Khamis, 20 Oktober 2011

USM BANTU PENDUDUK KUALA NERANG HADAPI BANJIR

usmbanjir
KUALA NERANG, KEDAH 20 OKTOBER – Sediakan payung sebelum hujan. Begitulah pepatah yang selalu digunakan dalam mengingatkan kita agar sentiasa bersedia dan berwaspada tentang sesuatu yang bakal berlaku.
 Pepatah ini jugalah yang digunakan Pusat Kelestarian Global  (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam membantu masyarakat di daerah Padang Terap, Kedah menghadapi bencana banjir yang acapkali melanda kawasan tersebut terutamanya pada musim tengkujuh.
 Pemangku Pengarah CGSS, Prof.Madya Norizan Md Noor, berkata usaha yang mula digerakkan pada bulan April 2011 ini bertujuan mengenalpasti apakah masalah  yang dihadapi mereka dan bagaimana USM dapat membantu mengurangkan kesengsaraan dan ketidakselesaan  mangsa-mangsa banjir  tersebut.
 ‘Hasil daripada kajian mendapati, keperluan yang amat diperlukan adalah seperti kelengkapan dapur, khemah, bot dan jet wash,’ katanya.
 ‘Disebabkan itulah, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Amanah Barangan Bantuan CGSS, USM (JABB-CGSSUSM) yang terdiri daripada pegawai-pegawai daerah dan penghulu  seluruh daerah Padang Terap  yang telah diamanahkan menjaga kesemua barangan-barangan itu ,’ujarnya.
 Selain itu, Norizan menambah antara peranan jawatankuasa tersebut ialah membantu CGSS mengendalikan beberapa kursus yang melibatkan penyelenggaraan bot dan latihan seperti menyelamat mangsa lemas dan kaunseling sebelum dan selepas banjir.
 Sementara itu, menurut Dr.Salfarina Abdul Gapor yang merupakan salah seorang penyelidik yang melakukan kajian tersebut, daerah Padang Terap dipilih sebagai antara lokasi awal kajian dijalankan adalah kerana daerah tersebut merupakan antara kawasan yang akan terjejas teruk semasa musim banjir dan juga kerana pola penduduk di situ yang rata-ratanya adalah dari golongan ‘bottom billion.‘
 ‘Dengan usaha dan bantuan yang dihulurkan ini, diharap USM dapat mengembangkan misi dan visinya yang bukan sekadar sebagai sebuah gedung ilmu, tetapi sebagai satu institusi yang melahirkan graduan berintipati kearah kelestarian terhadap komuniti,’ katanya.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: