Khamis, 5 Mei 2011

PARLIMEN MAHASISWA BUKAN BONEKA SEMATA-MATA

Dewan Perundingan Pelajar (DPP) ataupun lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa merupakan salah satu wadah yang dirangka oleh MPP USM 2009/10 bagi menjadi wadah kepada wakil mahasiswa USM melontarkan pandangan dan pendapat dengan cara yang sihat. DPP yang telah diadakan sebanyak 2 kali pada sidang 2009/10 yang lepas telah menunjukkan suasana yang positif kepada mahasiswa usm dalam memperkayakan suara mahasiswa.

Penubuhan Parlimen mahasiswa sebelum ini mendapat kritikan hebat daripada beberapa pihak yang mungkin tidak berani menerima cabaran ataupun hanya pandai mengkritik semata-mata. Walaupun DPP USM menerima kritikan seperti keputusan yang diputuskan oleh ahli dewan mesti dirujuk ataupun di bawah kuasa Nain Canselor. Mereka perlu melihat bahawa peranan Naib Canselor dalam universiti sama peranannya dengan Yang di Pertua Agong dalam Parlimen Malaysia. Naib Canselor bukannya akan membangkang segala keputusan ahli dewan tetapi Naib Canselor berperanan untuk melihat segala pergerakan agar ianya berjalan dengan lancar.

Dari segi demokrasi dalam DPP yang dituntut oleh ahli pemerhati dewan dalam persidangan kedua baru-baru ini, beliau meminta untuk dewan didemokrasikan untuk memanggil wakil-wakil dalam jabatan Universiti untuk turut serta dalam dewan untuk menjawab aduan dan usul-usul oleh pelajar. Perkara ini tidaklah relevan sama sekali kerana dalam dewan parlimen negara sekalipun, saya rasa tidak ada pula ketua polis negara, ketua jabatan bomba dan sebagainya. Sekiranya perkara ini di lakukan, apalah lagi tugas MPP dalam melangsaikan proses penyelesaian tersebut. DPP bukan sahaja memberi ilmu dari segi perbahasan yang baik, malah ianyan memberi ilmu dari segi bagaimana sesuatu pihak berinteraksi dengan pihak yang lain untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Dari segi kebebasan pula, ada pihak yang berpendapat DPP yang dilakukan oleh USM dikatakan menyekat suara-suara ahli dewan. Sebenarnya bagi mereka yang belum merasai mesti berpendapat sebegitu, namun bagi yang pernah duduk di dalam dewan, suara mereka tidak disekat sama sekali. Sekiranya mereka menyentuh tentang kebebasan usul-usul yang diketengahkan disekat, DPP USM juga ada membincangkan usul-usul yang menyentuh dasar kerajaan. Misalnya dalam membahas masalah tempoh persaraan dari 58 tahun ke 60 tahun dilanjutkan yang akhirnya memberi kesan kepada mahasiswa yang baru bergraduasi. Kami ahli DPP menyokong untuk kerajaan mengkaji semula dasar ini dan akhirnya alhamdulillah kerjaan mendengar dan mengkaji semula.

Begitu juga dengan usul yang menyentuh tentnag masalah kerajaan negeri Pulau Pinang yang mengabaikan orang-orang tua yang membawa beca. Mereka merempat di jalanan tanpa hala tuju dan perkara ini memberi kesan dalam sektor pelancongan misalnya. Jadi keputusan yang diputuskan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri diluluskan dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Adakah ini menyekat kebebasan. Cuma apa yang perlu difikirkan oleh mahasiswa kini bukanlah sekadar perlu berdiri di landasan autonomi, kebebasan dan demokrasi, malah mahasiswa juga perlu berlandaskan kepada rasional, realistik dan toleransi dalam pemikiran mereka. Tidak wajar saya rase sekiranya DPP ataupun parlimen mahasiswa membincangkan isu video seks Anwar Ibrahim dalam DPP. Adakan ianya rasional dibincangkan?

Saya berharap masyarakat di luar sana jangan mudah terpengaruh dengan idea-idea yang dikongsikan oleh ahli politik luar dalam penubuhan Parlimen Mahasiswa ini. Biarlah kita sebagai mahasiswa berdiri dengan sendiri dan membuat keputusan sendiri tetapi perlu berlandakan kepada AUKU. Janganlah dek kerana mahukan kebebasan yang diinginkan kita sebagai mahasiswa hilang identiti dan menjadi pak turut mana-mana pihak.

Justeru,bagi barisan baru MPP sidang 2010/11 di bawah kendalian saudara Muhammad Idzuan Bin Jamalludin, akan mengadakan sebuah Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa Peringkat Nasional. Konvensyen ini adalah bermatlamat untuk membantu IPTA-IPTA di seluruh Malaysia bagi mewujudkan Parlimen Mahasiswa di universiti masing-masing. Konvensyen ini yang diadakan di kampus induk USM akan melibatkan hampir 20 IPTA seluruh Malaysia di mana mereka telah bersedia mewujudkan Parlimen Mahasiswa yang akan menjadi wadah utama mahasiswa memanifestasikan hak mahasiswa sebenar.

Dalam pada itu,MPP USM yang mempunyai pengalaman dalam penubuhan DPP USM, akan cuba membantu IPTA-IPTA lain bagi mewujudkan Parlimen Mahasiswa. Dalam konvensyen ini, seketeriat Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa yang diketuai oleh bendahari MPPUSM 2010/11, saudari Izzah Syahmina Bt Anuar, akan menjemput pakar-pakar perundangan dalam konvensyen ini seperti Timbalan Naib Canselor Usm, Prof Dato Omar Osman dan pakar undang-undang UITM, Prof Shad untuk bersama-sama dalam konvensyen ini. Perkara ini dilakukan adalah kerana untuk memberi pendedahan yang mendalam kepada wakil-wakil IPTA yang akan membawa modul parlimen masing-masing.

Konvensyen yang diadakan ini mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dalam sama-sama menjayakan konvensyen ini. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin Abdullah akan turut serta dalam perasmian konvensyen selain sebagai wakil daripada pihak kementerian dalam program ini.

Konvensyen yang diadakan oleh MPPUSM ini juga secara tidak langsung bertepatan dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Khaled Nordin yang menginginkan sekurang-kurangnya 80% daripada IPTA seluruh Malaysia mewujudkan Parlimen Mahasiswa bagi bersama-sama mewujudkan generasi modal insan kelas pertama. Kewujudan Parlimen Mahasiswa di seluruh IPTA ini juga akan membawa kepada Parlimen Mahasiswa Nasional Malaysia yang sedang dirancang oleh MPPUSM yang mempunyai peranan lebih besar dengan membawa suara semua wakil mahasiswa di Malaysia. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan sangat memandang serius akan suara dan idea-idea dari kalangan mahasiswa yang akan membantu dalam mewujudkan negara maju pada masa akan datang.



Muhammàd Idzuan Bin Jamalludin
Yang di Pertua Majlis Perwakilàn Pelajar
Universiti Sains Malaysia 2010/11

Tiada ulasan: