Isnin, 26 September 2011

KOLABORASI USM-HOLISTA NAIKKAN NAMA NEGARA DALAM AGENDA HALAL

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Malaysia kini tersenarai sebagai satu-satunya negara Islam yang berjaya membangunkan penyelidikan proses enzim halal dan protokol dalam menghasilkan kolagen halal dengan menggunakan enzim  hanya daripada tumbuh-tumbuhan.
Penyelidikan berkenaan dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama penuh syarikat berasaskan bioteknologi terkenal, Holista Colltech (HCT) (Australia) Ltd. yang turut tersenarai dalam bursa saham Australia.
Kejayaan dalam penyelidikan itu turut memperlihatkan HCT menganugerahkan USM dengan opsyen saham bernilai RM300,000 bertujuan untuk USM mengembangkan lagi pembangunan penyelidikan dalam bidang tersebut.
Penyerahan opsyen saham oleh Ketua Pegawai Eksekutif HCT, Dato’ Dr. Rajen M kepada Wakil Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman itu telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah PKD USM, Prof. Aishah Abdul Latiff dan wakil-wakil dari HCT.
Rajen dalam ucapannya berkata, penyerahan bersejarah itu turut menjadikan USM sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang dianugerahkan opsyen saham, satu kaedah kolaborasi pengkormesialan penyelidikan yang biasa dipraktikkan oleh universiti dengan pihak industri di luar negara.
``USM dan HCT mula berkolaborasi sejak dua tahun lepas dan sehingga hari ini kita telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan termasuk berjaya mengasingkan pross kolagen halal menggunakan enzim semula jadi.
``Kita juga berjaya membangunkan penyelidikan itu dengan kos yang jauh lebih murah namun dalam masa yang sama tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan skala pengeluaran,’’ katanya.
Sementara itu, Omar pula berkata, kejayaan penyelidik dari Pusat Kawalan Doping USM itu membuktikan komitmen universiti dalam membantu meningkatkan ekonomi negara, sekaligus menggerak usaha pengkomersialan produk penyelidikan universiti.
``USM sebagai sebuah universiti bertaraf APEX (Program Pemajuan Untuk Kecemerlangan) kini sedang berusaha untuk menghasilkan penyelidikan-penyelidikan yang bertaraf dunia (world first).
``Justeru, dengan penganugerahan opsyen saham seumpama ini menjadi dorongan kepada USM untuk meneruskan kerjasama dengan pihak industri,’’ katanya sambil menyifatkan USM akan meletakkan kegunaan opsyen saham tersebut kepada aktiviti yang sewajarnya.
Sementara itu, kolagen adalah protein utama dalam badan manusia yang akan hilang sekiranya usia semakin meningkat atau tercedera. Kolagen banyak digunakan dalam bidang perubatan, komestik dan sebagainya.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: