Sabtu, 1 Oktober 2011

PROFESOR DATO’ OMAR NAIB CANSELOR USM

usmbaru
Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, 53, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains  Malaysia (USM) untuk tempoh 3 tahun berkuatkuasa dari 28 September 2011 hingga 27 September 2014.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Noordin telah menyampaikan watikah pelantikan beliau di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Omar yang sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) menggantikan Prof. Tan Sri. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak yang telah menerajui USM selama 11 tahun sejak Disember 2000.
Mengulas pemilihannya sebagai Naib Canselor, Omar berkata, beliau amat berbesar hati dan tidak menyangka dirinya diberi kepercayaan untuk memimpin USM.
“Saya yakin dengan cara USM ditadbir sejak sekian lama iaitu dengan mementingkan kerjasama berpasukan dan amalan itu akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa untuk meneruskan kecemerlangan USM bersama-sama dengan seluruh warga universiti.
``Kepimpinan USM juga akan menyambung kesinambungan hala tuju universiti dengan agenda kelestarian serta transformasi pengajian tinggi,’’ katanya. 
Tambah beliau, USM juga akan meneruskan agenda untuk mencipta nama di persada dunia dengan menggembleng bakat dan potensi dalam kalangan ahli akademik, pentadbir dan juga para pelajar.
Beliau turut mengagumi kecemerlangan Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan melihatnya sebagai ikon pemimpin dalam transformasi pengajian tinggi  serta berpendapat rekod yang dicapai oleh beliau sukar untuk ditandingi.
``Bagi pihak seluruh warga USM, kami amat berterima kasih di atas perkhidmatan cemerlang beliau dan mengharapkan Prof. Tan Sri  akan terus memberikan sumbangan kepada universiti dan negara khususnya untuk memastikan program transformasi pengajian tinggi negara akan tercapai,’’ katanya.
Omar memegang jawatan sebagai TNCHEP, sejak Mac 2007, selain pernah menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat, USM dari 2005-2007 dan Penggawa Desasiswa Cahaya, USM (1990-1996).
Beliau yang dilahirkan pada tanggal 2 September 1958 terlibat secara langsung dalam perancangan untuk membolehkan  USM menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008.Anak kelahiran Pulau Pinang itu memulakan kerjayanya di USM pada tahun 1989 sebagai pensyarah bidang Pengurusan Projek di Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (PBP) USM.
Beliau berkelulusan dalam bidang ukur bahan, pengurusan pembinaan dan pengurusan projek dan mempunyai ijazah sarjana muda ukur bahan, sarjana pengurusan pembinaan dan ijazah kedoktoran dalam bidang pengurusan projek, dari universiti-universiti di United Kingdom.
Omar dinaikkan pangkat ke Profesor Madya pada tahun 1994.  Pada Oktober 2008 pula, beliau dinaikkan pangkat ke Profesor di dalam bidang Pengurusan Projek dan masih mengajar dan menyelia pelajar di Pusat Pengajian PBP sehingga kini. 
Omar berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan pengurusan projek dan pernah juga berkhidmat di Kementerian Pendidikan dari tahun 2000-2004 sebagai pengawai khas kepada Menteri Pendidikan Malaysia di dalam bidang pengurusan dan perancangan fizikal pendidikan. 
Beliau juga mempunyai pengalaman luas  dalam pelbagai lapangan termasuk menjadi Pengarah Gantian METEOR Sdn. Bhd. [Open University Malaysia] (2006-7), Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM 2008-2009), Pengerusi ASEAN University Sports Council (AUSC, 2007 hingga kini), Timbalan Pengerusi Sekretariat Timbalan Naib Canselor (bermula 2010) dan Pengerusi Sekretariat IMT-GT University Carnival (2009-2011). 
Beliau juga adalah Pengerusi untuk Projek Agenda Kritikal (CAPS), Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) untuk bidang Pembangunan Holistik Pelajar (HSD) dan Program Perpindahan Ilmu (KTP).  Beliau juga adalah ahli Majlis Profesor Negara.
Bidang penyelidikannya sekarang ialah Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari dan Aspek-Aspek Kelestarian Dalam Organisasi dan pernah mendapat geran penyelidikan dari dalam dan luar negara. 
Beliau juga turut bertanggungjawab untuk mewujudkan Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari di USM yang dinamakan RCE Penang, iaitu satu daripada tujuh pusat kepakaran serantau dalam bidang ini di dunia. 
Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan antara buku terakhir yang diterbitkan ialah dalam bidang Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, Pengurusan Pembinaan dan Emerging Governance and Economic Issues in Construction Industry in Malaysia.
Beliau juga telah dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Negeri (BCN), Pulau Pinang (2009), Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail  (DSPJ), Perlis (2010) serta  Anugerah Tokoh Sukan MASUM (2010). 


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: