PULAU PINANG, 16 Feb – Barisan pendebat
Universiti Sains Malaysia (USM) muncul naib juara pertandingan Debat
Diraja 2012 kategori bahasa Melayu Utama setelah tewas tipis kepada
Universiti Malaya (UM) dalam gelanggang akhir di Dewan Budaya USM, di
sini semalam.
Selain muncul juara, UM yang diundi
sebagai barisan pembangkang turut menyapu gelaran pendebat terbaik
menerusi kelantangan pendebat ketiganya, Mohd. Firdaus Ahmad yang
memukau penonton dengan hujah pematahnya yang bernas.
Pendebat USM yang bertindak selaku pihak
kerajaan dalam tajuk ‘Dewan ini Mencadangkan Ahli Majlis Kerajaan
Tempatan dipilih melalui Pilihanraya’ terdiri dari Affiqka Humaira
Abdullah, Mohd. Hazry Zainal Abidin, Azimah Ashaari dan Noraninah Murah
(simpanan).
Selai pendebat terbaik, UM pula
membariskan Muhammad Azzairi Rosle, Chan Kheng Fai dan Mohd. Asri Abdul
Jani (simpanan), kesemua mereka adalah pelajar tahun akhir jurusan
undang-undang.
Persaingan sengit yang disaksikan lebih
500 peminat debat itu turut disertai pengumuman pemenang bagi debat
bahasa Inggeris (utama) yang dijuarai Universiti Teknologi Mara (UiTM)
yang menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di
peringkat akhir.
Kategori bahasa Arab pula diungguli UiAM yang berjaya menumpaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’
Saifuddin Abdullah berkata, pertemuan di antara UM, sebuah universiti
premier dan USM yang memegang status APEX (Program Pemacuan untuk
Kecemerlangan) diibaratkan sebagai pertembungan klasik.
Katanya, kedua-dua universiti berada
pada kelas tersendiri dan diketahui sejak sekian lama mempunyai reputasi
yang cukup baik dalam arena perdebatan.
``Namun yang menjadikan ia bertambah
menarik, sejak Debat Diraja diperkenalkan pada tahun 1995, kedua-dua
universiti tidak pernah berpeluang bersemuka di pentas akhir dan perkara
itu berlaku pada hari ini.
``Justeru, saya merasakan pertandingan
akhir ini adalah satu sejarah dan ia amat ditunggu-tunggu oleh semua
pihak,’’ katanya dalam sidang media di sini semalam. Turut hadir ialah
Pemangku Naib Canselor, Prof. Adnan Hussein.
Adnan pula berkata, secara keseluruhan
USM selaku penganjur amat berpuas hati dengan pertandingan yang telah
berlangsung selama empat hari itu, termasuk dalam aspek kemudahan dan
keselesaan peserta, teknikal, logistik dan sebagainya.
Katanya, tiada masalah besar yang
berlaku dan penganjuran debat edisi ke-16 di USM disifatkan berjalan
lancar dan mendapat sambutan membanggakan jika dilihat pada penyertaan
dari universiti-universiti di negara ini.
``Kejayaan pasukan debat USM muncul di
pentas akhir juga memberikan satu signifikasi yang besar kepada
universiti secara keseluruhan, selain kemampuan kita untuk menyerlahkan
pasukan debat bahasa Arab buat julung kalinya pada tahun ini’’ ujar
beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, USM
akan terus membudayakan debat dalam kalangan masyarakat kampus dan
bercadang untuk melaksanakan pertandingan debat di antara pusat-pusat
pengajian.
``Kita akan sentiasa menambahbaikan
kemantapan dan kualiti pendebat-pendebat USM. Pengenalan kepada debat
antara pusat pengajian ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk kita
menambahbaik kualiti sedia ada,’’ katanya.
Sumber: Laman Web USM