Isnin, 26 September 2011

PKU CEMERLANG DIIKTIRAF

PULAU PINANG, 21 Sept – Pelajar Kelainan Upaya (PKU) Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan kecacatan yang dialami bukan menghalang beliau dari menggapai kejayaan, apatah lagi muncul antara yang terbaik.
Perkara itu dibuktikan graduan cemerlang USM, Yuhaizam Yahaya, 40, yang mengalami kecacatan kekal sehingga beliau terpaksa berkerusi roda setelah mengalami kemalangan udara pada tahun 2004 lalu.
Yuhaizam berkata, beliau tidak menganggap kecacatan itu sebagai penghalang untuknya terus menimba ilmu bagi memperbaiki diri dan menyumbang kepada sesuatu kepada masyarakat.
``Saya gembira dengan kejayaan ini dan amat terharu dengan sokongan semua termasuk isteri dan anak-anak yang terpaksa berjauhan lebih tiga tahun sepanjang saya mengikuti pengajian.
``Saya juga amat gembira kerana USM amat peka kepada keperluan orang kelainan upaya seperti saya sehingga kami boleh menunaikan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi,’’ katanya.
Beliau turut menyeru rakan-rakan OKU di luar untuk tampil menyambung pengajian sambil menyifatkan kemudahan di institusi pengajian tinggi kini jauh lebih baik dan mesra OKU.
``Jangan menganggap diri kita lemah sebaliknya jadikan kepayahan itu sebagai pencetus semangat untuk kita mencapai yang terbaik dalam hidup,’’ jelas beliau yang kini bertugas sebagai Pegawai Sumber Manusia di Institut Latihan Tentera Udara di Ipoh.
Yuhaizam berijazah dalam bidang Sains Kemasyarakatan dianugerahkan Pingat Emas USM yang julung kalinya diperkenalkan bagi mengiktiraf pelajar kelainan upaya cemerlang sempena Konvokesyen USM.
Selain beliau, anugerah Pelajaran Di Raja Majlis Raja-raja Malaysia kepada pelajar cemerlang dalam segala lapangan dianugerahkan kepada dua penerima, Mohammad Rahim Kamaluddin dan Karen Voon Kai Rou.
Mohammad Rahim turut dianugerahkan Pingat Emas Canselor, pengiktirafan untuk kecemerlangan akademik tertinggi manakala Anugerah Pingat Emas Naib Canselor kepada pemimpin pelajar cemerlang, Ahmad Wafi Shahedan.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: