Sabtu, 22 Oktober 2011

IPPT PERLU JADI IKON INSTITUT PENYELIDIKAN KEBANGGAAN NEGARA

PNIPPT2
PENYELIDIKAN KLINIKAL... Prof. Dato' Omar mendengar penerangan oleh Prof. Dr. Ibrahim Lutfi Shuaib, Pemangku Pengarah IPPT berhubung penyelidikan yang dijalankan di IPPT.
BERTAM, 22 OKTOBER 2011; Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) perlu merangka perancangan teliti agar dapat menjadi sebuah institut penyelidikan yang menjadi ikon kebanggaan negara.
Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata IPPT yang telah dipersetujui penubuhannya sejak pada tahun 2002 berpotensi untuk mencapai status berkenaan jika ia mampu untuk menggunakan segala kelebihan yang ada secara proaktif untuk melonjakkan penyelidikan perubatan negara.
“Lonjakan ini perlu kerana negara amat memerlukan sebuah institusi penyelidikan bertaraf dunia. IPPT berpotensi mencapai hasrat berkenaan jika ia menggunakan segala sumber yang ada dengan optimum. IPPT perlu melihat apa yang diperlukan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di luar sana agar apa sahaja penyelidikan yang dijalankan benar-benar relevan dan memberi kesan kepada masyarakat,” kata beliau.
Prof. Dato’ Omar berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari terbuka IPPT 2011 di Kompleks Klinikal IPPT hari ini.
Tambah beliau lagi, untuk bergerak dengan lebih berkesan, sesebuah institusi penyelidikan itu harus melihat kembali perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kepada penubuhan institusi berkenaan.
“Asas ini seringkali kita lupakan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana perkara asas inilah yang sewajarnya menjadi nadi dalam setiap yang dilakukan. Hanya dengan asas ini kita boleh maju dan melonjakkan diri dalam arus dunia moden hari ini,” kata beliau.
Dalam majlis yang sama, Prof. Dato’ Omar turut menerima sumbangan berbentuk peralatan sokongan perubatan bernilai hampir RM10,000 yang akan disampaikan oleh Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia, sebuah badan NGO yang bergiat aktif di dalam kegiatan amal bagi membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.
Karnival Hari Terbuka IPPT 2011 berlangsung selama 3 hari bermula pada 22 Oktober 2011. Program ini yang bertujuan untuk mendekati masyarakat setempat khususnya di sekitar kawasan Kepala Batas dan Seberang Perai  Utara. Antara aktiviti yang akan berlangsung dalam karnival ini ialah Pameran Penyelidikan, Pemeriksaan Kesihatan, Pemeriksaan Payu Dara, Pemeriksaan Pap Smear, Ceramah Pendidikan Kesihatan, Derma Darah, Forum Perdana, Sesi Dialog IPPT dengan Komuniti dan Industri,Kenduri Perdana dan acara sukan dan riadah. 


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: