Jumaat, 21 Oktober 2011

USM DAN UNU GABUNG TENAGA TINGKAT KUALITI RAWATAN DI HUSM

Selaras dengan peningkatan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan dalam era globalisasi ini, menyaksikan lebih banyak perkhidmatan kesihatan berkualiti yang diperlukan oleh orang ramai.
Menyedari hakikat tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah setapak ke hadapan apabila memeterai perjanjian persefahaman dengan United Nations University for Global Health (UNU-IIGH) dalam melaksanakan sistem gabungan kes (case mix system) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, sistem gabungan kes ini adalah merupakan sistem pengelasan pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima setiap pesakit.
‘Konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosian pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama,’ katanya.
Tambahnya lagi, antara manfaat yang bakal diperolehi oleh pihak pengurusan hospital adalah penambahbaikan dalam perkhidmatan jagaan dan memantapkan lagi kualiti kesihatan di hospital.
‘Selain itu, kerjasama yang dijalin ini juga sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja dalam bidang ini tetapi juga perkongsian  pintar lain untuk faedah kedua-dua institusi.’
‘Melalui persefahaman ini, diharapkan HUSM akan berupaya untuk terus memberikan sumbangan kepakarannya kepada seluruh anggota masyarakat sebagai sebuah hospital pengajaran dan rujukan utama serta yang terbaik di rantau ini,’ ujar beliau lagi.
Perjanjian persefahaman yang diadakan pada 16 Oktober lalu telah ditandatangani Prof. Dato’ Omar Osman dan Prof. Dato’Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus Kesihatan USM bagi pihak USM dan Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin serta Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid mewakili UNU-IIGH.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan, Prof. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Abdul Aziz Tajuddin.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: