PULAU PINANG, 18 Ogos – Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) meneraju teraju teknologi mudah alih untuk hubungkan jurang pendidikan di antara ibu bapa normal dengan kanak-kanak berkeperluan khas.
Dikenali sebagai DHH (Deaf & Hard Of
Hearing) MMS (pesanan mesej bergambar), ia berfungsi sebagai satu
mekanisme pengajaran menggunakan telefon bimbit yang mebolehkan ibu bapa
mempelajari bahasa isyarat secara berperingkat.
Ketua Penyelidik, Dr. Issham Ismail
berkata, di Malaysia, terdapat ibu bapa normal yang mempunyai
pengetahuan yang sangat sedikit mengenai masalah pendengaran dan
kesannya terhadap penguasaan bahasa kanak-kanak.
Katanya, kebanyakan ibu bapa tidak
menghiraukan keadaan ini dan cuma bergantung kepada proses pembelajaran
anak-anak di sekolah khas, selain turut berdepan halangan-halangan dalam
memperolehi maklumat berkenaan cara mendidik anak berkeperluan khas.
``Menyedari hakikat itu, dengan
menggunakan kemajuan dalam teknologi mudah alih kami memperkenalkan
projek DHH MMS, satu kaedah pedagogi pendidikan untuk ibubapa memenuhi
keperluan pendengaran kanak-kanak dari segi asas bahasa isyarat.
``Kaedah ini dibuat dengan cara
menghantar sistem pesanan bergambar (MMS) berkenaan simbol bahasa
isyarat kepada ibu bapa secara berperingkat dengan dimulai oleh simbol
bagi huruf, nombor dan diikuti dengan perkataan-perkataan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang
media khas di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Dekan PPPJJ, Prof.
Madya Habibah Lateh dan penyelidik bersama dari PP Ilmu Pendidikan, Dr.
Aznan Che Ahmad, Dr. Azidah Abu Ziden dan Dr. Mohd Zuri Ghani.
Dr. Issham turut berkata, inovasi yang
dalam proses paten itu akan digunakan menjelang tahun depan, dengan
beberapa penambahbaikan termasuk pengenalan kepada perisian bahasa
Inggeris dan Arab.
Inovasi yang dibuat dengan pembiayaan
geran Insentif Penyelidikan bernilai RM 700,000 yang dibentang dalam
Sidang Kemuncak Dunia Pendidikan 2011 di New Delhi, India Julai lalu
turut diiktiraf sebagai Best Jury Award for Innovation in Special Needs Education.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan