Isnin, 27 Jun 2011

USM RANGKUL EMPAT EMAS DI BIS, LONDON

usmbritish
PULAU PINANG, 27 Jun – Empat pingat emas berjaya dibawa pulang dari London oleh sekumpulan enam pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melalui empat produk penyelidikan, menjadikan pencapaian seratus peratus dalam perolehan pingat sempena British Invention Show (BIS) yang berlangsung di Alexandra Palace, United Kingdom baru-baru ini.
Lebih membanggakan, pasukan penyelidik muda USM itu turut menggondol tiga anugerah khas termasuk Inovasi Terbaik Romania (keseluruhan) dan dua anugerah ‘Emas Berganda’ melalui penyelidikan Alternative Sweetener From Biomass Waste For Healthier Lifestyle oleh trio dari Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Kimia iaitu Farah Wahida Hairon, 23, Fazreen Amira Ismail, 23 dan Chong Meng Yeong, 24.
Kajian Developement of Chemopreventive Agent for Oral Cancer Using Hydrozone yang dihasilkan pelajar PP Sains Pergigian, Karen Voon Kai Rou yang berpotensi digunakan dalam rawatan kanser oral turut tersenarai sebagai penerima anugerah emas berganda.
Meng Yeong berkata, kajian mereka menjurus kepada penghasilan bahan pemanis alternatif atau lebih dikenali sebagai xylitol daripada hampas kelapa sawit dan jagung. Bahan ini biasanya digunakan dengan meluas dalam pelbagai produk di pasaran termasuk gula-gula getah, ubat gigi dan sebagainya.
``Xylitol juga digunakan oleh pesakit diabetes namun yang sedia di pasaran harganya agak mahal. Dengan adanya produk kami, kita berupaya menghasilkan bahan alternatif yang jauh lebih murah dan mengoptimumkan penggunaan bahan mentah tempatan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam sidang media mengumumkan kejayaan mereka yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Delegasi USM ke pertandingan itu, Prof. Abdul Latif Ahmad.
Selain trio berkenaan dan Karen, Yeap Swee Pin dan E Pei San masing-masing menyumbang emas melalui penyelidikan teknologi nano dalam teknik penyembuhan luka dan pertumbuhan sel baru dengan cepat serta penghasilan gas hidrogen dengan kos yang lebih murah yang boleh digunakan dalam penghasilan produk lain yang dapat menjamin kelestarian masa depan.
Omar pula berkata, kejayaan yang dicapai pelajar itu turut menjadi penanda aras kepada kecemerlangan akademik pelajar, selain memberi makna yang amat besar kepada USM berikutan pertandingan itu bukan hanya dikhaskan kepada pelajar semata-mata, sebaliknya turut dibarisi penyelidik lain termasuk pensyarah, pihak industri dan sebagainya.
Katanya, kecemerlangan para pelajar itu turut mencerminkan usaha dan komitmen USM dalam mencungkil bakat-bakat secara berterusan, termasuk dalam kalangan pelajar dan juga ahli akademik.
``Kejayaan para pelajar ini turut menunjukkan kekuatan universiti dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan, sains fundamental serta sains perubatan dan turut menjadi penanda bahawa kekuatan pensyarah kini telah diturunkan kepada penggilapan bakat muda iaitu pelajar.
``Universiti juga amat berharap lebih banyak projek penyelidikan yang bermutu dapat dihasilkan dan diketengahkan pada tahun hadapan, sekaligus memastikannya terus memberi impak di peringkat sarjana, pengkomersialan dan mendatangkan manfaat kepada komuniti,’’ jelasnya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia