Memaparkan catatan dengan label pengumuman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengumuman. Papar semua catatan

Rabu, 14 September 2011

KEMASUKAN BIASISWA JPA UNTUK SEMESTER 1 SIDANG 2011/2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Berikutan pelbagai khabar angin yang tersebar berkenaan kemasukan biasiswa JPA untuk pelajar tahun 2 hingga 4, saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada pelajar berita yang sahih untuk mengelakkan kecelaruan informasi.

Saya telah berhubung dengan Puan Hasfizani Haji Ariffin, Penolong Pendaftar Unit Tajaan BHEPP USM dan berikut merupakan respon beliau.

Untuk makluman semua pelajar, pihak Universiti mahupun Unit Tajaan hanyalah pengantara antara pihak penaja dan pelajar, yang mana hubungan baik mesti dijaga untuk kerjasama masa hadapan dan kebaikan pelajar kelak. Sehubungan dengan itu prinsip dan tatacara pihak-pihak berkenaan juga perlu dihormati. 

Kaedah bayaran JPA kepada pelajar adalah sama seperti mana PTPTN, cuma pengesahan status akademik pelajar-pelajar PTPTN dibuat sebelum pelajar balik ke Kampus namun semasa Puan Hasfizani menghubungi pihak JPA, pengesahan status akademik pelajar dibuat selepas pelajar masuk ke kampus dan bayaran kepada yang layak hanya akan dibuat selepas itu. Bayaran sepatutnya mesti melalui Jabatan Bendahari atas permohonan Universiti, ini kerana terdapat kes pada tahun-tahun lepas, iaitu apabila dibayar terus kepada akaun pelajar ramai yang tidak membayar yuran dan kemudiannya mengalami masalah untuk pendaftaran pada semester berikutnya.

Berkenaan dengan tarikh kemasukan biasiswa JPA pula, Puan Hasfizani menyatakan bahawa pihak JPA tidak boleh memberikan satu tarikh yang pasti sepertimana daripada pihak PTPTN.

Walaubagaimanapun, kami di pihak MPP kini sedang cuba untuk menghubungi pihak JPA secara terus untuk berunding agar biasiswa JPA dapat dimasukkan awal.

Harap semua pelajar dapat bersabar dalam menanti respon daripada pihak JPA.

Sekian, terima kasih.


Izzah Syahmina binti Anuar
Bendahari Kehormat
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 24 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Dengan ingatan tulus ikhlas daripada
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011
Universiti Sains Malaysia





































Jumaat, 12 Ogos 2011

PENGUMUMAN: Pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN

Bagi bakal-bakal mahasiswa yang datang daripada keluarga berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan, pengumuman pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang akan disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada hampir 35,664 pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi (IPT) pasti membuat ibu bapa khususnya berasa lega dalam menyediakan kelengkapan buat anak-anak yang bakal menjengah dunia kampus awal September depan.

Saya percaya bahawa kita semua sedar bukan semua antara kita yang datang daripada keluarga yang berkemampuan. Saya sendiri, ketika mahu melanjutkan pelajaran ke USM pada Julai tahun lepas, turut berkira-kira dan berfikir panjang sama ada patut menggunakan WPP atau tidak. Tapi, mengenangkan 2 adik yang lain juga bakal melanjutkan pelajaran dan 3 lagi masih di alam persekolahan, saya nekad untuk menggunakan WPP walaupun menyedari PTPTN akan menolak RM500 bermula pada semester kedua. 

Suka saya nasihatkan kepada bakal-bakal penerima WPP supaya menggunakan wang itu dengan sewajarnya. Suatu ketika dulu, sebelum wujudnya WPP, ada ibu bapa yang sanggup berkorban dan bergolok-gadai demi memastikan anak tercinta dapat menyambung pelajaran ke IPT. Sesungguhnya kita sekarang sangat beruntung kerana sekurang-kurangnya dengan WPP, banyak persiapan yang boleh kita buat tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Tidak harus dilupa bahawa bagi kita yang beragama Islam, kita bakal menyambut ketibaan Aidilfitri beberapa hari sebelum sesi pendaftaran di IPT masing-masing. Sudah tentu ibu bapa kita juga perlu memikirkan persiapan untuk menyambut raya. Bayangkan bagaimana ibu bapa kita perlu bekerja-keras dan mengikat perut demi memenuhi persiapan-persiapan ini kerana sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan keperluan anak-anak.

 Justeru, manfaatkanlah WPP ini dengan bijak dan rancanglah perbelanjaan dengan teliti. Pentingkan apa yang lebih penting daripada pentingkan apa yang tidak penting kerana pentingkan apa yang lebih penting adalah lebih penting dari pentingkan apa yang tidak penting. Sebagai balasan atas jasa-jasa mereka yang bertanggungjawab dalam memudahkan keperluan kita, belajarlah bersungguh-sungguh dan pastikan mereka berbangga dengan kejayaan kita. Bukan semua orang mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran. Janganlah disia-siakan peluang yang diberi kepada kita.

Sekian.


Pesanan ikhlas,
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa & Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 10 Ogos 2011

MAKLUMAN TERKINI TENTANG TARIKH DAN MASA PENDAFTARAN DIRI PELAJAR BARU SIDANG AKADEMIK 2011-2012

Rabu, 10 Ogos 2011 

Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran diri bagi pelajar-pelajar baru Sidang Akademik 2011-2012 di Kampus Induk USM, Pulau Pinang, adalah dimaklumkan bahawa sesi lapor diri pelajar pada hari Selasa, 6 September 2011 kini dibahagikan kepada dua peringkat.

Bagi pelajar-pelajar baru yang ditawarkan penginapan di Desasiswa Aman Damai, Cahaya Gemilang, Fajar Harapan, Restu dan Saujana, proses pendaftaran diri mereka kini akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.


Pelajar-pelajar yang menerima tawaran penginapan di Desasiswa Bakti Permai, Indah Kembara dan Tekun pula diminta melapor diri mulai jam 2.30 petang sehingga 6.30 petang.

Maklumat lengkap termasuk lokasi lapor diri adalah seperti yang terkandung di dalam makluman hebahan yang disertakan di bawah ini.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi Unit Perumahan dan Penginapan Universiti, Sektor Perkhidmatan pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar di talian 04-653 4454/4455/3107 atau e-mel/Facebook: uppu@usm.my. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan Al-Mubarak.




Kami, barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) 2010/2011 dengan ini ingin mengucapkan

SELAMAT BERIBADAH DI BULAN MULIA RAMADHAN.





Sabda Rasulullah s.a.w.;

 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

"Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu".
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)


 Sabda Rasulullah s.a.w;


 إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفَّدتِ الشَّياطينِ ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءٌ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ 


Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; "Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)". Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).
[Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.]


 Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud;

"Sungguh, telah datang padamu bulan yang penuh berkat, di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, dan di mana dijumpai suatu malam yang dinilainya lebih berharga dari seribu bulan, maka barang siapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya."
(Hadis Riwayat Ahmad, Nasa'i dan Baihaqi)

Sabtu, 30 Julai 2011

PENGUMUMAN: BANTUAN KEWANGAN SOSIOEKONOMI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, semalam saya telah berjumpa dengan Pn. Fauziah, pegawai psikologi di Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk berbincang dengan beliau mengenai keputusan bantuan sosioekonomi yang telah ditawarkan kepada mahasiswa USM pada penghujung semester yang lepas.

Menurut beliau, seramai 265 orang mahasiswa telah berjaya terpilih mendapat bantuan tersebut. Setiap daripada mereka akan menerima wang tunai sebanyak RM500.00 seorang dan wang tersebut akan diperolehi pada semester hadapan. 

Namun demikian, beliau memaklumkan bahawa kemungkinan akan berlaku sedikit perubahan untuk senarai mahasiswa yang berjaya menerima tawaran ini berdasarkan beberapa sebab, antaranya ialah kepada mahasiswa yang sudah menamatkan pelajarannya di USM. Mereka ini sudah tidak layak lagi untuk mendapatkan bantuan ini. Hal ini mungkin terjadi kerana bantuan ini telah ditawarkan pada semester lepas dan ramai mahasiswa telah memohon bantuan ini, termasuklah mahasiswa yang sudah berada pada semester akhir dan yang akan bergraduasi pada bulan September ini. Oleh itu, mahasiswa terbabit sudah tidak layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, keputusan yang diambil untuk pemilihan ini adalah berdasarkan kepada kelayakan taraf pendapatan keluarga yang berpendapatan sebanyak RM500.00 ke bawah. Maka, hanya mahasiswa yang layak sahaja yang layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Kepada mahasiswa yang akan memperolehi bantuan ini, anda akan dihubungi terus oleh pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk urusan kemasukan wang nanti. Diharapkan anda semua dapat bersabar dan menunggu maklum balas dari pihak mereka nanti. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, bantuan sosioekonomi ini juga akan dibuka untuk kali kedua pada semester baru nanti. Permohonan kedua ini akan dibuka kepada mahasiswa tahun pertama yang bakal mendaftar masuk di USM pada bulan September ini. Oleh itu, kepada bakal mahasiswa baru, anda boleh memohon bantuan ini apabila sudah mendaftar sebagai mahasiswa USM. Permohonan tersebut akan dibuka pada semester hadapan dan anda bolehlah merujuk kepada laman web BHEPP untuk sebarang maklumat lanjut. 

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar atas kerjasama dan layanan yang sangat baik yang telah diberikan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pn. Fatimah iaitu staf Sektor Kesejahteraan Pelajar yang akan bersara dan semalam merupakan hari terakhir beliau berkhidmat di USM. Tahniah diucapkan atas sumbangan beliau selama beliau bertugas di USM. 

Akhir kata, saya mewakili seluruh MPPUSM mengucapkan tahniah kepada mahasiswa yang telah berjaya mendapat bantuan ini dan diharapkan agar anda dapat menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya. Semoga dengan wang ini dapat membantu anda menyelesaikan masalah anda. Kepada yang tidak berjaya, diharap anda tidak kecewa dan jika anda mempunyai sebarang masalah mengenai kewangan bolehlah maklumankan. Insyallah tindakan yang sebaiknya akan diambil untuk membantu anda. 

Sekian, Terima Kasih.



"Kelestarian Teras Pembangunan Insaniversiti'


Daripada:
SITI NUR ATIKAH BINTI SHAMSUDDIN  
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/2011
Pusat Pengajian Sains Fizik
Exco Akademik, Kerjaya & Masyarakat.

Jumaat, 22 Julai 2011

Penjualan Borang Lot Niaga ConvEx 2011



Penjualan Borang Lot Niaga adalah pada 18-24 Julai 2011 bertempat di Kompleks Cahaya Siswa, USM. Pelajar USM adalah digalakkan untuk terlibat sama dalam memeriahkan lagi Ekspo Konvokesyen. Anda dipelawa untuk membuka lot-lot niaga sama ada atas tiket kelab/persatuan ataupun atas nama individu. Sekiranya ada masalah untuk mendapatkan borang, kami menyediakan perkhidmatan pengeposan borang ke alamat rumah anda. Sebarang maklumat atau kemusykilan boleh hubungi kami di talian 04-6533323 / 04-6533324. Sekian, terima kasih.


Mohd Akmal Md Muslim
Jabatan Koridor Niaga
Sekretariat Ekspo Konvokesyen 2011



Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11

Rabu, 20 Julai 2011

PENGUMUMAN: Penggunaan Email Pelajar USM

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Makluman berikut adalah berkenaan penggunaan e-mel pelajar Universiti Sains Malaysia yang telah dipanjangkan daripada pihak Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) kepada Majlis Perwakilan Pelajar.

Setiap pelajar diberikan e-mel pelajar oleh PPKT. Namun begitu, kadar penggunaannya oleh pelajar amat mendukacitakan. Oleh hal yang demikian, penghantaran e-mel dalaman (misalnya daripada pihak USM kepada pelajar) telah mengakibatkan masalah kepada pihak PPKT. Pengumuman, pemberitahuan, dan yang seumpamanya berkemungkinan untuk tidak sampai kepada pelajar kerana kurangnya bilangan pelajar yang menyemak e-mel mereka. Oleh itu, PPKT memohon kepada semua pelajar agar memanfaatkan e-mel pelajar yang diberikan untuk kebaikan bersama.

Selain itu, para pelajar juga boleh memohon software Windows7 secara percuma daripada pihak PPKT dengan menghantar e-mel kepada msdnaa@usm.my. Sila nyatakan dalam permohonan tersebut nama penuh, e-mel pelajar dan nombor matrik anda. Kami di barisan MPP menggalakkan semua mahasiswa/i untuk  memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak Universiti.

Sebarang masalah atau pertanyaan berkaitan dengan e-mel pelajar, sila e-melkan kepada helpdesk@student.usm.my



Daripada:
Mohd. Hanif bin Ahmad dan Nurul Husna binti Omar
Exco Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11

Universiti Sains Malaysia




'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 16 Mac 2011

JAWAPAN KEPADA MASALAH WIFI

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Merujuk masalah mahasiswa/mahasiswi utarakan kepada MPP. Permasalahan WiFi adalah masalah yang baru kerana sebelum ini perjalanan WiFi amat memberangsangkan.

Dimaklumkan kepada semua bahawa masalah WiFi yg berlaku kini adalah disebabkan saluran WiFi yang menampung kapasiti pengguna dalam kampus berada pada tahap MAKSIMUM. Hal ini adalah kerana warga USM semakin banyak menggunakan WiFi dan pertambahan ini telah menyebabkan talian menjadi lambat. Selain itu,masalah ini juga disebabkan beberapa faktor berikut:
  1. Penggunaan laman web utk memuat turun movie atau video
  2. Muat turun software
  3. dan penggunaan lain-lain  laman web yang memerlukan kapasiti yang berat.

Menurut Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT), saluran WiFi mulai sibuk dan berada pada tahap maksimum bermula jam 8 pagi hingga 4 pagi. Tambahan pula sikap warga USM yang suka memuat turun movie amatlah tinggi dan menjejaskan kelancaran WiFi dikampus. Peratusan memuat turun amat tinggi dan antara statistik muat turun movie yang tertinggi adalah drama korea, movie melayu dan tidak terkecuali video lucah.

Faktor luaran yang menyebabkan masalah ini berlaku, salah satunya adalah bencana alam yang berlaku di Japan baru-baru ini, kerana antara kabel yang menghubungkan sistem yang digunakan diberitakan menghadapi masalah & kerosakan. Tempoh baikpulih mungkin akan mengambil masa dalam sebulan lebih.

Langkah penyelesaian yang sedang diusahakan oleh pihak PPKT sekarang adalah untuk menyekat beberapa individu yang dikesan menyalahgunakan kemudahan ini. Selain itu,pihak PPKT juga dalam perancangan menutup USMHotspot supaya kelancaran USMSecure dapat berjalan lancar. Namun demikian, hal ini belum diputuskan.

Harapan MPP kepada semua warga kampus agar tidak menyalahgunakan kemudahan WiFi ini kerana salah guna yang anda lakukan mengakibatkan kemudahan ini terjejas dan mendatangkan masalah kepada warga kampus yang lain. Sekiranya kita ingin memperluas jaringan WiFi ini, ia akan memakan masa yang agak lama dan kos yang sangat tinggi. Oleh hal yang demikian, saya berharap warga kampus dapat memahami situasi ini dan jika anda tergolong dalam golongan yang menyalahguna kemudahan ini, saya mohon agar anda dapat memberi kerjasama dalam usaha kita memperbaiki masalah ini. Sebarang masalah, bolehlah diusulkan di group MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM 10/11.

Sekian, harap maklum.



MOHD HANIF BIN AHMAD
EXCO PENERBITAN, PUBLISITI & INFORMASI
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM 2010/11