Khamis, 4 Ogos 2011

Sastera Kebangsaan Malaysia

DARI KIRI; Datuk Dr Kemala, Noresah Baharum dan Ratna Inzah Mohd Asri.
DARI KIRI; Datuk Dr Kemala, Noresah Baharum dan Ratna Inzah Mohd Asri.


Negara berdepan kekaburan berbanding Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia


KEPENTINGAN membina sastera kebangsaan negara ini dengan strategi teratur dan pelaksanaan mantap, di samping kesediaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berubah demi memikul tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat terbabit mendapat perhatian panel Bengkel Konsep Pembinaan Sastera Kebangsaan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal, mencadangkan Bahagian Sastera DBP meneruskan falsafah perjuangan Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang pernah dibahaskan 40 tahun dulu dalam usaha merancang strategi pembinaan sastera kebangsaan.

“Strategi baru mesti dirancang dan ia perlu berkesan serta relevan dengan perubahan besar di negara ini terutamanya selepas Pilihan Raya 2008. Pastikan ia tidak terumbang-ambing dan tidak bertentangan dengan falsafah kebahasaan mahupun kebangsaannya,” katanya pada bengkel yang berlangsung di Menara DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam menjayakan misi pembinaan sastera kebangsaan, DBP diminta mengambil kira sikap generasi baru dengan kerjaya profesional iaitu walaupun berpelajaran, namun belum tentu lagi mempunyai semangat kebangsaan Melayu dan iltizam terhadap bahasa serta budaya Melayu setebal generasi lama.

Badan berkanun terbabit juga turut diingatkan agar memperhebatkan kerja dalaman DBP di sebalik kemajuan teknologi dan memanfaatkannya bagi tujuan mempromosi karya serta menyebar nilai seni mahupun intelektual di kalangan masyarakat yang mesra internet.

“Masih ramai yang tidak faham apa itu sastera kebangsaan dan cabaran paling besar yang perlu ditangani DBP ialah menembusi sikap dan fikiran penduduk pelbagai kaum untuk menunjukkan bahawa bahasa dan sastera kebangsaan berperanan membina tamadun moden Malaysia.

“Saya tidak menyuruh DBP berkonfrontasi dengan globalisasi, transformasi dan kepelbagaian budaya, tetapi apakah ikhtiar atau tindakan DBP untuk memaju dan memperluaskan penggunaan bahasa serta persuratan Melayu daripada terus dipinggirkan.

“Bahasa dan pengarang memberi jati diri berbeza kepada sesuatu bangsa dan sebelum membuta tuli bertoleransi atau menerima budaya lain, nilai kebudayaan yang ada pada bangsa Melayu perlu dihormati. Rakyat memerlukan pengarang dan sasterawan yang tulen untuk selalu mengingatkan pemimpin mengenai bahasa dan jati diri bangsa,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan DBP mengadakan penerbitan bersama dengan penerbit luar untuk menerbitkan manuskrip siap kemas diedit, menyusun biografi tokoh penulis, merancang projek penerbitan khusus dan menyarankan kepada kerajaan untuk membentuk Badan kehormat Pemikir Bahasa dan Sastera Kebangsaan.

DBP juga diminta menghantar pegawai ke institusi pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan bagi pendedahan birokrat budaya antarabangsa, mengatur strategi promosi buku, memperkenal pengarang tempatan serta meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Melayu kepada Pusat Dokumentasi Persuratan Melayu yang moden serta terbesar di rantau ini.

Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, pula mengingatkan pembinaan sastera kebangsaan memerlukan tugas mempersiapkan dan mengemas kini tiga bahagian korpus iaitu glosari istilah sastera, sejarah sastera dan biografi pengarang sastera.

“Himpunan tiga korpus ini akan dapat melahirkan teori sastera tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap teori sastera dari barat. Cara ini juga dapat mempermudahkan pelbagai pihak membuat rujukan, menentukan penanda aras pencapaian sastera dan memudahkan program pengembangan sastera,” katanya.

Beliau mencadangkan glosari istilah sastera dibahagikan kepada dua bahagian iaitu istilah kesusasteraan umum dan istilah kesusasteraan khusus dibahagikan kepada istilah sastera Melayu tradisional, cereka, drama, lakon layar, puisi serta kritikan sastera.

Sejarah sastera pula dicadangkan dibahagikan kepada sejarah umum, sejarah genre cerpen, sejarah genre drama, sejarah genre novel, sejarah genre esei dan kritikan serta sejarah genre puisi, manakala biografi pengarang sastera dibahagikan biografi pengarang dan pujangga tradisional dan pengarang moden atau mutakhir.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, senada dengan dua panel terbabit apabila turut memperakukan konsep sastera kebangsaan di Malaysia kabur ekoran ketiadaan dasar konsep sastera kebangsaan yang didukung oleh Perlembagaan Negara seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya apakah wujud sastera kebangsaan Malaysia dan jika diandaikan wujud, persoalannya ialah adakah sastera yang diungkapkan dalam bahasa kebangsaan oleh kaum yang menjadi rakyat Malaysia itu ialah sastera kebangsaan,” katanya.

Baginya tidak semua sastera kebangsaan berdepan dengan kekaburan seperti dibuktikan negara Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia yang memberi kedudukan jelas mengenai bahasa serta sastera kebangsaan mereka sehingga ia turut diketahui orang asing.

“Sungguhpun demikian Malaysia mempunyai konsep yang jelas mengenai sastera Melayu yang secara umumnya dipraktikkan oleh bangsa Melayu dan bersifat serantau dengan sejarah yang panjang serta lengkap, selain ada disiplin tersendiri,” katanya.

Prof Md Salleh turut menjelaskan strategi yang boleh dirangka dalam usaha membina dan mengembangkan sastera di negara ini seperti mengumpulkan korpus sastera pengarangnya, penjanaan teori sastera serta pengumpulan sejarah sastera.

“Perbandingan sastera tempatan dengan sastera negara lain juga perlu diberi penekanan di samping penyelidikan dan penelitian sastera, pendokumentasian sastera, pemasyarakatan sastera kepada semua kaum serta pengantarabangsaan sastera tempatan,” katanya yang juga Pengarah Penerbit USM.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: