Sabtu, 21 Mei 2011

Parlimen Mahasiswa USM bukti suara pelajar tidak disekat AUKU


Oleh Mohammad Shafiq Abdul Aziz



PARLIMEN Mahasiswa direalisasikan buat kali pertama di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 23 Oktober lalu. Persidangan Parlimen Mahasiswa di USM membahaskan 20 usul yang menyentuh isu dalam kampus dan isu nasional. Antara isu yang menjadi usul perbahasan ialah isu partisipasi mahasiswa dalam politik kepartian, kecaman kepada penganjuran Festival Fesyen Islam (IFF), mendesak parlimen negara Malaysia menggubal satu rang undang-undang berkenaan masalah menghidu gam, menuntut kerajaan negeri membanteras isu merempat di kalangan rakyat, pembabitan suara mahasiswa dalam penentuan dasar universiti dan kemudahan prasarana di desasiswa tidak memuaskan.Usul ini dibahaskan oleh ahli dewan dengan mengemukakan hujah dan fakta yang disediakan sebelum bersidang.

Pada 22 November lalu, berlangsung perbahasan di Dewan Rakyat mengenai kewujudan Parlimen Mahasiswa. Ahli dewan yang berbahas bersetuju mewujudkan Parlimen Mahasiswa secara menyeluruh. Namun, masih menunggu pelaksanaannya daripada semua universiti dalam mewujudkan Parlimen Mahasiswa di setiap institusi pengajian tinggi (IPT).Pada 26 Mac 2011, satu lagi persidangan telah diadakan dan persidangan ini membincangkan pelbagai perkara yang bersifat mengkritik kerajaan,universiti dan masyarakat secara amnya.

Ada dakwaan menyatakan Parlimen Mahasiswa disekat Akta Universiti/Kolej Universiti (AUKU). Pada pandangan saya, selaku Speaker Parlimen Mahasiswa, mereka boleh berbahas apa saja diinginkan. Kuasa diletakkan sepenuhnya pada Speaker dewan yang dilantik ahli dewan berkuasa untuk menerus atau menghentikan perbahasan.

Pada persidangan lalu saya dapati tiada halangan yang berlaku ketika atau selepas persidangan. Ada pelbagai hujah kritikal dan bersifat membangkang diberikan ahli dewan ketika usul dibahaskan. Bukti Parlimen Mahasiswa USM tidak disekat oleh AUKU ialah ahli dewan bebas berhujah ketika dalam persidangan dan tiada yang didakwa atas kesalahan AUKU sehingga kini.

Tulisan ini bukan hendak membela AUKU kerana saya percaya pada satu masa nanti AUKU akan dipinda. Pada saya, kewujudan Parlimen Mahasiswa pada setiap universiti adalah relevan dan boleh dijadikan satu platform berkesan untuk mahasiswa bersuara dan bertindak.

Hakikatnya, Parlimen Mahasiswa mempunyai beberapa prinsip utama yang sedikit sebanyak melahirkan pemimpin mahasiswa bersifat holistik. Prinsip utama Parlimen Mahasiswa ialah bersemuka dan bukan bermuka-muka. Parlimen Mahasiswa dianggotai tiga badan utama pimpinan mahasiswa, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan mahasiswa dan persatuan kolej kediaman. Ketiga-tiga badan ini akan bersemuka untuk berbahas dan berbincang mengenai isu diketengahkan.
Sebelum ini, wujudnya kekangan bagi mahasiswa daripada pelbagai badan kepemimpinan untuk bersemuka. Justeru, platform Parlimen Mahasiswa, kepemimpinan mahasiswa dari pelbagai penjuru dapat bersemuka dengan lebih tersusun dan terhormat.

Prinsip seterusnya ialah mahasiswa beridealisme dan berwibawa. Dalam perbahasan, mahasiswa dan pemimpin mahasiswa akan mewakili suara badan kepemimpinan masing-masing. Jika ada pertikaian atau kritikan terhadap badan kepemimpinan diwakili, mereka akan mempertahankan badan pimpinan mereka dengan hujah dan fakta yang dapat menyelamatkan mereka daripada fitnah atau kritikan tidak benar.

Jika suatu ketika dulu mahasiswa mampu berhujah di sudut pidato, apa salahnya jika mahasiswa sekarang mampu berhujah di dewan Parlimen Mahasiswa pula. Penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu impian mahasiswa supaya suara mereka didengari pihak universiti.

Mudahnya, pemimpin persatuan mahasiswa dapat melatih diri menyampai dan mempertahankan idealisme mereka dalam berpersatuan. Bukan bekerja kerana melaksanakan persatuan yang akhirnya disambung kepemimpinan akan datang.

Penulis ialah Speaker Dewan Perundingan Pelajar, Parlimen Mahasiswa USM

Tiada ulasan: