Selasa, 4 Oktober 2011

BANGGA TINGGALKAN UNIVERSITI-DZULKIFLI

usmlast
PULAU PINANG, 3 Okt – ``Kejayaan dalam mengeratkan keakraban dalam kalangan rakan-rakan serta warga kampus selama lebih 10 tahun meneraju universiti menjadi kegembiraan buat saya dan saya meninggalkan universiti dengan senang hati, rela hati dan bangga.’’
Demikian kata mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak ketika mengulas perasaannya mengakhiri tugas sebagai pengemudi universiti sejak memegang jawatan itu pada Disember 2000 lalu.
Katanya, beliau turut percaya barisan kepimpinan yang ada pada khususnya Naib Canselor yang baru dilantik, Prof. Dato’ Omar Osman ketika ini berupaya menyambung pengembaraan USM sebagai sebuah universiti berstatus APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan).
``Ini adalah satu tugas yang perlu disempurnakan dan saya mempunyai sepenuh kepercayaan kepada semua yang ada serta tidak wujud keraguan untuk USM terus ke depan,’’ katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan tugas di sini semalam.
Tambah beliau, silaturrahiam dalam kalangan warga kampus khususnya pengurusan tertinggi telah berjaya dieratkan dan kini tiba masanya untuk semua pihak meneruskan usaha supaya sampai ke mercu tanda yg diingini.
`` "Saya tidak ralat untuk meninggalkan universiti ini, selama lebih kurang 40 tahun saya di sini dari mula-mula belajar, bertemu isteri dan anak-anak saya membesar dan belajar di sini, universiti ini ibarat kampung halaman saya.
 ``Mahu tidak mahu saya akan terus menjadi sebahagian dari dunia pengajian tinggi kerana ia telah sebati dengan diri,’’ katanya sambil menyifatkan akan terus berusaha meningkatkan proses transformasi pengajian tinggi negara.
Mengulas pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan, beliau berkata:``Ada banyak memori yang manis mengenai USM dan paling tidak dapat dilupakan adalah usaha saya untuk mengeratkan hubungan serta membina satu pasukan kerja yang akrab berjaya direalisasikan.
``Ketika saya mula memegang jawatan Naib Canselor, keadaan sangat berbeza yang mana wujud jurang dalam kalangan pentadbir khususnya di peringkat atasan dan ia berjaya diminimumkan sehingga terbentuknya satu hubungan yang kukuh pada hari ini.’’
Sementara itu, Omar pula berkata, rekod Dzulkifli dalam memacu transformasi universiti sukar untuk ditandingi dan beliau (Dzulkifli) telah meletakkan satu asas yang kukuh untuk terus USM terus melakar nama di persada diinginkan.
``Beliau telah melaksanakan tugas yang sukar dengan meletakkan USM pada tahapnya hari ini, dan usaha beliau sejak lebih 10 tahun lalu telah memperlihatkan pelbagai kejayaan.
``Tugas kepimpinan pada hari ini hanya untuk meneruskan dan mempertingkatkan asas yang telah diwujudkan dan kita akan meneruskan agenda APEX dengan menggembleng bakat dan potensi dalam kalangan anggota akademik, pentadbir dan para penuntut,’’ jelasnya.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: