Rabu, 24 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Dengan ingatan tulus ikhlas daripada
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011
Universiti Sains Malaysia





































Isnin, 22 Ogos 2011

DHH MMS –HUBUNG IBU BAPA NORMAL DENGAN ANAK OKU

usmpjj

PULAU PINANG, 18 Ogos – Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) meneraju teraju teknologi mudah alih untuk hubungkan jurang pendidikan di antara ibu bapa normal dengan kanak-kanak berkeperluan khas.

Dikenali sebagai DHH (Deaf & Hard Of Hearing) MMS (pesanan mesej bergambar), ia berfungsi sebagai satu mekanisme pengajaran menggunakan telefon bimbit yang mebolehkan ibu bapa mempelajari bahasa isyarat secara berperingkat.

Ketua Penyelidik, Dr. Issham Ismail berkata, di Malaysia, terdapat ibu bapa normal yang mempunyai pengetahuan yang sangat sedikit mengenai masalah pendengaran dan kesannya terhadap penguasaan bahasa kanak-kanak.

Katanya, kebanyakan ibu bapa tidak menghiraukan keadaan ini dan cuma bergantung kepada proses pembelajaran anak-anak di sekolah khas, selain turut berdepan halangan-halangan dalam memperolehi maklumat berkenaan cara mendidik anak berkeperluan khas.

``Menyedari hakikat itu, dengan menggunakan kemajuan dalam teknologi mudah alih kami memperkenalkan projek DHH MMS, satu kaedah pedagogi pendidikan untuk ibubapa memenuhi keperluan pendengaran kanak-kanak dari segi asas bahasa isyarat.
``Kaedah ini dibuat dengan cara menghantar sistem pesanan bergambar (MMS) berkenaan simbol bahasa isyarat kepada ibu bapa secara berperingkat dengan dimulai oleh simbol bagi huruf, nombor dan diikuti dengan perkataan-perkataan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Dekan PPPJJ, Prof. Madya Habibah Lateh dan penyelidik bersama dari PP Ilmu Pendidikan, Dr. Aznan Che Ahmad, Dr. Azidah Abu Ziden dan Dr. Mohd Zuri Ghani.

Dr. Issham turut berkata, inovasi yang dalam proses paten itu akan digunakan menjelang tahun depan, dengan beberapa penambahbaikan termasuk pengenalan kepada perisian bahasa Inggeris dan Arab.

Inovasi yang dibuat dengan pembiayaan geran Insentif Penyelidikan bernilai RM 700,000  yang dibentang dalam Sidang Kemuncak Dunia Pendidikan 2011 di New Delhi, India Julai lalu turut diiktiraf sebagai Best Jury Award for Innovation in Special Needs Education.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Jumaat, 12 Ogos 2011

NC PUAS HATI PROSES PEMILIHAN AHLI SENAT

DSC_0062

PULAU PINANG, 12 Ogos – Naib Canselor Universiti  Sains Malaysia (USM), Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan Ahli Senat dalam kalangan Profesor melalui proses pengundian yang dijalankan di USM, di sini semalam.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua petugas yang terlibat dan berharap pemilihan di bawah penguatkuasaan perlembagaan baru USM itu dapat menambah baik proses sedia ada.

``Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan proses pemilihan ini,’’ katanya selepas menandatangani perakuan pengesahan keputusan pemilihan di Dewan Utama Pelajar.

Sementara itu, pemilihan tersebut menyaksikan sejumlah 142 calon bertanding untuk mengisi 41 kerusi ahli senat meliputi enam kelompok utama termasuk hybrid, sastera, sains, kejuruteraan, kesihatan & perubatan dan pusat penyelidikan/perkhidmatan.

Proses pemilihan diadakan serantak di empat pusat pengundian termasuk di Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, Kampus Kesihatan Kelantan dan Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju Usm, Kepala Batas.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

PENGUMUMAN: Pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN

Bagi bakal-bakal mahasiswa yang datang daripada keluarga berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan, pengumuman pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang akan disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada hampir 35,664 pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi (IPT) pasti membuat ibu bapa khususnya berasa lega dalam menyediakan kelengkapan buat anak-anak yang bakal menjengah dunia kampus awal September depan.

Saya percaya bahawa kita semua sedar bukan semua antara kita yang datang daripada keluarga yang berkemampuan. Saya sendiri, ketika mahu melanjutkan pelajaran ke USM pada Julai tahun lepas, turut berkira-kira dan berfikir panjang sama ada patut menggunakan WPP atau tidak. Tapi, mengenangkan 2 adik yang lain juga bakal melanjutkan pelajaran dan 3 lagi masih di alam persekolahan, saya nekad untuk menggunakan WPP walaupun menyedari PTPTN akan menolak RM500 bermula pada semester kedua. 

Suka saya nasihatkan kepada bakal-bakal penerima WPP supaya menggunakan wang itu dengan sewajarnya. Suatu ketika dulu, sebelum wujudnya WPP, ada ibu bapa yang sanggup berkorban dan bergolok-gadai demi memastikan anak tercinta dapat menyambung pelajaran ke IPT. Sesungguhnya kita sekarang sangat beruntung kerana sekurang-kurangnya dengan WPP, banyak persiapan yang boleh kita buat tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Tidak harus dilupa bahawa bagi kita yang beragama Islam, kita bakal menyambut ketibaan Aidilfitri beberapa hari sebelum sesi pendaftaran di IPT masing-masing. Sudah tentu ibu bapa kita juga perlu memikirkan persiapan untuk menyambut raya. Bayangkan bagaimana ibu bapa kita perlu bekerja-keras dan mengikat perut demi memenuhi persiapan-persiapan ini kerana sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan keperluan anak-anak.

 Justeru, manfaatkanlah WPP ini dengan bijak dan rancanglah perbelanjaan dengan teliti. Pentingkan apa yang lebih penting daripada pentingkan apa yang tidak penting kerana pentingkan apa yang lebih penting adalah lebih penting dari pentingkan apa yang tidak penting. Sebagai balasan atas jasa-jasa mereka yang bertanggungjawab dalam memudahkan keperluan kita, belajarlah bersungguh-sungguh dan pastikan mereka berbangga dengan kejayaan kita. Bukan semua orang mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran. Janganlah disia-siakan peluang yang diberi kepada kita.

Sekian.


Pesanan ikhlas,
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa & Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Khamis, 11 Ogos 2011

PERLEMBAGAAN BARU: USM PERTAMA ADAKAN PEMILIHAN SENAT

usmsenat


PULAU PINANG, 12 Sept – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang mengadakan pemilihan Ahli Senat dalam kalangan ahli akademik (profesor) melalui kaedah pengundian yang dijalankan di sini hari ini.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, langkah itu dilakukan sejajar dengan penguatkuasaan perlembagaan baru USM yang telah digazetkan pada Julai 2011.

Katanya, proses pengundian itu dibuat bagi memilih 41 Ahli Senat dalam kalangan Profesor bagi mengimbangi sejumlah 41 Ahli Senat yang dilantik secara automatik yang terdiri dari ketua-ketua jabatan di USM.

``Dalam sistem lama, proses pemilihan Ahli Senat bagi Profesor dibuat oleh Naib Canselor dan jumlahnya pula adalah seramai 20 orang sahaja,’’ katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, penambahan itu dibuat bagi mengimbangi jumlah ahli yang dilantik secara aotomatik, menjadikan keseluruhan ahli senat terkini sebanyak 87 orang dengan 41 adalah ketua jabatan, profesor (41), naib canselor dan empat timbalan naib canselor.

Katanya jumlah calon yang layak untuk bertanding adalah 195 orang manakala pemilih yang terdiri daripada Profesor, Profesor Madya sepenuh masa dan Profesor Kunjungan USM adalah seramai 576 orang.

Dzulkifli berkata pemilihan Profesor sebagai ahli senat mengikut kaedah ini selaras dengan Seksyen 24 (1) (Perlembagaan USM) dan pemilih hanya terdiri daripada Profesor dan Profesor Madya sepenuh masa serta Profesor Kunjungan USM.

Katanya, pemilihan itu turut dibuat bagi mewujudkan praktis demokrasi dalam universiti, sekaligus mewujudkan satu ruang yang lebih liberal dan terbuka khususnya dalam aspek tadbir urus.

``Perlembagaan USM sedikit berbeza dengan universiti lain kerana sebagai universiti Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan), kita mempunyai sedikit kelonggaran," katanya sambil mengumumkan cadangan memasukkan wakil pelajar sebagai ahli Senat pada masa akan datang.

Sementara itu, pemilihan tersebut menyaksikan sejumlah 142 calon bertanding untuk mengisi 41 kerusi ahli senat meliputi enam kelompok utama termasuk Hybrid, Sastera, Sains, Kejuruteraan, Kesihatan & Perubatan dan Pusat Penyelidikan/Perkhidmatan.

Prpses pemilihan diadakan serantak di empatpusat pengundian termasuk di kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, Kampus Kesihatan Kelantan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Kepala Batas.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Rabu, 10 Ogos 2011

MAKLUMAN TERKINI TENTANG TARIKH DAN MASA PENDAFTARAN DIRI PELAJAR BARU SIDANG AKADEMIK 2011-2012

Rabu, 10 Ogos 2011 

Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran diri bagi pelajar-pelajar baru Sidang Akademik 2011-2012 di Kampus Induk USM, Pulau Pinang, adalah dimaklumkan bahawa sesi lapor diri pelajar pada hari Selasa, 6 September 2011 kini dibahagikan kepada dua peringkat.

Bagi pelajar-pelajar baru yang ditawarkan penginapan di Desasiswa Aman Damai, Cahaya Gemilang, Fajar Harapan, Restu dan Saujana, proses pendaftaran diri mereka kini akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.


Pelajar-pelajar yang menerima tawaran penginapan di Desasiswa Bakti Permai, Indah Kembara dan Tekun pula diminta melapor diri mulai jam 2.30 petang sehingga 6.30 petang.

Maklumat lengkap termasuk lokasi lapor diri adalah seperti yang terkandung di dalam makluman hebahan yang disertakan di bawah ini.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi Unit Perumahan dan Penginapan Universiti, Sektor Perkhidmatan pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar di talian 04-653 4454/4455/3107 atau e-mel/Facebook: uppu@usm.my

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Selasa, 9 Ogos 2011

Anugerah Media USM 2011

banner_malam_anugerah_media_2011-4


9 Ogos 2011 - Bagi mengiktiraf hasil karya dan sumbangan pengamal media yang telah membantu mengukuhkan jenama Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai institusi pengajian tinggi ulung negara, USM kini menjemput pengamal-pengamal media untuk menghantar pencalonan dan penyertaan liputan terbaik mereka untuk dipertandingkan di Anugerah Media Universiti Sains Malaysia (USM) 2011 yang diperkenalkan bagi buat pertama kalinya tahun ini.

Antara kategori-kategori yang bakal dipertandingkan termasuklah Anugerah Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Foto Terbaik, Visual Terbaik dan Anugerah Khas. Penyertaan ini akan dibuka kepada pengamal media, wartawan, penulis residen, jurugambar, jurukamera yang bekerja tetap atau secara kontrak dengan mana-mana organisasi media cetak, elektronik dan media baru di Pulau Pinang dan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sehubungan itu, kepada pengamal-pengamal media yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut, sila muat turun pautan di bawah bagi mendapatkan maklumat jelas dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh sekretariat Anugerah Media 2011. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 04-6533114/3126/3628/3902 atau e-melkan kepada pro@usm.my.

Muat turun:

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Isnin, 8 Ogos 2011

UNIVERSITI PERLU JANA KEWANGAN SENDIRI

usmips


PULAU PINANG, 8 OGOS 2011: Untuk mencapai kemajuan, sesebuah universiti perlu mencari jalan untuk menjana pendapatannya sendiri menerusi pelbagai usaha termasuklah pengkomersilan.

Prof. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kebergantungan sesebuah universiti kepada sumber peruntukan tetap yang diberi sepanjang tahun hanya akan menyukarkan proses pemajuan universiti tersebut.

“Menanti peruntukan bermakna kita akan berhadapan dengan pelbagai sekatan. Apabila ini berlaku, sesuatu projek penyelidikan contohnya mungkin akan tertangguh dalam tempoh yang lama kerana halangan dan pra-syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak yang berkuasa ke atas peruntukan tersebut.

“Jika universiti mempunyai sumber kewangan yang tersediri, universiti ini boleh membuat keputusannya berlandaskan kepada keperluan semasa tanpa perlu melalui sekatan-sekatan tertentu. Ini akan menggiatkan lagi proses percambahan ilmu yang sememangnya perlu berlaku di sebuah universiti,” kata beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Delivering Excellence in R&I@USM’ di Postgraduate Forum Series: Research & Innovation Agenda For Postgraduate Studies di Dewan Kuliah A, USM hari ini.

Tambah beliau lagi, usaha mencapai kecemerlangan sesebuah universiti itu juga berkait rapat dengan faktor bakat, governan dan sumber yang berupaya menentukan kadar perkembangan kemajuan universiti di dalam mencapai objektif, visi dan misinya.

“Bakat ini bukan sahaja perlu digilap, malah juga perlu dipupuk sepanjang masa. Ia perlu kemudiannya disokong dengan pendekatan governan yang positif terhadap pembangunan ilmu dan seiring dengan itu kita perlu mencari sumber-sumber baik dalam bentuk kewangan atau idea baru yang menyokong kepada apa sahaja perancangan yang dibuat.

“Kepincangan salah satu daripada tiga faktor ini akan merencatkan perkembangan universiti dan pengukuhan tiga faktor inilah yang telah dilakukan oleh USM dalam meletakkan asas yang betul ketika USM dipilih sebagai Universiti APEX pertama negara,” tambah beliau lagi.

Seramai lebih 200 peserta mengikuti sesi pembentangan tersebut yang bermula dengan pembentangan kertas kerja oleh Ahmad Al Khowaiter, Pengarah, Bahagian Penilaian dan Perniagaan Baru, Soudi Arabia National Oil Company (ARAMCO) bertajuk ‘Building an Innovation Ecosystem’

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Khamis, 4 Ogos 2011

Sastera Kebangsaan Malaysia

DARI KIRI; Datuk Dr Kemala, Noresah Baharum dan Ratna Inzah Mohd Asri.
DARI KIRI; Datuk Dr Kemala, Noresah Baharum dan Ratna Inzah Mohd Asri.


Negara berdepan kekaburan berbanding Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia


KEPENTINGAN membina sastera kebangsaan negara ini dengan strategi teratur dan pelaksanaan mantap, di samping kesediaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berubah demi memikul tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat terbabit mendapat perhatian panel Bengkel Konsep Pembinaan Sastera Kebangsaan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal, mencadangkan Bahagian Sastera DBP meneruskan falsafah perjuangan Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang pernah dibahaskan 40 tahun dulu dalam usaha merancang strategi pembinaan sastera kebangsaan.

“Strategi baru mesti dirancang dan ia perlu berkesan serta relevan dengan perubahan besar di negara ini terutamanya selepas Pilihan Raya 2008. Pastikan ia tidak terumbang-ambing dan tidak bertentangan dengan falsafah kebahasaan mahupun kebangsaannya,” katanya pada bengkel yang berlangsung di Menara DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam menjayakan misi pembinaan sastera kebangsaan, DBP diminta mengambil kira sikap generasi baru dengan kerjaya profesional iaitu walaupun berpelajaran, namun belum tentu lagi mempunyai semangat kebangsaan Melayu dan iltizam terhadap bahasa serta budaya Melayu setebal generasi lama.

Badan berkanun terbabit juga turut diingatkan agar memperhebatkan kerja dalaman DBP di sebalik kemajuan teknologi dan memanfaatkannya bagi tujuan mempromosi karya serta menyebar nilai seni mahupun intelektual di kalangan masyarakat yang mesra internet.

“Masih ramai yang tidak faham apa itu sastera kebangsaan dan cabaran paling besar yang perlu ditangani DBP ialah menembusi sikap dan fikiran penduduk pelbagai kaum untuk menunjukkan bahawa bahasa dan sastera kebangsaan berperanan membina tamadun moden Malaysia.

“Saya tidak menyuruh DBP berkonfrontasi dengan globalisasi, transformasi dan kepelbagaian budaya, tetapi apakah ikhtiar atau tindakan DBP untuk memaju dan memperluaskan penggunaan bahasa serta persuratan Melayu daripada terus dipinggirkan.

“Bahasa dan pengarang memberi jati diri berbeza kepada sesuatu bangsa dan sebelum membuta tuli bertoleransi atau menerima budaya lain, nilai kebudayaan yang ada pada bangsa Melayu perlu dihormati. Rakyat memerlukan pengarang dan sasterawan yang tulen untuk selalu mengingatkan pemimpin mengenai bahasa dan jati diri bangsa,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan DBP mengadakan penerbitan bersama dengan penerbit luar untuk menerbitkan manuskrip siap kemas diedit, menyusun biografi tokoh penulis, merancang projek penerbitan khusus dan menyarankan kepada kerajaan untuk membentuk Badan kehormat Pemikir Bahasa dan Sastera Kebangsaan.

DBP juga diminta menghantar pegawai ke institusi pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan bagi pendedahan birokrat budaya antarabangsa, mengatur strategi promosi buku, memperkenal pengarang tempatan serta meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Melayu kepada Pusat Dokumentasi Persuratan Melayu yang moden serta terbesar di rantau ini.

Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, pula mengingatkan pembinaan sastera kebangsaan memerlukan tugas mempersiapkan dan mengemas kini tiga bahagian korpus iaitu glosari istilah sastera, sejarah sastera dan biografi pengarang sastera.

“Himpunan tiga korpus ini akan dapat melahirkan teori sastera tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap teori sastera dari barat. Cara ini juga dapat mempermudahkan pelbagai pihak membuat rujukan, menentukan penanda aras pencapaian sastera dan memudahkan program pengembangan sastera,” katanya.

Beliau mencadangkan glosari istilah sastera dibahagikan kepada dua bahagian iaitu istilah kesusasteraan umum dan istilah kesusasteraan khusus dibahagikan kepada istilah sastera Melayu tradisional, cereka, drama, lakon layar, puisi serta kritikan sastera.

Sejarah sastera pula dicadangkan dibahagikan kepada sejarah umum, sejarah genre cerpen, sejarah genre drama, sejarah genre novel, sejarah genre esei dan kritikan serta sejarah genre puisi, manakala biografi pengarang sastera dibahagikan biografi pengarang dan pujangga tradisional dan pengarang moden atau mutakhir.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, senada dengan dua panel terbabit apabila turut memperakukan konsep sastera kebangsaan di Malaysia kabur ekoran ketiadaan dasar konsep sastera kebangsaan yang didukung oleh Perlembagaan Negara seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya apakah wujud sastera kebangsaan Malaysia dan jika diandaikan wujud, persoalannya ialah adakah sastera yang diungkapkan dalam bahasa kebangsaan oleh kaum yang menjadi rakyat Malaysia itu ialah sastera kebangsaan,” katanya.

Baginya tidak semua sastera kebangsaan berdepan dengan kekaburan seperti dibuktikan negara Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia yang memberi kedudukan jelas mengenai bahasa serta sastera kebangsaan mereka sehingga ia turut diketahui orang asing.

“Sungguhpun demikian Malaysia mempunyai konsep yang jelas mengenai sastera Melayu yang secara umumnya dipraktikkan oleh bangsa Melayu dan bersifat serantau dengan sejarah yang panjang serta lengkap, selain ada disiplin tersendiri,” katanya.

Prof Md Salleh turut menjelaskan strategi yang boleh dirangka dalam usaha membina dan mengembangkan sastera di negara ini seperti mengumpulkan korpus sastera pengarangnya, penjanaan teori sastera serta pengumpulan sejarah sastera.

“Perbandingan sastera tempatan dengan sastera negara lain juga perlu diberi penekanan di samping penyelidikan dan penelitian sastera, pendokumentasian sastera, pemasyarakatan sastera kepada semua kaum serta pengantarabangsaan sastera tempatan,” katanya yang juga Pengarah Penerbit USM.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan Al-Mubarak.




Kami, barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) 2010/2011 dengan ini ingin mengucapkan

SELAMAT BERIBADAH DI BULAN MULIA RAMADHAN.





Sabda Rasulullah s.a.w.;

 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

"Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu".
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)


 Sabda Rasulullah s.a.w;


 إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفَّدتِ الشَّياطينِ ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءٌ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ 


Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; "Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)". Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).
[Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.]


 Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud;

"Sungguh, telah datang padamu bulan yang penuh berkat, di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, dan di mana dijumpai suatu malam yang dinilainya lebih berharga dari seribu bulan, maka barang siapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya."
(Hadis Riwayat Ahmad, Nasa'i dan Baihaqi)