDAAN Aktiviti kokurikulum perlulah ditangguh semasa berlangsungnya SUKAD dan TOT bagi memudahkan mereka yang berminat untuk mengikutinya tanpa halangan -TERIMA


2. TAMBAHAN Memohon pihak Pusat Kokurikulum agar mengeluarkan surat pelepasan kepada badan pelajar untuk membenarkan pelajar menyertai SUKAD dan TOT. -TERIMA







USUL 16 PERSAINGAN MERIT UNTUK PELAJAR KURSUS IJAZAH SARJANA MUDA DOKTOR PERUBATAN(MD) DAN IJAZAH SARJANA MUDA DOKTOR PERGIGIAN(DDS) DILAKUKAN BERASINGAN DENGAN PELAJAR PUSAT PENGAJIAN SAINS KESIHATAN


TUNTUTAN


1. Pelajar kursus MD dan DDS akan bersaing sesama mereka manakala pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan akan bersaing sesama mereka untuk mendapatkan penempatan di desasiswa masing-masing. -TOLAK


2. PINDAAN Pembahagian bilik dilakukan dahulu mengikut nisbah pelajar di pusat pengajian sebelum menentukan ‘cut off point’ merit bagi pelajar kursus MD, DDS dan Sains Kesihatan untuk mengelakkan ketidakadilan terhadap pelajar kursus Sains Kesihatan. -TOLAK






USUL 17 PEMBAYARAN SEPARUH HARGA PENGINAPAN OLEH MPD


TUNTUTAN


1. MPD diberi kelonggaran untuk memilih bilik serta rakan bilik yang aktif dikekalkan. -TERIMA


2. Yuran penginapan MPD ditanggung separuh oleh universiti dan selebihnya ditanggung sendiri bagi membezakan MPD dengan ahli lain serta sebagai ehsan universiti kepada MPD sepanjang perkhidmatan mereka terhadap desasiswa. TOLAK


3. TAMBAHAN Kuota ahli MPD diadakan; setiap MPD diberikan kuota yang sama untuk setiap desasiswa -TOLAK






USUL 18 PINDAAN USUL PIHAK USM SEHARUSNYA MENINGKATKAN KEBAJIKAN MAHASISWA KELAINAN UPAYA TERUTAMANYA MAHASISWA BUTA


TUNTUTAN


1. PINDAAN Menyediakan kemudahan bagi mahasiswa/i yang cacat penglihatan sebagai bentuk empati kepada mereka terutamanya di pusat pengajian dan desasiswa TERIMA


2. TAMBAHAN Menempatkan PKU di desasiswa yang berdekatan dengan Pusat Pengajian dan Perpustakaan TERIMA


3. Membentuk sekretariat sukarelawan khusus untuk membantu PKU TERIMA






USUL 19 PENGAMBILAN SUNTIKAN PELALIAN VAKSIN 'HUMAN PAPILLOMAVIRUS' (HPV) KEPADA GOLONGAN WANITA KHUSUSNYA SISWI USM


TUNTUTAN


1. Menuntut agar Pusat Sejahtera USM dan Hospital USM menyediakan suntikan pelalian vaksin HPV ini secara percuma kepada semua mahasiswi USM. TERIMA

2. PINDAAN Menuntut agar diberi diskaun 50% bayaran suntikan pelalian vaksin HPV ini kepada mahasiswi sekiranya tidak dapat memberikannya secara percuma, mahupun cadangan yang lebihbaik dari itu. TOLAK





USUL 20 KELESTARIAN BAS-BAS DI USM


TUNTUTAN


Disini, saya memberi cadangan bahawa setiap bas di USM ditukarkan dari menggunakan diesel yang semestinya akan menghasilkan asap yang banyak, kepada penggunaan gas asli seperti bas ‘rapid’ yang tidak mengeluarkan asap dan mesra alam. Sekiranya tuntutan usul dilaksanakan, tiada lagi masalah pencemaran udara berlaku dan seterusnya dapat menjamin kelestarian hari esok.
-TOLAK





USUL 21 (TERGEMPAR) MEMINDA SEKSYEN 15 (5) AKTA UNIVERSITI KOLEJ UNIVERSITI (AUKU) BAGI MEMMBOLEHKAN MAHASISWA BERPOLITIK DAN MENGHALANG KEMASUKAN POLITIK LUAR



TUNTUTAN


1. Membuat pindaan semula Seksyen 15 dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) -TOLAK


2. Pihak Universiti tidak membenarkan parti politik untuk masuk ke dalam kampus -TERIMA


* Tuntutan 2 diterima kerana sudah ada dalam peraturan Universiti





USUL 22 (TERGEMPAR) MEMINTA PIHAK USM UNTUK MEMBUAT SATU PERSETUJUAN PERSEFAHAMAN (MOU) DENGAN PIHAK NGO BAGI MEMBERI PELUANG PEKERJAAN KEPADA PARA PENDIDIKAN USM


TUNTUTAN


1. Memohon pihak USM untuk membuat satu persetujuan persefahaman (MOU) dengan pihak NGO sedia ada dan yang bersedia untuk menerima para pendidik USM selepas bergraduasi nanti -TOLAK


2. Memohon pihak USM untuk sentiasa memastikan persetujuan ini akan berlangsung dan sentiasa digunapakai demi masa depan para pendidik USM. -TOLAK


3. TAMBAHAN Memohon pihak USM untuk mencadangkan kepada pihak KPM dan KPT untuk mengadakan kuota penempatan untuk graduan ISMP Bukan Tajaan Biasiswa KPM di sekolah-sekolah sebanyak 50 % dari jumlah kekosongan -TERIMA


SEKIAN,

Yang menjalankan tugas,

NIK MOHAMED HUSSEIN NIK ALI
Speaker
Dewan Perundingan Pelajar
Universiti Sains Malaysia (DPPUSM)

FATIN SYAMILA BINTI FADZIL
Setiausaha
Dewan Perundingan Pelajar
Universiti Sains Malaysia (DPPUSM)


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR TOLAK CUBAAN MEMINDA AUKU & KECAM SEKSUALITI MERDEKA

DPP5_WEB
Naib Canselor bersama-sama pelajar kurang penglihatan yang turut menjadi Pemerhati DPPUSM
PULAU PINANG, 19 November: Majoriti ahli-ahli Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menolak usul untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebaliknya  meminta agar universiti tidak membenarkan parti politik memasuki dalam kampus serta menghormati idealisme mahasiswa.
Usul tergempar itu dikemukakan oleh seorang ahli DPP, Mohd. Iswandy Ishak dalam persidangan pertama DPP pada Sidang Akademik 2011-2011 yang bermula jam 9.00 pagi ini yang telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM. DPP USM mempunyai seramai 58 ahli yang boleh mengundi dan 51 orang pemerhati.
Usul tergempar tersebut dikemukakan untuk  meminta supaya Seksyen 15 AUKU dipinda untuk membenarkan penglibatan pelajar universiti dalam politik sama ada dengan bersimpati, menyokong atau menyertainya tanpa perlukan kelulusan pihak universiti.
Nik Mohamed Hussein Nik Ali, Speaker Dewan membenarkan usul tersebut dibahaskan dan kemudiannya dibuat pengundian.
Ahli-ahli DPP  telah membahaskannya selama kira-kira 40 minit yang sebahagian besarnya berpendapat  bahawa Seksyen 15 AUKU tidak wajar dipinda dan perlu dikekalkan kerana ia akan mengancam proses pembelajaran pelajar serta mengganggu ekosistem pengajian yang ada sehingga menjejaskan proses penjanaan dan pembangunan ilmu di kampus terutamanya dalam kalangan pelajar.
Seramai 46 orang ahli mengundi menolak usul tersebut, manakala 12 orang ahli menyokong.
Mengulas pandangan dan semangat yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan pada hari ini, Nik Mohamed Hussein berkata, “Secara majoritinya kami berharap agar universiti memandang serius perkara ini dan jangan sama sekali membenarkan parti politik mengembangkan pengaruhnya secara langsung dalam kampus dengan mengajak siswa-siswi terlibat sama sehingga akhirnya idealisme mahasiswa akan terjejas dan terhakis.”
Ahli Dewan Muhammad Idzuan Jamalludin berpendapat jika AUKU dipinda ia akan mengancam keseluruhan ekosistem kampus yang ada sekaligus mengganggu proses pembelajaran kerana terikat dengan kepentingan politik berparti yang sukar untuk dikawal.
Katanya lagi, di universiti sudah cukup banyak ruang dan kebebasan yang diberi kepada siswa-siswi untuk mematangkan diri dan melibatkan diri dalam politik kampus yang bebas daripada ideologi mana-mana parti politik yang khusus sebaliknya berusaha membangunkan diri untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
Tambah Muhammad Idzuan yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar USM, AUKU sebenarnya berusaha untuk mengekalkan kebebasan mahasiswa daripada diikat oleh mana-mana parti politik. Campur tangan pihak luar dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada mahasiswa apatah lagi untuk bersikap bebas dan mencari kebenaran melalui proses penjanaan ilmu yang dilakukan selama ini.
Persidangan sehari ini, membahaskan 20 usul yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa, pembinaan surau di dewan kuliah, merit pelajar, ketelusan markah kerja kursus, menaik taraf komputer, masalah lalu lintas, perkhidmatan pergigian, meningkatkan kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU), pembentangan bajet APEX dan pengambilan suntikan HPV untuk pelajar.
Turut dibahaskan ialah isu penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang ditolak dan dikecam sekeras-kerasnya oleh ahli-ahli Dewan yang menganggapnya sebagai keterlaluan dan bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat yang beragama dan bermoral.
Dewan turut membincangkan dan meluluskan dengan pindaan usul tergempar yang meminta agar Universiti bersama-sama menangani isu graduan Pendidikan yang tidak diberikan penempatan untuk mengajar sebaliknya meminta supaya diadakan persefahaman dengan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dan petempatan.
Dari 20 usul yang dibentang,  17 daripadanya diterima dan dibuat pindaan manakala selebihnya ditolak oleh ahli-ahli Dewan.
Persidangan DPP kali ini berakhir jam 6.30 petang ini.  DPP ditubuhkan pada tahun lalu oleh USM sebagai manifestasi dari Parlimen Mahasiswa yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mengemukakan usul, memilih dan membahas untuk diterima atau ditolak tanpa campur tangan universiti.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

USM BERHASRAT WUJUDKAN DPP SEDUNIA

PULAU PINANG, 19 Nov – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk meneroka peluang bagi melaksanakan satu Dewan Perundingan Pelajar (DPP) di peringkat dunia bagi meningkatkan martabat ilmu dan memperkasakan mahasiswa secara holistik.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, sudah tiba masanya mahasiswa universiti berfikiran di luar kotak bagi membezakan mereka dengan pihak lain, sekaligus membuktikan berada pada tahap yang tinggi dalam bidang yang dimulakan dan menjadi kekuatan universiti.
Katanya, dalam konteks DPP, mahasiswa disaran untuk lebih proaktif dengan pengaplikasian konsep diplomasi ilmu untuk menjadikan sebahagian Ahli Dewan yang melibatkan juga kepentingan pelajar antarabangsa.
``Kita perlu memperkasakan DPP dan tampil unik serta berbeza dengan orang lain. Cadangan DPP sedunia dilihat signifikan untuk membincangkan pelbagai isu-isu yang melibatkan kepentingan pelajar antarabangsa baik di sini atau di luar sana,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pembukaan Rasmi DPP USM di sini hari ini. Persidangan ini adalah yang pertama untuk sidang pengajian 2011/2012 dan menjadi kesinambungan kepada  usaha yang telah dimulakan tahun-tahun sebelumnya.
Omar turut berkata, DPP yang menjadi manifestasi kepada parlimen mahasiswa adalah medan untuk para pelajar memberi, menerima, memilih usul, berdebat dan berbahas secara sihat serta membuat keputusan secara mandiri tanpa campur tangan universiti mahupun pihak lain.
Tambah beliau, ia juga adalah satu proses transformasi untuk memberi makna kepada kebebasan yang menjadi sebahagian daripada autonomi terpimpin dan berakauntabiliti, yang pada akhirnya dapat membentuk sahsiah dan cara hidup siswa-siswi.
``Saya juga ingin mengingatkan bahawa apa jua yang kita lakukan termasuk mengamalkan nilai-nilai kebebasan harus berteraskan kepada prinsip hormat-menghormati. DPP yang mengambil semangat kebebasan bersuara, berbahas dan berdebat perlu berpegang kepada prinsip itu.
``Dalam tindakan kita, batas etika dan sempadan yang mebawa kepada kekeruhan hubungan, kekeliruan, tindakan peribai dan melayan perasaan sendiri perlu dielakkan,’’ katanya.
Beliau turut memberi penringatan kepada Ahli Dewan untuk tidak berpuas hati dengan perkara yang telah dicapai kerana ia dikhuatiri membawa seseorang ke jurang bahaya.
``Bersikap selesa hanya akan mengherat kita untuk berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya dan oleh kerana itu mahasiswa perlu melihat dan menghayati motto USM iaitu Kami Memimpin dengan sepenuh hati,’’ jelas beliau.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

USM SEDIA BANTU PELAJAR

PNSUNGAISETAR
Profesor Dato' Omar Osman bersama-sama kenamaan lain meraikan pelajar-pelajar terbaik dan ibu bapa.
NIBONG TEBAL, 18 November, Universiti Sains Malaysia (USM) sedia bantu pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan terutamanya dalam subjek seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik melalui kelas tambahan semasa cuti.

Hal ini dinyatakan oleh Profesor Dato' Omar Osman, Naib Canselor USM ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Pelancaran Kelab Alumni Sekolah Kebangsaan Sg. Setar di sini malam ini.

Omar adalah bekas pelajar sekolah tersebut.

Beliau turut menyeru guru-guru dan mereka yang berkelayakan untuk memohon masuk mengikuti pengajian di USM termasuk melalui pengajian jarak jauh.

"Dengan cara ini kita dapat tingkatkan ilmu untuk memajukan kerjaya dan masa depan," kata Omar.

Turut hadir ialah Dato' Hj Zainal Abidin Hj Osman, Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  Yang Dipertua PIBG, Hj Rashdi Hj Zinol serta guru besar, guru-guru dan pemimpin tempatan.

Pada majlis yang sama, disampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini.

Berita & Foto: Mohamad Abdullah 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

GABENOR JENERAL KANADA KONGSI PANDANGAN SAMA

usmjeneral
PULAU PINANG, 17 Nov – Gabenor Jeneral Kanada, David Johnston berkongsi pandangan yang sama dan bersetuju dengan konsep ilmu yang diterapkan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang  tidak meletakkan jurang di antara kedua-dua bidang sains dan sastera.
Katanya, sains dan sastera adalah disiplin ilmu yang berhubungkait di antara satu sama lain dan tiada garisan yang mengasingkannya kerana kedua-dua ilmu itu wujud untuk mencari dan mendedahkan kebenaran.
``Perkara ini mengingatkan saya kepada beberapa individu terkenal di dunia yang mana mereka menggabungkan kedua-dua cabang ilmu itu dan menghasilkan output yang mampu mencipta sejarah dan terkenal di serata pelosok dunia,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahannya yang bertajuk The Diplomacy of Knowledge: Education and Globalisation in the 21st Century di sini baru-baru ini. Turut serta dalam syarahan itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin.
Tambah Johnston, antara tokoh yang dimaksudkannya adalah Mendiang Steve Job yang unggul dengan teknologi yang dibawanya melalui produk Apple serta Da Vinci dengan hasil seninya yang sehingga kini tidak dapat ditandingi.
Beliau turut berkata, universiti pada hari ini juga perlu memainkan peranan penting dalam membina dunia yang lebih pintar dan sejahtera.
``Dengan itu, universiti harus tahu hala tujunya selain dari menjadi tempat untuk pelajar mendapatkan ilmu yang terbaik. Kita harus tampil unik dangan mengenalpasti dan membangunkan kekuatan dan kepakaran sendiri yang mapan,’’ jelasnya.
Beliau juga turut melahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang dilakukan Malaysia, khususnya dalam membangunkan bakat manusia yang disifatkannya sebagai sangat penting untuk merubah keadaan manusia.
Beliau yang pertama kali ke negara ini 30 tahun dahulu turut menyuarakan rasa senang dengan aspirasi para pemimpin di negara ini yang memahami kepentingan dalam menjadikan ilmu sebagai satu agen bagi memberi sinar baru dalam kehidupan manusia.
Katanya, ilmu mempunyai kuasa yang tersendiri yang mana ia perlu dijadikan perkara penting  untuk meningkatkan kemampuan dan daya saing manusia.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM sentiasa berusaha untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan pihak antarabangsa dan kesempatan mengikuti syarahan itu bersama Johnston dilihat bertetapan dengan usaha itu.
``Topik yang dibincangkan pada hari ini juga amat berkaitan dengan USM dan berharap lebih banyak kolaborasi dapat direalisasikan dengan pihak luar khasnya Kanada bagi mengangkat martabat bidang ilmu,’’ katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

DUA PROGRAM SARJANA USM DIIKTIRAF ANTARA 100 PROGRAM SARJANA TERBAIK DUNIA

EDUNIVERSAL
PULAU PINANG, 17 NOVEMBER 2011: Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pembangunan Lestari) dan Sarjana Sains (Pembangunan Perlancongan) Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai antara 100 program pengajian terbaik dunia di peringkat ijazah sarjana.
Pengiktirafan tersebut diberikan oleh laman web ‘Eduniversal Ranking of the Best Masters and MBA Programs Worldwide 2001’ yang berpusat di Paris, Perancis mengikut makluman Pengarah Kerjasama Antarabangsa Eduniversal, Marie-José SUEIRO.
Kedua-dua program berkenaan tersenarai di bawah kelompok ‘Top 100 Best Masters in Tourism and Hospitality Management Global Ranking’ yang dibangunkan oleh Eduniversal hasil penyelidikan selama 18 bulan ke atas 12,000 program pengajian sarjana di 1,000 buah pusat pengajian perniagaan di seluruh dunia.
Selain kedua-dua program berkenaan, tiga lagi program pengajian ijazah sarjana di USM iaitu Sarjana Sastera (Komunikasi), Sarjana Sains (Pengurusan projek) dan Sarjana Pengurusan turut tersenarai sebagai antara antara 200 Program Sarjana Terbaik di bawah kelompok yang sama.
Pemilihan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Saintifik Antarabangsa Eduniversal berdasarkan tiga kriteria iaitu reputasi program pengajian yang ditawarkan, kadar gaji pertama yang diterima oleh graduan program berkenaan dan kepuasan pelajar.
Dalam laman web yang sama, Pusat Pengajian Pengurusan USM turut diiktiraf sebagai antara pusat pengajian perniagaan terbaik di Malaysia.
Senarai program ijazah sarjana terbaik mengikut penarafan Eduniversal boleh didapati di laman web www.eduniversal-ranking.com
Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


PPSK RANGKUL ANUGERAH INOVASI NEGARA

PULAU PINANG, 17 Nov – Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan membanggakan apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Inovasi Negara (AIN) kategori Perkhidmatan di Kuala Lumpur, semalam.
Kumpulan yang dikenali dengan nama Lestari itu tampil dengan inovasi unik kerusi roda yang boleh diubahsuai menjadi katil untuk kegunaan pesakit yang sedang dalam proses rawatan pemulihan.
Lestari dibarisi sekumpulan kakitangan PPSK yang terdiri daripada kakitangan pelbagai peringkat termasuk sokongan sehingga membawa kepada penglibatan pensyarah.
Kejayaan PPSK mengenepikan cabaran lebih 300 kumpulan lain yang datang dari seluruh pelusuk negara yang mewakili jabatan/agensi masing-masing itu turut membuktikan keupayaan jabatan tersebut dalam mendukung asspirasi universiti dengan perkhidmatan yang berkualiti dan inovatif.
AIN diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE 2011), bertujuan untuk mengiktiraf usaha inovasi dan kreativiti yang menjana idea, ciptaan dan produk siap dalam sains dan teknologi serta menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.
Empat kategori utama yang dipertandingkan adalah produk, perkhidmatan, akar umbi dan sekolah yang mana setiap pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai dari RM 10,000 ke RM 50,000, piala dan sijil penghargaan.
PPSK terdahulu muncul antara 10 agensi terbaik yang dipilih sebagai finalis sebelum diisyhtihar pemenang, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000. piala serta sijil yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

GABUNGAN KERJASAMA: AMALAN USM TARIK PERHATIAN YANG DIPERTUA NEGERI

usmsgss1
PULAU PINANG, 14 Nov – Pemuafakatan dan semangat bekerjasama seperti yang diamalkan warga Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan sebagai satu langkah terbaik dalam mengekalkan momentum kecemerlangan universiti.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas berkata, beliau tertarik dengan gabungan kerjasama di antara para pelajar, pensyarah, pentadbir dan sebagainya yang dilihat membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan dalam segala hal yang dilakukan.
Katanya, usaha tersebut wajar diteruskan dan ditambahbaik dengan memanjangkan kerjasama bersama pihak luar khususnya pihak kerajaan dalam memastikan matlamat gedung ilmu untuk mengubah taraf sosio ekonomi masyarakat dapat dicapai dengan lebih efketif.
``Perkara-perkara yang dilakukan pelajar dan universiti secara keseluruhannya akan sentiasa didukung oleh kerajaan kerana ia adalah satu usaha yang baik ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
``Kerjasama USM dengan badan-badan bukan kerajaan sehingga melangkaui ke negara-negara miskin seperti Bangladesh juga adalah satu usaha murni yang cukup baik untuk diteruskan,’’ ucap beliau ketika merasmikan Projek Kelestarian APEX di sini baru-baru ini.
Pelancaran projek-projek lestari APEX yang dilaksanakan di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dengan kerjasama beberapa pihak seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP).
Ia merangkumi pelbagai aktivi khusus termasuk program Nafas Lestari, Skuad Kelestarian, kempen “Say No to Plastic Bags”, “Stop Reuse Let’s Reduce” “White Coffin” dan “Let’s Cycle” yang bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan konsep lestari dan bagaimana ianya boleh direalisasikan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Tun terdahulu menonton video ‘Mengembalikan Senyumanmu’ yang menceritakan tentang usaha USM melalui kerja amal bersama MERCY Malaysia dalam memberi bantuan perubatan (pembedahan) kepada pesait-pesakit sumbing yang tidak berkemampuan di Bangladesh.
Beliau turut menegaskan, universiti bukan sekadar tempat untuk siswa-siswi mendapatkan segulung ijazah sebaliknya menjadi tempat untuk mereka menimba dan melatih diri bagi berkhidmat kepada masyarakat di sekeliling dan di seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM sebagai satu-satunya institusi berstatus APEX negara melalui program-program turun padang ingin menyemai bakti kepada golongan masyarakat terkebawah.
``USM selaku sebuah gedung ilmu mahu berusaha sebaik mungkin dalam melakukan pemindahan ilmu, sekaligus mengurangkan jurang sosio-ekonomi dan mentransformasikan masyarakat agar lebih sejahtera dan lestari.
``Usaha-usaha yang lestari ini perlu digandakan supaya ia kelak menjadi satu budaya unik di USM serta dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Ia akan menjadi satu budaya menguntungkan khususnya untuk kepentingan generasi akan datang,’’ katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

TUANKU CANSELOR HARGAI JASA MANTAN NC

usmtansri
PULAU PINANG, 10 Nov – Tuanku Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyampaikan titah penghargaan baginda kepada mantan Naib Canselor USM, Prof, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak di sini baru-baru ini.
Titah baginda, Dzulkifli disifatkan sebagai salah seorang pemimpin yang mempunyai karakteristik kepimpinan yang cemerlang dan sumbangan beliau sepanjang meneraju USM hampir 11 tahun tidak terucap hanya dengan ucapan terima kasih.
Baginda bertitah, selain mempunyai karisma tinggi, Dzulkifli turut dikenali sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada kakitngan khususnya jika berlaku sebarang kesulitan dan sebagainya.
``Walaupun beliau sudah tidak lagi bergelar Naib Canselor USM, namun saya berharap beliau dapat kembali ke USM untuk berbincang dan memberi tunjuk ajar, buah fikiran dan cadangan bernas untuk manfaat universiti ini,’’ titah baginda sempena keberangkatan ke majlis Sanggar Sanjung Mantan Naib Canselor itu di sini baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan khas bagi menghargai sumbangan besar yang telah dilaksanakan Dzulkifli sepanjang bergelar Naib Canselor itu turut dihadiri Ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, Naib Canselor dan Pegawai-pegawai utama universiti.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman pula berkata, USM amat terhutang budi kepada Dzulkifli yang telah bekerja keras dan tidak pernah jemu dalam menjadikan USM sebagai model ikutan dan pakar rujuk kepada pemikiran masa depan.
Katanya, Dzulkifli juga sering memberikan motivasi, mempunyai pemikiran yang berbeza dan bersedia melakukan eksperimen terhadap apa jua perkara yang diyakininya.
``Antara yang segar dalam ingatan sehingga kini adalah perkataan lestari yang menjadi makin sinonim dengan universiti, yang bermula dari ucapannya sehingglah ia kini meniti dalam percakapan mahu pun pemikiran pelbagai pihak dari dalam mahu pun luar negara.
``Beliau percaya kepada keperluan untuk melihat masa hadapan dan yakin bahawa kita perlu sentiasa merancang dan positif dalam menentukan hala tuju, kehidupan dan senario yang akan ditepuhi pada masa depan,’’ katanya.
Tambah Omar, jasa dan sumbangan Dzulkifli juga amat besar khususnya dalam menggerakkan universiti untuk muncul sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang diberi mandat untuk menggalas amanah sebagai universiti APEX (program Pemacuan untuk Kecemerlangan).
``USM sentiasa melihat peluang untuk terus bekerjasama dengan beliau dan sedia menerima pemikiran, teguran serta pandangan demi masa depan universiti ini,’’ katanya dalam majlis yang turut menyajikan pelbagai persembahan yang menyingkap pengorbanan dan memori bersama Dzulkifli di USM itu.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

SCHLUMBERGER SUMBANG PERISIAN GEOFIZIK TERKINI: SUMBANGAN BANTU TINGKAT KUALITI GRADUAN PULAU PINANG

usmberger
PULAU PINANG, 10 Nov – Schlumberger, syarikat eksplorasi geofizik gergasi dunia menyumbang sepuluh lesen perisian pemprosesan data seismik kepada Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sokongan kepada pembangunan akademik di universiti.
Perisian tersebut sekaligus dapat membantu para pelajar Geofizik USM khususnya di peringkat ijazah pertama untuk menambahkan kemahiran mereka dan menguasai perisian terkini yang digunakan secara meluas dalam sektor industri di seluruh dunia itu.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, lesen berkenaan turut memberi nilai tambah kepada USM khususnya kepada para pelajar dan pensyarah jurusan Geofizik dalam mengendalikan proses penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.
``Ia turut membantu melatih para pelajar USM dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam kerjaya khasnya dalam eksplorasi bidang minyak dan gas,’’ katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan lesen perisian itu di sini hari ini.
Tambah beliau, sumbangan oleh Schlumbeger itu juga menunjukkan satu lagi hasil usahasama USM dengan pihak industri dalam memastikan graduan yang dihasilkan USM berkualiti dan memenuhi keperluan industri.
``USM sentiasa menambahbaik dan membuat pemantauan dalam kursus-kursus yang ditawarkan termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya universiti dapat melahirkan graduan yang berkemahiran dan mempunyai kobolehpasaran yang tinggi,’’ katanya.
Katanya, setiap tahun USM berjaya melahirkan purata 25 graduan Geofizik dan kebanyakan daripadanya diterima bekerja di syarikat-syarikat berasaskan minyak dan gas di seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Presiden Asia, Schlumberger Information Solution, A. Hatta Kamaruzzaman pula berkata, pihaknya memilih USM sebagai antara penerima sumbangan perisian itu berdasarkan kepada kredibiliti dan kecemerlangan universiti tersebut.
``USM adalah antara universiti terkemuka di negara ini yang menawarkan kursus dan melahirkan graduan Geofizik yang sangat baik,’’ katanya sambil menyifatkan perisian tersebut turut disumbangkan kepada lebih 100 universiti di seluruh dunia.
Tambah beliau, Schlumberger sedia memberikan komitmen padu kepada USM dan menyokong usaha pembangunan universiti, termasuk dengan menwarkan bantuan melatih tenaga mahir dalam penggunaan perisian terkini yang dihasilkan syarikat mereka.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

MUSTAFA MANSUR TOKOH INDUSTRI PERTAMA MALAYSIA TERIMA ANUGERAH COMMANDER OF THE CIVIL MERIT SEPANYOL

PNSPANISH_-_WEB
KUALA LUMPUR, 9 November 2011: Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, ahli Lembaga Gabenor, Universiti Sains Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi antara rakyat Malaysia pertama di negara ini yang terpilih menerima anugerah ‘Commander of the Civil Merit’ dari King Juan Carlos dari Sepanyol.
Anugerah tersebut yang diberikan sebagai penghargaan di atas sumbangan beliau di dalam menggalakkan perdagangan dua hala, pelaburan dan hubungan perniagaan antara Malaysia dan Sepanyol disampaikan oleh Duta Sepanyol ke Malaysia, Maria Bassols dalam satu majlis khas di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.
Mustafa yang juga Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) sebelum ini pernah menerima satu lagi anugerah negara luar iaitu ‘Grand Officiale of the Order of Solidarity’ dari Itali pada tahun 2006.
Selain Mustafa, Dato’ Mohd Zain Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut menerima anugerah yang sama di majlis tersebut.
Menurut Maria, Mustafa telah memainkan peranan penting di dalam penubuhan Dewan Perniagaan Sepanyol-Malaysia di mana beliau turut menjadi pengerusi bersama.
Mustafa ketika berucap berkata sukan boleh menjadi aset penting di dalam pengukuhan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Sepanyol.
“Dalam kes ini, bola sepak misalnya adalah acara yang mempunyai ramai peminat di kedua-dua negara. Sepanyol mungkin dapat memikirkan kemungkinan untuk membawa kelab terkenal Real Madrid dan Barcelona yang sememangnya telah menjadi jenama Sepanyol yang cukup terkenal di negara ini,” kata beliau.
Mustafa, anak kelahiran Padang Gajah, Larut Matang, Perak adalah alumni USM setelah tamat pengajian di universiti ini pada tahun 1976 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (Sains Politik). Selain menunjukkan ketokohan dalam dunia korporat, beliau turut mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang sukan khususnya hoki, ragbi, bola sepak dan kriket.
Beliau dilantik sebagai ahli Majlis USM sejak tahun 1978 sehingga 1999 dan kemudiannya menjadi ahli Lembaga Pengarah USM dari tahun 1999 sehingga kini (Lembaga Pengarah kini dikenali sebagai Lembaga Gabenor USM).
Sebagai mengiktiraf sumbangan dan ketokohan beliau di dalam memajukan sektor perindustrian negara, beliau turut dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi oleh USM di Upacara Konvokesyen Ke-35 pada tahun 2006. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

YTS SUMBANG DANA BANTU PELAJAR

usmhepp
PULAU PINANG, 9 Nov -  Yayasan Tun Sardon (YTS) bersetuju untuk memberi bantuan pinjaman kewangan kepada pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang kurang berkemampuan melalui tabung  khas yang dikenali sebagai Tabung Pinjaman Yayasan Tun Sardon.
Naib Canselor USM, Prof. Dato' Omar Osman berkata, sumbangan permulaan oleh YTS berjumlah RM50,000 itu akan digunakan bagi membiayai pinjaman kewangan jangka panjang kepada pelajar USM yang tidak berkemampuan.
Katanya, sokongan dan sumbangan YTS itu secara tidak langsung dapat menjadi alternatif kepada mana-mana pelajar yang tidak tersenarai untuk menerima pinjaman dari peminjam lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
``Pihak universiti amat berbesar hati dengan wujudnya kerjasama bersama YTS dan berharap jalinan yang dibina turut mampu menjayakan hasrat universiti dalam melahirkan insan yang cemerlang yang mampu menyumbang semula kepada pembangunan negara.
``Pihak universiti dalam mempelbagaikan alternatif bantuan kepada pelajar amat berharap kerjasama seumpama ini turut disokong dan disertai oleh pihak-pihak lain,'' katanya dalam ucapan sempena majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan YTS di sini hari ini. 
Pengerusi YTS, Dato' Rizal Al-Amin pula berkata, pinjaman tersebut bertujuan untuk meringankan beban pelajar dalam menyara kos pembelajaran di menara gading termasuk yuran, sara hidup dan sebagainya.
Katanya, penyaluran dana itu turut menjadi salah satu cara YTS menunaikan tanggungjawab dalam memberi bantuan untuk para pelajar yanga datang dari keluarga berpendapatan rendah menunaikan impian mereka untuk bergelar mahasiswa.
``YTS turut berbangga kerana dapat bekerjasama dengan sebuah universiti yang mempunyai reputasi tinggi di negara ini dan kerjasama ini juga menjadi sebahagian cara untuk YTS mengiktiraf pencapaian USM,'' katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut akan melihat perkembangan tabung berkenaan dari masa ke semasa dan bercadang untuk meningkatkan jumlah tajaan pada masa depan, sekaligus dapat memabntu lebih ramai pelajar yang memerlukan.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Ahad, 20 November 2011

USM, CNEURO KAJI CARA PANTAS DIAGNOS SAWAN DAN STROK

usmmou
PULAU PINANG, 9 Nov – Universiti Sains Malaysia (USM) akan bergandingan dengan Cuban Neuroscience Center (CNEURO), Cuba bagi mengkaji kaedah paling cepat dalam mendiagnos pesakit epilepsi (sawan) dan strok.
Kajian yang masih dalam proses awal pelaksanaannya itu dibuat bagi mengatasi masalah kelewatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit sawan dan strok yang akan menjadikan tahap penyakit lebih serius sehingga boleh membawa maut.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, kajian tersebut disifatkan sebagai bertetapatan dengan matlamat universiti untuk membantu golongan terkebawah khususnya dalam menambahbaik tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Katanya, kajian yang dibuat dengan pengaplikasian disiplin ilmu Neurosains itu turut diharap dapat memberi manfaat kepada perkembangan teknologi dan kemudahan tampatan yang boleh diakses di hospital-hospital daerah dan klinik kesihatan.
``Kita perlu mewujudkan kaedah pencegahan dan kemudahan rawatan yang berteknologi tinggi yang dapat menambahbaik kualiti hidup masyarakat namun dalam masa yang sama biarlah semua lapisan masyarakat berkemampuan untuk menikmatinya.
``Tidak ada gunanya kita berbelanja berjuta-juta ringgit untuk kemudahan perubatan yang hanya boleh digunakan kepada golongan tertentu sedangkan yang sangat memerlukannya terpinggir ekoran kos rawatan yang mahal dan sebagainya,’’ jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangan MoU dengan CNEURO di sini hari ini. CNEURO diwakili Naib Presiden (Penyelidikan), Dr. Pedro A. Valdes Sosa. Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Prof Abdul Aziz Baba dan Ketua Jabatan Neurosains, Prof. Jafri Malin Abdullah.
Sementara itu, Jafri pula berkata, bidang Neurosains berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan kerjasama yang dibuat bersama-sama rakan strategik yang berpengalaman seperti CNEURO dan sebagainya.
Katanya, sehingga kini beberapa peralatan canggih berteknologi tinggi telah ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tujuan penyelidikan dan rawatan, termasuk mesin Magnetoencephalography, 128 Channel Electroencephalography dan 3 Tesla functional Magnetic Resonance Imaging.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Selasa, 8 November 2011

TERAP SEMANGAT SANGGUP BERKORBAN SEMPENA AIDILADHA - SERU NC

AIDILADHA_-_WEB
"Semangat untuk sanggup berkorban perlu terus diterapkan dalam kalangan seluruh warga universiti demi untuk kejayaan pada masa depan," kata  Prof. Dato' Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).
Naib Canselor dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam khususnya warga USM dalam kalangan staf mahu pun siswa-siswi, para alumni serta keluarga di mana sahaja berada.
"Kesanggupan unrtuk berkorban tenaga, masa dan pemikiran dalam membantu menjayakan usaha universiti untuk mentransformasi pemikiran dan usaha dalam pembangunan ummah merupakan keperluan jika kita benar-benar ikhlas dalam usaha tersebut apatah lagi melihatnya dalam konteks kelangsungan hidupan umat manusia sejagat dan kesejahteraan alam yang akan juga menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan generasi yang akan datang," tambah Omar.
Dalam konteks yang sama, Naib Canselor menyeru agar semua pihak membina rasa prihatin dalam usaha untuk saling membantu antara satu sama lain, menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama dan memastikan usaha memanusiakan manusia seluruhnya melalui aplikasi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada dapat berlangsung terus untuk faedah semua pihak.
Katanya lagi, kesanggupan berkorban seperti mana yang dituntut oleh agama, apatah lagi untuk kemaslahatan umat dan alam seluruhnya adalah sebahagian dari usaha memartabatkan tamadun ummah yang harus sentiasa dipegang dan dilaksanakan secara berterusan. Ia perlu dipupuk dan diperkasakan jika ingin terus berjaya dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras kemajuan ummah.
Untuk melaksanakan tanggungjawab itu,  Naib Canselor juga menyeru untuk seluruh warga USM dan umat Islam memperkukuhkan komitmen serta bekerja keras dan tidak mudah putus asa dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
"Kita harus bekerja bersama-sama, berganding bahu dan sedia memberi dan menerima untuk memastikan usaha kita selama ini termasuk dalam melaksanakan agenda APEX , akan terus mencapai kejayaan apatah lagi sasaran utama kita ialah untuk membantu mereka yang memerlukan melalui usaha memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada sama ada dalam agenda membantu meningkatkan taraf ekonomi mahu pun pembangunan yang holistik yang mendapat keredhaan Allah s.w.t." katanya lagi.
Tambah Omar, semua ini hanya boleh dicapai jika setiap warga sanggup berkorban apa sahaja yang boleh untuk menjayakan hasrat ini.
Kenyataan dari Pusat Islam USM menyebut Masjid Al-Malik Khalid akan mengadakan solat Aidil-Adha pada jam 8,30 pagi Ahad, 6 November ini dan kemudiannya mengadakan ibadah korban yang melibatkan 20 ekor lembu dan beberapa ekor kambing.
Selamat Hari Raya Aidil-Adha.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


EMPAT GRADUAN CEMERLANG USM TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA DARI CANSELOR USM

DSC_0476
ARAU, 2 November 2011: Empat pelajar cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia di Istana Arau, Perlis.
Hadiah berkenaan disampaikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin  Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis yang juga Canselor USM.  
D.Y.M.M. Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis, D.Y.T.M. Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan D.Y.T.M. Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Dato’ Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Empat pelajar berkenaan Nur Izzati Amir Hamzah, Ramanathan A.M.N. Thiagarajan, Mohammad Rahim Kamaluddin dan Karen Voon Kai Rou masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, Pingat Jaya Cemerlang dan sijil.
Nur Izzati dan Ramanathan adalah penerima anugerah berkenaan di Upacara Konvokesyen Ke-42 tahun lalu manakala Mohamad Rahim dan Karen adalah penerima di Upacara Konvokesyen Ke-44 tahun ini.
Ketika ditemui, Nur Izzati, anak kedua dari empat beradik yang berasal dari Pulau Pinang berkata kejayaan beliau ini adalah hasil daripada doa dan sokongan keluarganya. Beliau kini berkhidmat di Institut Pengajian Siswazah USM dalam beberapa projek khas termasuk di universiti ini.
Ramanathan pula yang kini berkhidmat sebagai juruaudit di sebuah firma audit antarabangsa di Kuala Lumpur berkata beliau berpegang kepada prinsip keseimbangan kerana pelajar perlu bijak menyeimbangkan masa di antara pembangunan ilmiah dan pembangunan diri yang kedua-duanya sama penting jika ingin benar-benar berjaya. Ramanathan kini melanjutkan pengajian profesional akauntan bertauliah, Institute Chartered Accountant England and Wales di Universiti Sunway dan berharap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah suatu hari nanti.
Mohammad Rahim yang turut bersetuju dengan Ramanathan menjadikan perkongsian bersama rakan sekuliah sebagai resepi kejayaan beliau. Menurut beliau perkongsian ini bukan sahaja akan dapat membantu rakan-rakan lain malah turut menambah pengetahuan beliau dalam bidang forensik yang beliau ikuti di USM sebelum ini. Mohamad Rahim kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Sementara itu, Karen yang baru pulang dari mewakili USM di British Invention Show di London menyifatkan kejayaan ini sebagai pendorong untuk beliau terlibat secara aktif di dalam bidang penyelidikan. Anak kedua daripada tiga beradik ini kini berkhidmat sebagai Doktor Pergigian di Kuching, Sarawak.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Dato’ Seri Dr. Md Isa Sabu, Menteri Besar Perlis, Prof. Emeritus Dato’ Dr. M. Zawawi Ismail, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM dan ahli-ahli Lembaga Gabenor USM.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Rabu, 2 November 2011

USM RAIH 4 EMAS DI IENA 2011

PULAU PINANG, 2 Nov – Universiti Sains Malaysia (USM) meraih emapt pingat emas dalam pameran penyelidikan antarabangsa IENA 2011 yang berlangsung di Nuremberg, Jerman penghujung Oktober lepas.
Selain emas, dua pingat perak dan satu gangsa turut berjaya diraih, sekaligus menyaksikan kesemua tujuh produk penyelidikan yang dipertandingkan dalam pertandingan berprestij itu berjaya mendapat pingat.
Mendahului senarai pemungut pingat emas ialah barisan ketua penyelidik iaitu Prof. Hanafi Ismail dan Prof. Madya Srimala Sreekantan, masing-masing dari Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, diikuti Prof. Abdul Latif Ahmad dari PP Kejuruteraan Kimia serta Dr. Lim Boon Huat dari PP Sains Kesihatan.
Pingat perak pula dimenangi Prof. Madya Mohamad Nasir Mohd Ibrahim dari PP Sains Kimia dan  Dr. Zainoodin Sheikh Abdul Kader (institute Perubatan dan Pergigian Termaju) manakala  Dr. Issam A. Mohammed pula berjaya meraih pingat gangsa.
Selain emas,  Hanafi dan pasukannya turut dianugerahkan Grand Eco Prize Award oleh International Federation of Inventors Association (IFIA) dan Srimala bersama barisan penyelidik bersama pula dianugerahkan Ecological Award untuk Green Invention.
Turut diiktiraf ialah Latif, Mohamed Nasir dan Issam  yang mana kesemua mereka turut menerima sijil penghargaan khas dia atas rekacipta hijau masing-masing.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia



PELAJAR SENIBINA USM MENANG ANUGERAH REKABENTUK

usmarkitek
PULAU PINANG, 25 Okt – Dua pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara bagi kategori masing-masing dalam pertandingan Rekabentuk Seni Bina Pelajar 2011 yang diumumkan di sini semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan kedua-dua pemenang, Ow Yang Seok Tin (kategori A) dan Muhammad Taufik Abdul Wahab (B) membawa pulang hadiah utama RM 800, sijil penghargaan dan cenderamata, selain mewakili USM ke pertandingan peringkat kebangsaan di  Kuala Lumpur, bulan depan.
Seok Tin dan Muhammad Taufik dipilih berdasarkan konsep kreatif yang ditonjolkan dalam rekabentuk binaan mereka, masing-masing dengan model Pusat Seni Persembahan dan Pusat Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa Malaysia yang dilakarkan dalam lakaran digital tiga dimensi.
Selain mereka, pemenang tempat kedua iaitu Chuu Chee Keong (A) dan Cynthia Yong Hwa Sieng (B) turut terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan dan berentap dengan universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sebagainya.
Kategori A memperuntukkan penyertaan dalam kalangan para pelajar tahun tiga jurusan Seni Bina USM manakala B pula diwakili pelajar tahun lima jurusan tersebut.
Dekan PPPBP, Prof. Ir. Dr. Mahyuddin Ramli berkata, pertandingan yang didadakan setiap tahun itu memperlihatkan kecemerlangan para pelajar PPPBP dan komitmen mereka dalam menghasilkan hanya yang terbaik untuk menaikkan nama universiti.
Katanya, PPPBp sentiasa memberi peluang kepada pelajar untuk mengenengahkan bakat mereka khususnya dalam pertandingan seumpama ini yang juga dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk mereka mendedahkan diri dengan persekitaran di luar bilik kuliah.
``Ini satu pendedahan yang baik yang dapat meningkatkan kemahiran dan menjana minda pelajar untuk meluahkan idea bernas khususnya yang berkait dalam bidang rekabentuk dan pembinaan,’’ katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian hadiah di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi United Asbestos Cement Berhad (UAC) selaku penaja dan penganjur utama, Tey Long Puang.
Pertandingan yang disertai oleh para pelajar seni bina USM itu bertemakan ‘Build Green for A Sustainable Future’ dan meletakkan kriteria utama seperti pengunaan bahan mentah yang boleh diguna semula, jimat tenaga, guna tenaga diperbaharui dalam pemilihan pemenang.
Rekabentuk Pusat Seni Persembahan dan Pusat Pengajian Seni Bina Digital Antarabangsa oleh dua pelajar, masing-masing yang diperincikan dengan teknologi hijau dan mesra alam nyata membawa tuah kepada dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia



Rabu, 26 Oktober 2011

NC USM UCAP SELAMAT MENYAMBUT HARI DEEPAVALI

Deepavali_BUNTING
Prof. Dato' Omar Osman, Naib Canselor USM mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada seluruh warga USM dan rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tersebut.
"Semoga sambutan ini akan mengeratkan lagi persaudaraan sesama kita dan menyambutnya dengan semangat muhibbah, bersatu padu, saling hormat menghormati dan penuh kemesraan," kata Omar.
Beliau juga meminta agar mereka yang memandu di jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan memastikan perayaan ini akan disambut meriah.
"Saya juga mengharapkan perayaan Deepavali, sama seperti perayaan lain di Malaysia, sentiasa menjadi alat untuk mewujudkan perasaan saling memahami dan menghormati kepelbagaian yang ada dalam kalangan kita," tambahnya lagi.
Selamat Hari Deepavali.

Sabtu, 22 Oktober 2011

IPPT PERLU JADI IKON INSTITUT PENYELIDIKAN KEBANGGAAN NEGARA

PNIPPT2
PENYELIDIKAN KLINIKAL... Prof. Dato' Omar mendengar penerangan oleh Prof. Dr. Ibrahim Lutfi Shuaib, Pemangku Pengarah IPPT berhubung penyelidikan yang dijalankan di IPPT.
BERTAM, 22 OKTOBER 2011; Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) perlu merangka perancangan teliti agar dapat menjadi sebuah institut penyelidikan yang menjadi ikon kebanggaan negara.
Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata IPPT yang telah dipersetujui penubuhannya sejak pada tahun 2002 berpotensi untuk mencapai status berkenaan jika ia mampu untuk menggunakan segala kelebihan yang ada secara proaktif untuk melonjakkan penyelidikan perubatan negara.
“Lonjakan ini perlu kerana negara amat memerlukan sebuah institusi penyelidikan bertaraf dunia. IPPT berpotensi mencapai hasrat berkenaan jika ia menggunakan segala sumber yang ada dengan optimum. IPPT perlu melihat apa yang diperlukan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di luar sana agar apa sahaja penyelidikan yang dijalankan benar-benar relevan dan memberi kesan kepada masyarakat,” kata beliau.
Prof. Dato’ Omar berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari terbuka IPPT 2011 di Kompleks Klinikal IPPT hari ini.
Tambah beliau lagi, untuk bergerak dengan lebih berkesan, sesebuah institusi penyelidikan itu harus melihat kembali perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kepada penubuhan institusi berkenaan.
“Asas ini seringkali kita lupakan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana perkara asas inilah yang sewajarnya menjadi nadi dalam setiap yang dilakukan. Hanya dengan asas ini kita boleh maju dan melonjakkan diri dalam arus dunia moden hari ini,” kata beliau.
Dalam majlis yang sama, Prof. Dato’ Omar turut menerima sumbangan berbentuk peralatan sokongan perubatan bernilai hampir RM10,000 yang akan disampaikan oleh Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia, sebuah badan NGO yang bergiat aktif di dalam kegiatan amal bagi membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.
Karnival Hari Terbuka IPPT 2011 berlangsung selama 3 hari bermula pada 22 Oktober 2011. Program ini yang bertujuan untuk mendekati masyarakat setempat khususnya di sekitar kawasan Kepala Batas dan Seberang Perai  Utara. Antara aktiviti yang akan berlangsung dalam karnival ini ialah Pameran Penyelidikan, Pemeriksaan Kesihatan, Pemeriksaan Payu Dara, Pemeriksaan Pap Smear, Ceramah Pendidikan Kesihatan, Derma Darah, Forum Perdana, Sesi Dialog IPPT dengan Komuniti dan Industri,Kenduri Perdana dan acara sukan dan riadah. 


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia