Khamis, 20 Oktober 2011

LEBIH 60 PERATUS MAHASISWA USM GUNA BASIKAL

Nibong Tebal, 18 Okt. – Hasil kempen kesedaran yang  diterapkan dalam kalangan siswa-siswi  Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai kelestarian alam sekitar, kajian menunjukkan peningkatan lebih 60 peratus dari mereka menggunakan basikal berbanding penggunaan kenderaan bermotor.
Siswa-siswi  USM dikatakan lebih selesa menggunakan basikal untuk bergerak ke Pusat Pengajian atau tempat di sekitar kampus kerana ia menjimatkan kos, mudah diselenggara dan menyihatkan badan.
Menurut Yong Bang Ming, pelajar tahun 3, yang juga Pengarah Projek IronHorse USM, antara faktor utama siswa-siswi  USM terutamanya di kampus kejuruteraan memilih basikal disebabkan oleh kesedaran mengenai pentingnya persekitaran yang bersih di samping dapat mengurangkan pencemaran udara.
“Mereka amat menitikberatkan soal penjagaan alam sekitar terutamanya hal berkaitan kelestarian yang membuktikan USM berjaya menyedarkan siswa-siswinya betapa pentingnya alam kepada kehidupan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian kempen “Bike for Green” oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Abdul Aziz Tajuddin di Nibong Tebal.
Menurutnya lagi, pihak IronHorse juga kini dalam proses membangunkan sistem elektronik bagi menggantikan sistem sedia ada untuk tujuan sewaan basikal yang disediakan oleh USM dengan hanya menggunakan imbasan kad pelajar atau kad staf.
Berucap pada majlis perasmian, Prof. Abdul Aziz Tajuddin berkata beliau amat gembira dengan kejayaan kelab IronHorse yang dianggotai oleh 40 orang siswa-siswi USM yang berjaya menyahut misi USM iaitu mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok.
“Menjadi harapan universiti agar warga USM bersama-sama mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dalam kehidupan seharian dengan menggunakan basikal” kata Aziz.
Kempen ini akan diperhebat dalam  kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah kerana kumpulan ini perlu  didedahkan awal terhadap konsep kelestarian seperti yang dibawa USM.
Projek “IronHorse” sebelum ini dinamakan sebagai “Oh! Basikalku” merupakan kempen yang diadakan setiap tahun untuk mempromosikan kepentingan penggunaan basikal dalam kalangan siswa-siswi. Pelbagai program kempen akan diadakan termasuk kunjungan ke pelbagai institusi pengajian termasuk sekolah rendah dan menengah di sekitar Pulau Pinang.
Kira-kira 200 orang yang menghadiri majlis tersebut  kemudiannya  berbasikal sekitar kampus menunjukkan sokongan kepada kempen ini.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


Tiada ulasan: