Rabu, 28 Mac 2012

PELAJAR DISARAN PELAJARI TEKNIK KEUSAHAWANAN

usmpameran
PULAU PINANG, 28 Feb 2012 – ‘Asas keusahawanan perlu dipelajari dengan teknik yang betul supaya ilmu yang diperoleh akan dapat dimanfaatkan sebaiknya jika seseorang melangkah ke dunia perniagaan nanti.’
Demikian kata Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Prof.Madya Hajar Abd Rahim semasa hadir merasmikan Bazar Amal Ilmu Kemanusiaan (BAIK) 2012 di Foyer Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.
Menurut beliau lagi, selain dari memberi peluang kepada para pelajar bagi mencari dana sendiri untuk tabung persatuan, hasil-hasil jualan yang diperoleh juga digunakan untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
‘Diharapkan  dengan adanya program seperti ini, ia dapat membangkitkan kesedaran warga USM tentang tanggungjawab sosial yang harus dipikul bersama,'' ujar beliau.
Bazar amal ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 Februari dan disertai oleh hampir 30 gerai yang menjual pelbagai barangan seperti buku-buku ilmiah,  barangan komputer, makanan dan minuman serta kaunter pendermaan darah yang dianjurkan bersama Pusat Sejahtera USM.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Isnin, 5 Mac 2012

PM UCAP TAHNIAH, KAGUM KEBERANIAN PELAJAR

usmcina
PULAU PINANG, 1 Mac 2012 – Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengirimkan ucapan tahniah dan syabas kepada sekretariat penganjur Pesta Tahun Baru Cina 2012, Universiti Sains Malaysia (USM) di atas kejayaan menganjurkan program itu secara konsisten setiap tahun.
Selain tahniah, PM turut melahirkan rasa kagum dengan keberanian pengarah projek Pesta Tahun Baru Cina USM 2012, Chuah Wen Xu yang menghantar jemputan kepada beliau secara peribadi ketika lawatan rasminya ke Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina Januari lalu.
Ucapan itu disampaikan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, yang hadir meluangkan masa merasmikan sambutan Pesta Tahun Baru Cina yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini semalam.
Tsu Koon pula dalam ucapannya berkata, para pelajar USM perlu berbangga kerana program yang dianjurkan itu mencerminkan gagasan 1 Malaysia yang mana semua pihak merayakan kepelbagaian dan kebudayaan tanpa mengira kaum.
``Kita juga perlu bersyukur dengan keharmonian yang ada dalam kepelbagaian, dalam masa yang sama keunikan pada setiap kaum itu menyumbang kepada perpaduan rakyat di negara ini,’’ katanya.
usmcina_2
Turut hadir pada program tersebut ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein.
Sementara itu, acara sambutan Pesta Tahun Baru Cina diadakan di kampus USM pada setiap tahun bagi meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan siswa-siswi kampus, selain turut menjadi medan mengukuhkan hubungan baik antara kaum.
Ia turut berperanan sebagai wadah dalam mempopularkan acara sambutan perayaan tempatan kepada pelajar-pelajar antarabangsa USM.
Antara yang mencuri tumpuan pada penganjuran tahun ini adalah persembahan drum oleh pemain drum cilik berusia empat tahun, Howard Wong, tarian kebudayaan, pertunjukan silap mata, nyanyian penyanyi terkenal yang juga pelajar USM, Sun Yi Lin serta artis profesional, Christopher Lay dan sebagainya.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Ahad, 4 Mac 2012

OKU ANTARA DIRAI SEMPENA PROGRAM PWUSM

usmpompuan
Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi tetamu istimewa dan menerima sumbangan sempena majlis jamuan tengahari Persatuan Wanita Universiti Sains Malaysia (PWUSM) di Hotel Evergreen Laurel, di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut  dihadiri oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Puan Sri Fawziah Mohd. Abu Bakar, isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Jamuan yang disertai lebih seratus ahli persatuan itu turut menyaksikan pelantikan penaung baru PWUSM, Datin Noraizan Jamaludin, yang juga isteri kepada Naib Canselor USM serta pelancaran laman sesawang PWUSM.
PWUSM juga turut menerima sumbangan berjumlah RM3,000 daripada Puan Sri Fawziah dalam majlisyang turut diselangi pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian, permainan, cabutan bertuah dan sebagainya.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Sabtu, 3 Mac 2012

FADS REKOD BUKTI JENAYAH SIBER


o-matic_2
PULAU PINANG,  29 Feb 2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pakar teknologi maklumat (IT) dan penyelidik Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) berjaya menghasilkan Forensic Analysis and Discovery System atau FADS yang mampu merekod dan mengenal pasti bukti sahih sekiranya berlaku jenayah siber dari dalam dan luar negara.
Ketua Penyelidik merangakap pensyarah PPSK, Dr. Aman Jantan berkata, sistem pertahanan yang dibangunkan itu adalah yang pertama di Malaysia yang berupaya menyimpan bukti digital dan menyediakan laporan lengkap sekiranya berlaku serangan seperti penggodam, Malware, Spoofing dan sebagainya.
``Sistem ini memudahkan pihak berkuasa melakukan proses siasatan dengan lebih terperinci dan mampu mengemukakan bukti pesalah siber tanpa ada sebarang pertikaian” katanya semasa sidang media khas diadakan di USM, di sini semalam.
Tambahnya lagi, masyarakat di Malaysia kini terdedah dengan pelbagai risiko jenayah penyelewangan internet kerana kebanyakan transaksi dan urusan kewangan banyak menggunakan rangkaian internet.
``Kita mempunyai pelbagai kemudahan internet seperti perbankan internet, e-dagang, kad kredit dan kemudahan atas talian lain yang terdedah dengan risiko jenayah siber melalui rangkaian,’’ ujarnya.
Belaiu berkata, melalui analisa yang dilakukan, banyak aduan diterima mengenai penggodam transaksi tersebut tetapi bukti sahih tidak dapat dikemukakan memandangkan sistem sedia ada tidak mampu menyimpan bukti lengkap mengenai penggodam tersebut.
``Melalui inovasi FADS, sistem rangkaian akan diawasi secara aktif oleh server dan hasil pengawasan digital tersebut akan disimpan di dalam sistem pengkalan data, seterusnya FADS Client akan melakukan analisis untuk mencari bukti kukuh yang berkaitan dengan  serangan tersebut,” jelasnya.
Penyelidikan FADS bermula pada bulan Julai 2012 dengan kos sebanyak RM231,000 yang ditaja oleh geran Universiti Penyelidikan (RU) USM selama 3 tahun.
FADS turut meraih pingat perak pada pertandingan penyelidikan kebangsaan, Malaysia Technology Expo (MTE) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pertengahan Februari lalu.
Turut hadir pada sidang media tersbeut ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Bahagian Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, Prof. Ahamad Tajudin Khader.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Rabu, 29 Februari 2012

ILMU ANTARTIKA: USM SASAR JADI PENYUMBANG UTAMA

usmpolar
PULAU PINANG, 29 Feb 2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) mensasarkan matlamat untuk membantu Malaysia menjadi penyumbang utama di peringkat global dalam pengetahuan dan penyelidikan saintifik di benua kelima terbesar dan paling sejuk di dunia, Antartika.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Asma Ismail berkata, penyelidikan Antartika berupaya memberi gambaran yang amat signifikan dalam usaha saintis memahami proses-proses penting dalam ekologi alam sekitar dan iklim bumi.
Katanya, kajian dan pemantauan secara lebih terperinci terhadap benua Antartika membolehkan saintis mendapatkan pelbagai maklumat, termasuk memperoleh petunjuk atau sistem amaran awal berhubung perubahan penting yang berkaitan dengan bumi.
``Walaupun pada hari ini telah ada agensi mahupun badan-badan yang menyalurkan pengetahuan mengenai pembangunan iklim dan biodiversiti Antartika, namun masih wujud jurang yang memerlukan kerjasama lebih erat di antara negara maju dan membangun.
``Justeru dengan terbentuknya pasukan penyelidikan polar@usm, ia secara tidak langsung menjadi platform dalam menawarkan peluang bagi kerjasama dan pembentukan rangkaian baru di peringkat nasional dan juga global berhubung isu Antartika,’’ katanya.
DSC_0926
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis pelancaran buku polar@usm, serentak dengan penubuhan polar@usm, satu kluster khas yang bertindak sebagai penyelaras kepada usaha meningkatkan pembangunan dan penyelidikan kutub dalam kalangan penyelidik.
Majlis tersebut diadakan serentak dengan penganjuran bengkel polar@usm yang bertemakan Peluang dan Halatuju Penyelidikan Kutub anjuran Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan Pusat Kajian Samudera Pantai USM.
Sementara itu, Pengarah CGSS, Prof. Madya Dr. Norizan Md. Nor pula berkata, USM berharap dapat menubuhkan steses kajian tersendiri di Antartika bagi membolehkan saintis-saintis di Malaysia menjalankan kajian di Antartika dengan lebih sistematik dan efektif.
``Lebih baik jika negara kita mempunyai stesen kajian tersendiri di Antartika kerana ia memberi banyak manfaat khususnya dalam membangunkan satu paltform khas untuk pembangunan ilmu pengetahuan secara lebih menyeluruh,’’ katanya.
Mengulas penubuhan polar@usm beliau berkata, sainstis USM kini sedang giat berusaha bagi menjayakan dan meningkatkan dapatan kajian-kajian berkaitan kutub untuk meluaskan lagi pemahaman terhadap benua tersebut.
``Polar@usm ini turut menyokong usaha penyelidikan untuk menambahbaik polisi sains dan penyelidikan kutub, selain bertindak sebagai platform bagi menyuarakan cadangan dasar dalam pembentukan pelan pengurusan jangka panjang bagi program penyelidkan Antartika’’ ujarnya.
Sementara itu, buku polar@usm yang memuatkan penulisan berkaitan penyelidikan benua antartika oleh saintis-saintis USM merangkumi maklumat seperti latar belakang, siri ekspedisi, rangkaian kerjasama dan sebagainya.
Penyelidikan kutub di USM bermula sejak lebih sembilan tahun lalu dan sehingga kini USM telah melahirkan sepuluh saintis yang telah menyertai sekurang-kurangnya lima ekspedisi ke rantau kutub, selain mewujudkan kerjasama dan rangkaian penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia