Selasa, 13 September 2011

KSN SETUJU CARA KERJA USM

Khamis, 08 September 2011 10:25


usmccb


PULAU PINANG, 8 Sept –  Pelaksanaan cara kerja yang diamalkan di Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat sebagai satu contoh terbaik dalam menggambarkan bagaimana penjawat awam perlu mencabar ‘status quo’ ke arah memantapkan kualiti penyampaian.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, USM telah membuktikan kemampuan dengan menampilkan hasil yang dapat mencabar amalan sedia ada ke arah lebih baik, khususnya dari aspek pembangunan penyelidikan (R&D).

Katanya, USM mempunyai keupayaan, kamampuan dan paling penting kemahuan dalam menjalankan kerja-kerja yang mencabar yang menjadikannya lebih kompetetif pada hari ini.

``Persekitaran kerja beginilah yang kita hendak khususnya dalam kalangan sektor awam. Semua pihak perlu berani melakukan perubahan dan sesuatu yang baru,’’ katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Biologi Kimia USM di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak serta pegawai-pegawai utama universiti.

Tambah Mohd. Sidek, inovasi seperti yang telah dijalankan di USM perlu diterapkan ke semua institusi pengajian tinggi tanah air namun ia bukanlah terhad kepada bidang R&D sahaja.

``Kita perlu amalkan inovasi yang dapat mencabar status quo, sekaligus mendatangkan keputusan jangka panjang yang cemerlang dan membanggakan,’’ jelas beliau lagi.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan syarahan khas bertajuk What Challenging Status Quo Should Deliver di hadapan kira-kira 3,500 pelajar baru USM sempena Minggu Siswa Lestari sidang akademik 2011/2012.

Dalam majlis sama, Mohd. Sidek turut melancarkan buku bertajuk Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow 2011: Delivering Excellence; World’s First Initiatives.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan, para pelajar perlu melihat diri sendiri lebih jauh ke depan untuk memastikan usaha bagi mencapai matlamat hidup dapat direalisasikan dengan baik.

``Jika sekiranya pelajar berhasrat ingin menjadi Naib Canselor universiti dalam tempoh 30 tahun akan datang, maka ushaa ke arah itu perlu bermula sekarang dan pelajar itu juga perlu melihat, berfikir, bertindak mengikut cara sebagai seorang Naib Canselor.

``Bukan bermakna jika kita bergelar pelajar pada hari ini dan menganggap kita perlu bereaksi sebagai seorang pelajar. Corak pemikiran begini tidak akan membantu untuk kita menggapai impian masa depan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Dzulkifli pula berkata, pihak universiti berharap agar siswa-siswi dapat berkecimpung cergas ketika bergelar warga kampus dan menjadi penyambung tradisi ilmu untuk merintis pemikiran baru secara intelektual dan beradab.

``Penglibatan siswa-siswi dilihat sebagai kelompok cendekiawan, sarjana dan pemikir yang turut menyumbang dan berkorban untuk kebajikan universiti, masyarakat dan negara,’’ katanya.

Tiada ulasan: