Selasa, 13 September 2011

NC SERU 16000 PELAJAR JARAK JAUH USM KEMBALI BANTU MANTAPKAN USM

Sabtu, 10 September 2011 04:46


usmrpjj


PULAU PINANG, 10 SEPTEMBER 2011: Sejumlah 16,000 graduan lepasan Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ)  Universiti Sains Malaysia (USM) diseru kembali bagi membantu dalam usaha memantapkan universiti ini yang juga universiti pelopor di dalam penawaran pengajian secara jarak jauh.

Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM berkata pengalaman yang dimiliki oleh graduan-graduan baik ketika bekerja mahupun ketika melanjutkan pengajian di USM amat berharga kerana hanya menerusi input dari mereka USM akan dapat melakukan penambahbaikan baik kepada program yang ditawarkan mahupun aspek peningkatan kualiti diri pelajar ketika menuntut di universiti ini.

“Kadangkala agak sukar bagi kita di Universiti untuk menyedari kelemahan yang ada. Untuk itu, kita perlu input-input luar khususnya yang datang menerusi alumni kita. Oleh itu, saya menyeru kepada 16,000 graduan RPJJ USM untuk kembali dan berkongsi dengan pihak Universiti tentang bagaimana kita dapat membangunkan USM dengan lebih baik lagi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan 40 Tahun Pengajian Jarak Jauh USM di Kompleks Cahaya Siswa hari ini.

Ketika berucap, beliau turut menyeru agar program ini yang mula ditawarkan sejak tahun 1971 melihat kepada potensi-potensi serta peluang-peluang baru yang lebih inovatif dan belum difikirkan oleh mana-mana pihak.

“RPJJ ditawarkan hanya selepas dua tahun penubuhan USM hasil kreativiti pimpinan USM ketika itu yang diketuai oleh Tan Sri Datuk Prof. Hamzah Sendut. USM menjadi Universiti pertama di negara ini yang menawarkan pengajian secara jarak jauh yang pada ketika itu masih lagi asing di negara ini. Ini membuktikan bahawa Universiti ini mampu menghasilkan inovasi yang bermanafaat kepada masyarakat khususnya golongan terkebawah walaupun pada ketika itu sudah ada Universiti yang ditubuhkan terdahulu dari USM.

“Soal akses dan ekuiti bagi membolehkan lebih ramai rakyat di negara terutamanya yang kurang berupaya baik oleh sebab ekonomi atau sebab-sebab lain untuk mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian adalah amat penting. Oleh itu, Pusat Pengajian Jarak Jauh USM perlu terus meneroka potensi inovasi yang terkini.  Tokoh pemikir  terkenal negara, Tan Sri Dr. Mohammad Noordin Sopiee, pernah berkata ‘anything that is casual in USM, is innovative elsewhere’. Ini membuktikan kita berupaya untuk jadi berbeza dan untuk ini terus berlaku kita perlu sentiasa mencabar status quo demi pembangunan ilmu dan masyarakat seperti seruan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara ketika berkunjung ke USM dua hari lalu,” kata beliau.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan Buku Coffee Table ’40 Tahun Meneraju Rancangan Jarak Jauh di Malaysia dan menyerahkan Kad Keahlian Alumni RPJJ pertama kepada salam seorang alumni RPJJ USM, Hj. Rozimin Ahamed Kamil yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwan dan Pembangunan Pelajar), Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Gajaraj Dhanarajan, Pengarah Kehormat Institut Penyelidikan dan Inovasi, Wawasan Open University, Datin Hajah Rose Tengku Ismail, Penaja Tabung Datin Rose Pengajian Jarak Jauh USM dan Puan Hajah Salmiah Che Puteh, Bendahari USM.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: