Ahad, 2 Oktober 2011

SKU DEDAH PELAJAR ALAM UNIVERSITI

usmselangkah
PULAU PINANG, 1 Okt – Program Selangkah Ke Universiti (SKU) diyakini dapat membantu menaikkan motivasi pelajar sekolah, khususnya yang tidak pernah berpengalaman mempunyai ahli keluarga yang berjaya ke universiti untuk tampil memecahkan tradisi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr, Koh Tsu Koon berkata, program seumpama itu walaupun cuma sehari dilihat sangat memberi manfaat khasnya dalam memberi pendedahan langsung terhadap kehidupan di universiti kepada pelajar sekolah.
Katanya, wujud dalam kalangan pelajar yang masih belum mempunyai saudara-mara yang pernah menyambung pengajian ke universiti dan golongan ini perlu diberi perhatian dalam memastikan mereka tidak tercicir dalam perkembangan arus pendidikan.
``Golongan pelajar ini tiada role model dan mereka tidak begitu sedar tentang kepentingan ilmu dan perasaan apabila berjaya ke universiti.
``Justeru, melalui aktiviti seumpama ini kita memberi peluang dan pendedahan untuk mereka merasai pengalaman berada dalam universiti dan seterusnya memberi keyakinan dan motivasi untuk mereka berusaha mencapai hasrat ke menara gading,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan majlis penutup program SKU di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman.
Lebih memberi makna, kehadiran seorang pelajar dari kalangan masyarakat orang asli, Yama yang berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam merealisasikan harapan bagi menyambung pengajian ke peringkat tertinggi turut membuatkan peserta lebih bertekad untuk berjaya ke universiti.
Sementara itu, Omar pula berkata, pihak universiti sedang menjalankan pemantauan terhadap golongan yang sedikit tercicir daripada arus pengajian tinggi termasuk orang asli dan sebagainya itu untuk memastikan bilangan mereka dapat ditingkatkan di institusi pengajian tinggi.
Katanya, kebiasaannya pelajar dalam golongan ini mula tercicir apabila pengajian menengah memasuki tingkatan tiga dan ia dilihat mencetuskan masalah untuk mereka bersama-sama pelajar lain meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program SKU adalah anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan USM, bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke peringkat universiti yang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 di peringkat zon utara.
SKU juga adalah program sehari yang manan pelajar akan dibawa ke universiti dan menjalani proses penerapan dan pendedahan kampus yang bertujuan bagi mendekatkan mereka kepada kehidupan di universiti.
Melalui program itu, BAKTI dan USM turut berusaha untuk memberi gambaran jelas mengenai matlamat mereka dan memberi semangat untuk para pelajar untuk terus berusah bersungguh-sungguh hingga berjaya ke menara gading.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: