Sabtu, 1 Oktober 2011

PENYELIDIK MUDA DIGALAK CEBURI BIDANG PENGKOMPUTERAN-BIOLOGI

usmparkroyal
PULAU PINANG,  27 Sept. – Penyelidik dan saintis muda negara diseru agar lebih memfokuskan pembangunan bidang pengkomputeran-biologi kerana dikatakan mampu mencetus pelbagai peluang keemasan terutamanya penciptaan perisian teknologi maklumat terkini di negara ini.
Menurut Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pemangku Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) idea dan terjemahan perisian komputer berinsipirasikan biologi yang kian pesat di negara-negara seperti China, Jepun, United Kingdom dan sebaginya masih kurang dan perlu diberi perhatian oleh penyelidik di negara ini.
Katanya peningkatan disiplin dan aplikasi era informasi dan teknologi tidak dapat disangkal lagi dan kini tiba masanya penyelidik terutamanya USM bertindak lebih agresif bagi mencambahkan idea dan pelaksanaan bagi membangunkan pelbagai aplikasi komputer berinspirasikan biologi.
“Kita mempunyai pelbagai kepakaran DNA, teknologi membran, Neurosains dan sebagainya. Begitu juga dengan bidang biologi lain yang penuh dengan lambakan idea dan boleh diketengah oleh penyelidik negara.
``Oleh itu, melalui teknologi biologi ini para penyelidik dapat mencipta pelbagai aplikasi komputer termasuk menaiktaraf aplikasi sedia ada,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-6 Bio-Inspired Computing: Theories and Applications (BIC-TA) 2011 di sini hari ini.
Tambahnya lagi, persidangan kali keenam itu diharap dapat membuahkan hasil yang memberangsangkan sekaligus memberi peluang kepada pakar-pakar bidang pengkomputeran menghasilkan aplikasi terkini yang lebih canggih daripada teknologi sedia ada.
Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Prof. Rosni Abdullah berkata bidang Pengkomputeran berinspirasikan Biologi masih belum diterokai sepenuhnya kerana kurangnya platform yang sesuai untuk mengetengahkan idea bagi pelaksanaan perkara terbabit.
Tambah beliau, melalui persidangan seperti ini, pakar-pakar dari dalam dan luar negara dapat berhimpun dan mengetengahkan pelbagai idea secara kritis untuk dilaksanakan sewajarnya bagi mencari inisiatif menaiktaraf teknologi sistem komputer sedia ada.
“Pakar perisian kini berlumba-lumba bagi mendapatkan perisian atau aplikasi yang lebih pantas dan dinamik.
``Atas sebab itulah, golongan ini digalak menerokai bidang Pengkomputeran-Bio kerana ia semakin berkembang dan memberi manfaat kepada pembangun-pembangun perisian,’’ jelas beliau.
BIC-TA buat julung kalinya dibawakan ke negara ini dan dihoskan oleh Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM). Terdahulu, ia turut dihoskan oleh Wuhan (2006), Zhengzhou (2007), Adelaide (2008), Beijing (2009) and Liverpool & Changsha (2010).
Antara topik utama yang dibincangkan dalam persidangan itu termasuk Evolutionary Computing, Neural Computing, DNA Computing, Membrane Computing, Complex Systems and Computational Neuroscience.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: