Memaparkan catatan dengan label artikel: MPP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label artikel: MPP. Papar semua catatan

Khamis, 21 Julai 2011

ARTIKEL: WANITA DAN NEGARA

Dunia hari ini memperlihatkan penglibatan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira jantina perlu berusaha sedaya mampu untuk memajukan negara termasuklah dalam bidang pentadbiran awam. Dahulunya, wanita dilihat sebagai individu yang lemah dan tidak layak untuk membuat keputusan bagi sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan organisasi apatah lagi memegang kuasa.


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan sudah meluluskan dasar 30% wanita diberikan tempat di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat. Menurut beliau, jemaah menteri telah bersertuju dengan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya lebih ramai wanita berkelayakan diberi peluang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat. Sehubungan itu, pihak korporat diberikan tempoh peralihan lima tahun untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pada masa ini hanya 13% wanita telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada 2010 di syarikat Menteri manakala 200 buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sehingga November 2010 hanya 7.6% wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Bagi memastikan dasar ini berkesan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama badan-badan seperti Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Allieance of Corporate Directors akan merangka program latihan bagi menyediakan wanita yang berpotensi untuk dilantik ahli lembaga pengarah.

Pengikhtirafan ini bukan menjadikan wanita itu hebat dari lelaki tetapi menunjukkan bahawa kaum wanita juga mempunyai keistemewaan dalam memberi pendapat dan membuat keputusan. Islam telah lama mengangkat martabat wanita ke peringkat yang tinggi. Wanita sentiasa diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat jika mereka melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Kadang-kadang stigma dalam masyarakat yang menafikan hak wanita untuk bersuara dan membuat keputusan bukan agama yang patut dipersalahkan. Jika tidak, masakan Saidatina Aisyah menjadi tempat rujukan para sahabat mengenai permasalahan agama dan terdapat wanita yang pernah mempersoalkan keputusan Saidina Umar Al-Khattab.

Sebagai kesimpulannya, wanita serta golongan mahasiswi perlu mengambil peluang dalam proses ‘decision making’ seoptimum mungkin bagi memastikan isu-isu mengenai wanita dan mahasiswi diberi perhatian dan tindakan sewajarnya. Menurut The Beijing Platform for Action, 1995: “…women’s equal participation in decision-making is not only a demand for simple justice or democracy but can also be seen as a necessary condition for women’s interests to be taken into account. Without the active participation of women and the incorporation of women’s perspective at all levels of decision-making, the goals of equality, development and peace cannot be achieved…”

Artikel Oleh:
Nurul Husna Binti Omar
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/2011
Pusat Pengajian Sains Kajihayat
Exco Pembangunan Lestari & Kampus Sejahtera

Rabu, 20 Julai 2011

Ulasan Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar USM 2011 dari Kaca Mata Seorang Mahasiswa

Seusai tamatnya program Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar yang julung kali dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) pada hari ini, tiada kata yang mampu saya secara peribadi katakan kepada pihak pentadbiran universiti. Bukan bertujuan untuk membodek pihak-pihak tertentu tetapi saya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk duduk bersama dan membincangkan banyak perkara berkaitan pembangunan pelajar bersama pegawai-pegawai tertinggi dan ilmuan-ilmuan akademik universiti. Bukan sahaja ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11 sahaja yang dijemput, malahan wakil-wakil dari barisan kepimpinan mahasiswa seperti persatuan dan Majlis Penghuni Desasiswa turut hadir ke program ini.


Dalam ucaptama Timbalan Naib Canselor (HEPP), Y.Bhg Prof. Dato’ Omar Osman, beliau menyentuh mengenai status terkini pencapaian APEX USM. Salah satunya adalah USM masih belum dikenali di mata dunia. Pada pendapat saya, penjenamaan USM sangat diperlukan kerana seperti yang kita tahu, banyak anugerah yang dimenangi oleh mahasiswa-mahasiswa USM sama ada di peringkat nasional dan global. Seharusnya, pengiktirafan ini mampu menjadi  penanda aras dalam mempromosikan jenama dan produk USM yang mungkin boleh dikomersialkan dengan lebih meluas. Bagi sebahagian orang, mungkin populariti itu tidak penting tapi tiada salahnya jika jenama dan produk USM itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Terbaru ialah produk berkonsepkan dari sisa ke emas yang dihasilkan oleh trio penyelidik muda dari P.Pengajian Kimia yang mengungguli Anugerah Penyelidikan Terbaik NRIC 2011. Tidakkah kita berbangga dengan pencapaian ini?

Pada hari pertama Konvensyen ini juga terdapat slot daripada Prof. Datuk Emiritius Dr. Shad Saleem Faruqi yang merupakan Penasihat Undang-undang USM. Slot ini sangat membantu terutama sekali kepada mahasiswa sendiri dalam memahami pindaan terbaru dalam AUKU, konsep kebebasan bersuara, demokrasi mahasiswa dan lain-lain.

Selain itu, lebih mengkagumkan apabila tiga orang wakil mahasiswa diberi peluang untuk membuat pembentangan dalam slot Bersama Pemimpin Pelajar. Saudara Idzuan (YDP MPPUSM 2010/11) diberi mandat untuk membentangkan topik Transformasi Mahasiswa, saudara Wafi (mantan YDP MPPUSM 2009/10) membentangkan topik Ketidakbergantungan Pelajar dan saudara Shafiq (Speaker DPP/mantan YDP MPPUSM 2008/09) telah membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara. Secara peribadi, saya dapat melihat ketrampilan dan kredibiliti pemimpin-pemimpin mahasiswa ini ketika mereka membentangkan tajuk masing-masing. Skil-skil pengucapan awam dan cara mereka menjawab setiap persoalan dan kritikan membina daripada pegawai universiti wajar kita contohi.

Selanjutnya, antara slot yg diadakan semasa Konvensyen ini adalah; “Pembangunan Pengurusan Pelajar Ijazah Lanjutan – Cabaran Kepada Universiti’ oleh Abdul Hamid Majid, Timbalan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah, “Kesejahteraan Pelajar dan Isu-Isu Semasa” oleh Azmi Hassan, Ketua Sektor Kesejahteraan BHEPP dan Prof. Madya Mohamad Hashim Othman, “Transformasi Desasiswa” oleh Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Majlis Pengawa-Pengawa, “Idea-Idea Terkini” oleh Prof. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga serta “Keseimbangan Akademik & Kokurikulum” oleh Dato’ Prof. Ishak Hj. Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Konklusinya, saya merasakan wajar Konvensyen seperti ini diteruskan dan menjadi konvensyen tahunan antara pihak pentadbiran universiti dan mahasiswa USM. Peluang platform seperti ini saya percaya belum pernah wujud di mana-mana IPT Malaysia apabila pegawai tertinggi universiti dan mahasiswa boleh duduk berbincang bersama-sama demi memastikan objektif transformasi universiti dan mahasiswa seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Siswa (DPS) dapat dicapai. Penghakupayaan dan pengukuhan dalam transformasi ini diharap dapat menambahbaik sistem yang sedia ada.

Justeru, saya menyarankan kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain supaya tidak cepat melatah sekiranya menghadapi masalah dengan pihak pengurusan universiti. Ketahuilah bahawa mereka juga bertungkus-lumus dalam memastikan kecemerlangan universiti untuk melahirkan mahasiswa USM yang berkualiti dan mampu berdaya saing sejurus tamat pengajian. Saya mewakili barisan MPPUSM 2010/11 juga ingin menyatakan bahawa sebagai perantara antara pihak pengurusan universiti dan mahasiswa, kami akan cuba sebaik mungkin supaya hal ehwal kebajikan mahasiswa sentiasa dalam keutamaan kami. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga kepada BHEPP atas peluang yang diberikan ini.





Artikel Oleh:
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa dan Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11

Khamis, 5 Mei 2011

PARLIMEN MAHASISWA BUKAN BONEKA SEMATA-MATA

Dewan Perundingan Pelajar (DPP) ataupun lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa merupakan salah satu wadah yang dirangka oleh MPP USM 2009/10 bagi menjadi wadah kepada wakil mahasiswa USM melontarkan pandangan dan pendapat dengan cara yang sihat. DPP yang telah diadakan sebanyak 2 kali pada sidang 2009/10 yang lepas telah menunjukkan suasana yang positif kepada mahasiswa usm dalam memperkayakan suara mahasiswa.

Penubuhan Parlimen mahasiswa sebelum ini mendapat kritikan hebat daripada beberapa pihak yang mungkin tidak berani menerima cabaran ataupun hanya pandai mengkritik semata-mata. Walaupun DPP USM menerima kritikan seperti keputusan yang diputuskan oleh ahli dewan mesti dirujuk ataupun di bawah kuasa Nain Canselor. Mereka perlu melihat bahawa peranan Naib Canselor dalam universiti sama peranannya dengan Yang di Pertua Agong dalam Parlimen Malaysia. Naib Canselor bukannya akan membangkang segala keputusan ahli dewan tetapi Naib Canselor berperanan untuk melihat segala pergerakan agar ianya berjalan dengan lancar.

Dari segi demokrasi dalam DPP yang dituntut oleh ahli pemerhati dewan dalam persidangan kedua baru-baru ini, beliau meminta untuk dewan didemokrasikan untuk memanggil wakil-wakil dalam jabatan Universiti untuk turut serta dalam dewan untuk menjawab aduan dan usul-usul oleh pelajar. Perkara ini tidaklah relevan sama sekali kerana dalam dewan parlimen negara sekalipun, saya rasa tidak ada pula ketua polis negara, ketua jabatan bomba dan sebagainya. Sekiranya perkara ini di lakukan, apalah lagi tugas MPP dalam melangsaikan proses penyelesaian tersebut. DPP bukan sahaja memberi ilmu dari segi perbahasan yang baik, malah ianyan memberi ilmu dari segi bagaimana sesuatu pihak berinteraksi dengan pihak yang lain untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Dari segi kebebasan pula, ada pihak yang berpendapat DPP yang dilakukan oleh USM dikatakan menyekat suara-suara ahli dewan. Sebenarnya bagi mereka yang belum merasai mesti berpendapat sebegitu, namun bagi yang pernah duduk di dalam dewan, suara mereka tidak disekat sama sekali. Sekiranya mereka menyentuh tentang kebebasan usul-usul yang diketengahkan disekat, DPP USM juga ada membincangkan usul-usul yang menyentuh dasar kerajaan. Misalnya dalam membahas masalah tempoh persaraan dari 58 tahun ke 60 tahun dilanjutkan yang akhirnya memberi kesan kepada mahasiswa yang baru bergraduasi. Kami ahli DPP menyokong untuk kerajaan mengkaji semula dasar ini dan akhirnya alhamdulillah kerjaan mendengar dan mengkaji semula.

Begitu juga dengan usul yang menyentuh tentnag masalah kerajaan negeri Pulau Pinang yang mengabaikan orang-orang tua yang membawa beca. Mereka merempat di jalanan tanpa hala tuju dan perkara ini memberi kesan dalam sektor pelancongan misalnya. Jadi keputusan yang diputuskan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri diluluskan dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Adakah ini menyekat kebebasan. Cuma apa yang perlu difikirkan oleh mahasiswa kini bukanlah sekadar perlu berdiri di landasan autonomi, kebebasan dan demokrasi, malah mahasiswa juga perlu berlandaskan kepada rasional, realistik dan toleransi dalam pemikiran mereka. Tidak wajar saya rase sekiranya DPP ataupun parlimen mahasiswa membincangkan isu video seks Anwar Ibrahim dalam DPP. Adakan ianya rasional dibincangkan?

Saya berharap masyarakat di luar sana jangan mudah terpengaruh dengan idea-idea yang dikongsikan oleh ahli politik luar dalam penubuhan Parlimen Mahasiswa ini. Biarlah kita sebagai mahasiswa berdiri dengan sendiri dan membuat keputusan sendiri tetapi perlu berlandakan kepada AUKU. Janganlah dek kerana mahukan kebebasan yang diinginkan kita sebagai mahasiswa hilang identiti dan menjadi pak turut mana-mana pihak.

Justeru,bagi barisan baru MPP sidang 2010/11 di bawah kendalian saudara Muhammad Idzuan Bin Jamalludin, akan mengadakan sebuah Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa Peringkat Nasional. Konvensyen ini adalah bermatlamat untuk membantu IPTA-IPTA di seluruh Malaysia bagi mewujudkan Parlimen Mahasiswa di universiti masing-masing. Konvensyen ini yang diadakan di kampus induk USM akan melibatkan hampir 20 IPTA seluruh Malaysia di mana mereka telah bersedia mewujudkan Parlimen Mahasiswa yang akan menjadi wadah utama mahasiswa memanifestasikan hak mahasiswa sebenar.

Dalam pada itu,MPP USM yang mempunyai pengalaman dalam penubuhan DPP USM, akan cuba membantu IPTA-IPTA lain bagi mewujudkan Parlimen Mahasiswa. Dalam konvensyen ini, seketeriat Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa yang diketuai oleh bendahari MPPUSM 2010/11, saudari Izzah Syahmina Bt Anuar, akan menjemput pakar-pakar perundangan dalam konvensyen ini seperti Timbalan Naib Canselor Usm, Prof Dato Omar Osman dan pakar undang-undang UITM, Prof Shad untuk bersama-sama dalam konvensyen ini. Perkara ini dilakukan adalah kerana untuk memberi pendedahan yang mendalam kepada wakil-wakil IPTA yang akan membawa modul parlimen masing-masing.

Konvensyen yang diadakan ini mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dalam sama-sama menjayakan konvensyen ini. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin Abdullah akan turut serta dalam perasmian konvensyen selain sebagai wakil daripada pihak kementerian dalam program ini.

Konvensyen yang diadakan oleh MPPUSM ini juga secara tidak langsung bertepatan dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Khaled Nordin yang menginginkan sekurang-kurangnya 80% daripada IPTA seluruh Malaysia mewujudkan Parlimen Mahasiswa bagi bersama-sama mewujudkan generasi modal insan kelas pertama. Kewujudan Parlimen Mahasiswa di seluruh IPTA ini juga akan membawa kepada Parlimen Mahasiswa Nasional Malaysia yang sedang dirancang oleh MPPUSM yang mempunyai peranan lebih besar dengan membawa suara semua wakil mahasiswa di Malaysia. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan sangat memandang serius akan suara dan idea-idea dari kalangan mahasiswa yang akan membantu dalam mewujudkan negara maju pada masa akan datang.



Muhammàd Idzuan Bin Jamalludin
Yang di Pertua Majlis Perwakilàn Pelajar
Universiti Sains Malaysia 2010/11

Rabu, 23 Mac 2011

PESANAN RINGKAS YDP MPP 2010/2011

Assalamualaikum...salam 1 Malaysia..                   

                   Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar isu kehilangan barang-barang di sekitar USM. Isu kehilangan yang dilaporkan kebanyakannya melibatkan harta benda yang mempunyai nilai yang tinggi. Misalnya barang-barang seperti komputer riba,motosikal,telefon bimbit dan sebagainya.Perkara ini sebenarnya berlaku sejak dahulu lagi. Tahun lepas misalnya banyak kejadian kecurian berlaku di desasiswa-desasiswa di USM. Kalau dilihat mengapa perkara ini berlaku,ramai yang menganggap ia berpunca daripada kelemahan sistem keselamatan di USM. Perkara ini telah pun diambil berat oleh MPP sebelum-sebelum ini dan begitu juga dengan MPP sidang ini.                

                   Selepas beberapa kali mesyuarat yang diadakan di antara pihak MPP dan pihak jabatan keselamatan, pihak MPP berjaya untuk memberi pandangan dan pendapat mengenai tahap kualiti jabatan keselamatan perlu dipertingkatkan. Perkara ini juga menjadi perhatian oleh pihak tertinggi Universiti yang melihat perkara ini perlu diperbaiki.Namun, perubahan ini tidak boleh di lakukan dengan drastik. Ia perlu melalui prosedur-prosedur dan perlaksanaannya mengambil masa yang mungkin panjang. Pihak jabatan keselamatan USM juga berjanji untuk cuba membaiki dan mempertingkatkan mutu mereka dari semasa ke semasa.              

                   Justeru,nasihat saya kepada rakan-rakan USM agar kita juga perlu mengambil berat tentang keselamatan harta benda kita.Selain daripada bantuan yang disalurkan oleh jabatan keselamatan,kita juga perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk kita bekerjasama dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab.Jadi saya ingin sarankan kepada rakan-rakan untuk lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling.Misalnya,kita perlu berhati-hati untuk meminjamkan motosikal kita kepada rakan-rakan kita. Kerana ada kes di mana rakan yang meminjam motosikal kita itu membuat kunci pendua di luar jangkaan kita. Jadi tidak hairanlah walaupun motor kita dikunci dengan 5 jenis mangga sekalipun boleh hilang.

                   Begitu juga kalau kita lihat dari segi keselamatan di bilik kita. Ada kes-kes di mana pelajar terbabit bersikap cuai sewaktu meninggalkan bilik mereka. Almari yang ada dalam bilik tersebut juga tidak digunakan sepenuhnya. Jadi, kalau ingin lebih selamat,lebih baik bawa sahaja laptop itu sewaktu kuliah. Saya rasa kaedah ini lebih selamat. Akhir kata, saya mewakili pihak MPP menyeru kepada rakan-rakan untuk kita bersama-sama menjaga keselamatan harta benda kita sendiri. Insyallah kalau semua mahasiswa mengambil berat perkara ini,secara tidak langsung ia dapat mengurangkan sedikit kadar kecurian di USM.Sekian terima kasih.


MUHAMMAD IDZUAN BIN JAMALLUDIN
YDP MPP USM 2010/2011

Khamis, 17 Mac 2011

Perutusan YDP MPP USM 2010/2011

Assalamualaikum..Salam 1 Malaysia dan Salam Kelestarian Teras Pembangunan Insaniversiti...
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan MPP 2010/11 kerana berjaya mengeluarkan buletin MPP pertama pada kali ini..

Selaku YDP MPP Universiti Sains Malaysia sidang 2010/11, Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan oleh mahasiswa/i serta pihak Universiti, kami di barisan MPPUSM untuk sidang yang baru ini akan cuba mengemudikan dengan baik bahtera yang sama-sama kami naiki ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau yang bakal mendatang. Justeru, kami mengharapkan sokongan semua untuk sama-sama berpadu tenaga menuju satu matlamat yang sama iaitu untuk terus mencapai dan mengekalkan kegemilangan Universiti Sains Malaysia.

Kita harus menerima realitinya bahawa alam kemahasiswaan kini tidak lagi sama. Hampir setiap hari, ada saja masalah dan isu baru yang timbul, menyebabkan kita sebagai mahasiswa terkadang berasa tertekan dan ditekan. Keterbukaan mahasiswa/i dalam mengemukakan pandangan dan perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian dan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari semua pihak. Saya mewakili MPPUSM pada sidang ini, ingin menyeru kepada pimpinan-pimpinan pelajar melalui organisasi mahupun individu perseorangan agar sentiasa bersedia dalam mengutarakan cadangan atau kritikan membina demi kepentingan bersama.

Segala idea yang diutarakan perlu dibincangkan melalui medium yang lebih ilmiah dan berpaksikan pada keintelektualan sabagai seorang mahasiswa/i. Contohnya melalui saluran dan ruang-ruang organisasi yang dibenarkan oleh pihak universiti tentunya. Pihak MPPUSM sentiasa bersedia menjadi perantara dalam membawa suara mahasiswa/i ke peringkat atasan. Oleh itu, saya mengharapkan agar kita dapat bersatu hati dalam memastikan aspirasi, hak dan kebajikan pelajar terus terbela.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong MPP pada kali ini. Semoga kita dapat bekerjasama dalam menjayakan misi dan visi Universiti...


Muhammad Idzuan bin Jamalludin
Ydp MPP USM 2010/2011