Khamis, 20 Oktober 2011

AAM NOBAT TOKOH AHLI PERNIAGAAN 2011

usmpnb
PULAU PINANG, 14 Okt – Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Ahli Perniagaan 2011 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM) di sini semalam.
Penganugerah tersebut diberikan kepada personaliti korporat itu berdasarkan kepada tokoh kepimpinan beliau yang berwibawa dan berkarisma sehingga berjaya membawa PNB ke mercu kejayaan dan disegani, sebaris nama besar lain seperti Khazanah Nasional dan PETRONAS.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Omar Osman berkata, penganugerahan yang dibuat secara dwi tahunan itu amat bertetapatan diberikan kepada pengemudi PNB itu setelah melihat kepada perubahan besar yang dilakukan dalam PNB sehingga ke tahap sekarang.
Katanya, Hamad Kama Piah telah memberikan impak yang besar terhadap transformasi PNB ke arah sebuah entiti  yang semakin disegani sekaligus berupaya menjadi agen perubahan sosial dalam sektor perniagaan dan korporat.
``Dalam pembentangan ucaptamanya juga beliau telah menjelaskan bagaimana beliau melihat perniagaan sosial sebagai satu perspektif baru yang harus dimanfaatkan,’’ katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan AAM ke-9 di sini semalam.
Tambah Omar, bagi pihak USM beliau turut berbesar hari untuk bekerjasama dengan PNB dan penaja-penaja lain dalam menjayakan persidangan yang menghimpunkan ratusan peserta dengan lebih 90 pembentangan kertas kerja dari dalam dan luar negara itu.
Katanya, antara topik yang dibincangkan termasuk Pasaran Kewangan Asia hingga kepada Etika dan Tanggungjawab Sosial dan Korporat yang menjurus kepada isu-isu penting bagi rantau Asia.
Omar turut tersenarai sebagai penerima Anugerah Keahlian Sepanjang Hayat bersama-sama tiga penerima lain iaitu Naib Canselor AlBukhary International University, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Urusan Texchem Corporation, Brian Tan dan Pengarah Urusan Silterra Industries, Tahiruddin Tun Hamdan.
AAM adalah badan bukaa kerajaan sektor akademik yang berpengkalan di USM semenjak tahun 1994, dan sehingga kini telah mempunyai chapter di Jakarta yang mana ia beroperasi daripada Universiti Jakarta.
AAM juga sehingga kini telah berjaya menghasilkan dua jurnal akademik iaitu The Asian Academy of Management Journal dan The Asian Academy Journal of Accounting and Finance, yang kedua-duanya telah berjaya mencapai taraf Scorpus dari aspek ranking.
Objektif persidangan kali ini adalah untuk menggalakkan kolaborasi penyelidikan di antara institusi pengajian tinggi serantau dengan pengamal industri dan juga untuk memberi peluang kepada pembentuk polisi untuk mendapat meklumbals daripada hasil penyelidikan dan percambahan idea dalam sesi pembentangan.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: