Khamis, 20 Oktober 2011

USM ANJUR SEMINAR AKTA PERSAINGAN 2010

usmmanage
PULAU PINANG, 13 OKTOBER 2011: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Akta Persaingan 2010 bertujuan untuk membina kefahaman ahli-ahli perniagaan tentang akta tersebut yang bakal berkuatkuasa tahun hadapan.
Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob, Pengerusi, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hadir bagi merasmikan seminar sehari tersebut.
Akta Persaingan 2010 digazetkan pada bulan Jun 2010 dan akan berkuatkuasa pada Januari 2012 dengan hasrat untuk mempromosi dan menggalakkan persaingan sihat dalam pasaran, melindungi pengguna serta menggiatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Seramai lebih 100 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil industri dan perkilangan hadir ke program tersebut yang menyaksikan pembentangan berhubung Akta persaingan 2010 oleh Mohd Aidil Tupari, Pengarah Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa MyCC dan selain dua sesi lain yang membincangkan tentang impak kepada perniagaan dan pengguna serta isu dan cabaran ke arah perlaksanaan Akta Persaingan 2010.
Antara pembentang-pembentang terlibat termasuklah Dr. Cheah Chee Wah, pakar ekonomi MyCC, Prof. Lai Yew Wah dari USM, Taufik Ariyanto mewakili Suruhanjaya Persaingan Indonesia, Shila Dorai Raj, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Prof. Datin Hasnah Haron, Dekan GSB USM, Stephanie Yon, Pakar Persaingan Antarabangsa dari Perancis dan Prof. Madya Sofri Yahya juga dari GSB USM.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: