Rabu, 12 Oktober 2011

USM BAKAL WUJUD PANGKALAN DATA KOMPREHENSIF KEARIFAN TEMPATAN

usmlangkawi
LANGKAWI: Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menjadi pelopor dalam usaha mengangkat kearifan tempatan ke tahap yang lebih tinggi menerusi pengwujudan pangkalan data komprehensif bagi mendokumentasi ilmu-ilmu kearifan tempatan di negara ini dan rantau Melayu.
Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM berkata usaha ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan penting bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan dijalankan berhubung ilmu-ilmu tempatan.
“Ini juga kelak akan dapat dijadikan rujukan pelbagai pihak di luar khususnya pencinta ilmu dan ahli akademik. Ini juga akan menjadi sumber rujukan bernilai kepada negara kerana sebelum ini usaha mendokumentasi ilmu-ilmu kearifan tempatan di jalankan secara tidak menyeluruh.
“Usaha ini kita mulakan dengan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan yang diadakan di Pulau Langkawi ini mulai 10-11 Oktober 2011 dan USM, menerusi sebuah sekretariat khas, akan meneruskan usaha mendokumentasi khazanah negara,” kata beliau dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan yang dihadiri oleh hampir 150 peserta dari seluruh negara.
Tambah Ahmad Shukri, semua kertas kerja yang dibentangkan akan diterbitkan dalam beberapa jilid oleh pihak Universiti dan akan diklasifikasikan kepada beberapa alam kepandaian masyarakat terdahulu termasuklah dalam aspek sastera, pertanian, seni budaya kesenian, perubatan.
“Pihak Universiti juga akan meneliti kemungkinan untuk usaha ini dijalankan dengan pihak-pihak yang berpotensi agar usaha ini dapat diperluaskan,”kata beliau lagi.
Terdahulu sebelum itu, Prof. Heddy Ahimsa Putra, pensyarah Antropologi Budaya, Fakulti Ilmu Budaya di Universitas Gadjah Mada Indonesia berkata Malaysia dan Indonesia perlu berkerjasama dalam usaha pengumpulan maklumat ilmu-ilmu kearifan tempatan bagi mewujudkan ensiklopedia pertama kearifan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Kearifan Tempatan dan Jati Diri Bangsa: Pengalaman Indonesia’.
Menurut Heddy, kedua-dua negara banyak berkongsi kearifan yang hampir sama dan kini telah tiba masanya untuk kedua-dua pihak untuk berkerjasama kerana kearifan tempatan sesuatu masyarakat mempengaruhi jati diri bangsa.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: