PULAU PINANG, 27 Jun – Empat pingat emas
berjaya dibawa pulang dari London oleh sekumpulan enam pelajar
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui empat produk penyelidikan,
menjadikan pencapaian seratus peratus dalam perolehan pingat sempena
British Invention Show (BIS) yang berlangsung di Alexandra Palace,
United Kingdom baru-baru ini.
Lebih membanggakan, pasukan penyelidik
muda USM itu turut menggondol tiga anugerah khas termasuk Inovasi
Terbaik Romania (keseluruhan) dan dua anugerah ‘Emas Berganda’ melalui
penyelidikan Alternative Sweetener From Biomass Waste For Healthier Lifestyle oleh trio dari Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Kimia iaitu Farah Wahida Hairon, 23, Fazreen Amira Ismail, 23 dan Chong Meng Yeong, 24.
Kajian Developement of Chemopreventive Agent for Oral Cancer Using Hydrozone
yang dihasilkan pelajar PP Sains Pergigian, Karen Voon Kai Rou yang
berpotensi digunakan dalam rawatan kanser oral turut tersenarai sebagai
penerima anugerah emas berganda.
Meng Yeong berkata, kajian mereka menjurus kepada penghasilan bahan pemanis alternatif atau lebih dikenali sebagai xylitol
daripada hampas kelapa sawit dan jagung. Bahan ini biasanya digunakan
dengan meluas dalam pelbagai produk di pasaran termasuk gula-gula getah,
ubat gigi dan sebagainya.
``Xylitol juga digunakan oleh pesakit
diabetes namun yang sedia di pasaran harganya agak mahal. Dengan adanya
produk kami, kita berupaya menghasilkan bahan alternatif yang jauh lebih
murah dan mengoptimumkan penggunaan bahan mentah tempatan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
media dalam sidang media mengumumkan kejayaan mereka yang dipengerusikan
oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman di sini semalam. Turut
hadir ialah Ketua Delegasi USM ke pertandingan itu, Prof. Abdul Latif
Ahmad.
Selain trio berkenaan dan Karen, Yeap
Swee Pin dan E Pei San masing-masing menyumbang emas melalui
penyelidikan teknologi nano dalam teknik penyembuhan luka dan
pertumbuhan sel baru dengan cepat serta penghasilan gas hidrogen dengan
kos yang lebih murah yang boleh digunakan dalam penghasilan produk lain
yang dapat menjamin kelestarian masa depan.
Omar pula berkata, kejayaan yang dicapai
pelajar itu turut menjadi penanda aras kepada kecemerlangan akademik
pelajar, selain memberi makna yang amat besar kepada USM berikutan
pertandingan itu bukan hanya dikhaskan kepada pelajar semata-mata,
sebaliknya turut dibarisi penyelidik lain termasuk pensyarah, pihak
industri dan sebagainya.
Katanya, kecemerlangan para pelajar itu
turut mencerminkan usaha dan komitmen USM dalam mencungkil bakat-bakat
secara berterusan, termasuk dalam kalangan pelajar dan juga ahli
akademik.
``Kejayaan para pelajar ini turut
menunjukkan kekuatan universiti dalam bidang-bidang seperti
kejuruteraan, sains fundamental serta sains perubatan dan turut menjadi
penanda bahawa kekuatan pensyarah kini telah diturunkan kepada
penggilapan bakat muda iaitu pelajar.
``Universiti juga amat berharap lebih
banyak projek penyelidikan yang bermutu dapat dihasilkan dan
diketengahkan pada tahun hadapan, sekaligus memastikannya terus memberi
impak di peringkat sarjana, pengkomersialan dan mendatangkan manfaat
kepada komuniti,’’ jelasnya.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan