Sabtu, 30 Julai 2011

PENGUMUMAN: BANTUAN KEWANGAN SOSIOEKONOMI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, semalam saya telah berjumpa dengan Pn. Fauziah, pegawai psikologi di Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk berbincang dengan beliau mengenai keputusan bantuan sosioekonomi yang telah ditawarkan kepada mahasiswa USM pada penghujung semester yang lepas.

Menurut beliau, seramai 265 orang mahasiswa telah berjaya terpilih mendapat bantuan tersebut. Setiap daripada mereka akan menerima wang tunai sebanyak RM500.00 seorang dan wang tersebut akan diperolehi pada semester hadapan. 

Namun demikian, beliau memaklumkan bahawa kemungkinan akan berlaku sedikit perubahan untuk senarai mahasiswa yang berjaya menerima tawaran ini berdasarkan beberapa sebab, antaranya ialah kepada mahasiswa yang sudah menamatkan pelajarannya di USM. Mereka ini sudah tidak layak lagi untuk mendapatkan bantuan ini. Hal ini mungkin terjadi kerana bantuan ini telah ditawarkan pada semester lepas dan ramai mahasiswa telah memohon bantuan ini, termasuklah mahasiswa yang sudah berada pada semester akhir dan yang akan bergraduasi pada bulan September ini. Oleh itu, mahasiswa terbabit sudah tidak layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, keputusan yang diambil untuk pemilihan ini adalah berdasarkan kepada kelayakan taraf pendapatan keluarga yang berpendapatan sebanyak RM500.00 ke bawah. Maka, hanya mahasiswa yang layak sahaja yang layak untuk mendapatkan bantuan ini. 

Kepada mahasiswa yang akan memperolehi bantuan ini, anda akan dihubungi terus oleh pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar untuk urusan kemasukan wang nanti. Diharapkan anda semua dapat bersabar dan menunggu maklum balas dari pihak mereka nanti. 

Berdasarkan maklumat daripada Pn. Fauziah juga, bantuan sosioekonomi ini juga akan dibuka untuk kali kedua pada semester baru nanti. Permohonan kedua ini akan dibuka kepada mahasiswa tahun pertama yang bakal mendaftar masuk di USM pada bulan September ini. Oleh itu, kepada bakal mahasiswa baru, anda boleh memohon bantuan ini apabila sudah mendaftar sebagai mahasiswa USM. Permohonan tersebut akan dibuka pada semester hadapan dan anda bolehlah merujuk kepada laman web BHEPP untuk sebarang maklumat lanjut. 

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Sektor Kesejahteraan Pelajar atas kerjasama dan layanan yang sangat baik yang telah diberikan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pn. Fatimah iaitu staf Sektor Kesejahteraan Pelajar yang akan bersara dan semalam merupakan hari terakhir beliau berkhidmat di USM. Tahniah diucapkan atas sumbangan beliau selama beliau bertugas di USM. 

Akhir kata, saya mewakili seluruh MPPUSM mengucapkan tahniah kepada mahasiswa yang telah berjaya mendapat bantuan ini dan diharapkan agar anda dapat menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya. Semoga dengan wang ini dapat membantu anda menyelesaikan masalah anda. Kepada yang tidak berjaya, diharap anda tidak kecewa dan jika anda mempunyai sebarang masalah mengenai kewangan bolehlah maklumankan. Insyallah tindakan yang sebaiknya akan diambil untuk membantu anda. 

Sekian, Terima Kasih.



"Kelestarian Teras Pembangunan Insaniversiti'


Daripada:
SITI NUR ATIKAH BINTI SHAMSUDDIN  
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/2011
Pusat Pengajian Sains Fizik
Exco Akademik, Kerjaya & Masyarakat.

2 ulasan:

aizattaib berkata...

Sosial ekonomi atau sosioekonomi?

Majlis Perwakilan Pelajar USM berkata...

Terima Kasih atas pembetulan.... Salam Ramadhan dari MPPUSM 2010/2011