Rabu, 12 Oktober 2011

PESTA HOKI PELIHARA KEUNIKAN PERMAINAN PADANG

PULAU PINANG, 9 Okt  - Penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM)-Pulau Pinang (PHA) kali ke-38 ini memperlihatkan pembaharuan apabila permainan tersebut dijalankan sepenuhnya di atas padang berumput.
Naib Canselor USM, Prof. Dato Omar Osman berkata, perkara itu dibuat bagi memelihara keunikan permainan tersebut, sekaligus mengekalkan corak permainan berseni seperti yang diamalkan pemain di era sebelum pengenalan padang sintetik.
Katanya, PHA kali ini tampil dengan konsep ‘back to history’ yang mana keunikan dan kemahiran tinggi pemain dapat dipertontonkan dalam saingan yang melibatkan penyertaan 300 pasukan dari dalam dan luar negara itu.
``Penyertaan tinggi yang berjaya diperoleh sekretariat penganjur membuktikan mereka mampu mengangkat nama baik universiti ke tahap yang dibanggakan dengan semangat kesukarelawan tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PHA USM-Penang di Hotel Eastin, di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengerusi PHA USM-Penang, Bushan Radhiburman Mathavan dan wakil-wakil penaja.
Tambah beliau, PHA USM-Penang dikelolakan sepenuhnya oleh para pelajar USM dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang, Kementerian Pengajian Tinggi dan sebagainya.
``PHA turut menjadi medan persaingan pemain-pemain tempatan serta negara-negara seperti India, Sri Lanka, Australia, Thailand dan sebagainya. Sehingga kini sejumlah 20 pasukan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan dalam edisi kali ini,’’ katanya.
Sementara itu Bushan pula berkata, beberapa anugerah khas seperti pemain terbaik, penjaga gol terbaik, permain terbaik perlawanan akan dikekalkan dan jumlah keseluruhan wang tunai yang ditawarkan kepada pasukan bertanding mencecah RM30,000.
Katanya, ia meliputi beberapa kategori utama termasuk Liga Premier, Terbuka Lelaki Klasik, Institusi Pengajian Tinggi, Veteran Lelaki, Terbuka Wanita Klasik, Terbuka Junior dan sebagainya.
Tambah beliau, PHA USM-Penang turut mendapat tajaan dari penaja utama, Nestle Products Sdn. Bhd berjumlah RM 100,000 meliputi wang tunai dan barangan serta penajaan sampingan dari OBO (m) Sdn. Bhd, Mercian dan VIK Network.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: