Selasa, 19 Julai 2011

PELAJAR DALAM LEMBAGA GOVERNOR USM?

PULAU PINANG, 18 Julai 2011: Perlembagaan baru Universiti Sains Malaysia (USM) yang diwartakan pada 1 Julai yang lalu memperlihatkan kemungkinan penyertaan wakil pelajar di dalam Lembaga Governor (dahulu dikenali sebagai Lembaga Pengarah Universiti).

Menurut Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Perlembagaan baru yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 ini membuka ruang yang banyak kepada penyertaan pelajar di dalam setiap cabang pengurusan universiti termasuklah pada tahap tertinggi ini.

“Buat pertama kalinya, hal berkenaan Pembangunan pelajar turut dimasukkan dan kita melihat perkara ini sebagai suatu perkembangan yang amat positif. Ini termasuklah perkara-perkara yang berhubung rapat dengan Parlimen Mahasiswa yang turut disebut di dalam Perlembagaan ini.

“Semua ini bagi saya adalah pengiktirafan besar kepada pelajar dan pihak Universiti sememangnya mahu agar wujud penglibatan terus pelajar di dalam proses pengurusan Universiti ini. Saya fikir pelajar harus bijak memanafaatkan peluang ini dan ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Penggerak Pembangunan pelajar USM 2011 di Dewan Pembangunan Pelajar, Kompleks Cahaya Siswa hari ini.

Ketika pembentangan kertas kerja bersama oleh Nazru Hj. Ismail, Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM dan Khairul Anuar Che Azmi, Timbalan Penasihat Undang-undang Kanan, Pejabat Perundangan USM, pelajar kini diperlihatkan tidak kurang daripada enam peluang penyertaan di dalam beberapa struktur pimpinan tertinggi di USM.
Walau tidak disebut secara langsung, antara ruang yang memungkinkan penglibatan pelajar yang disebut termasuklah Lembaga Governor Universiti, Jawatankuasa Kebajikan pelajar, Senat Universiti, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Jawatankuasa-Jawatankuasa Pusat Pengajian dan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

“Namun, lantikan-lantikan ini (yang memungkinkan penglibatan pelajar) adalah tertakluk kepada lantikan oleh samada Menteri Pengajian Tinggi, Naib Canselor, Senat atau Majlis Akademik bagi jawatankuasa berkenaan,” kata Nazru ketika sesi pembentangan beliau petang tadi.

Konvensyen Penggerak Pembangunan pelajar USM 2011 melibatkan penyertaan lebih 250 tenaga penggerak pelbagai program BHEPP USM yang terdiri daripada staf dan pelajar di universiti ini.
Program dua hari ini yang bermula hari ini adalah bertujuan untuk membentangkan pelbagai perkembangan terkini usaha pembangunan pelajar di USM serta untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan penambahbaikan di peringkat dasar.

Konvensyen ini turut memperlihatkan pembentangan kertas kerja bertajuk “Kebebasan Pelajar Mengikut AUKU’ oleh Prof. Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Penasihat Undang-undang USM, “Pembangunan Pengurusan Pelajar Ijazah Lanjutan – Cabaran Kepada Universiti’ oleh Abdul Hamid Majid, Timbalan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah, “Kesejahteraan Pelajar dan Isu-Isu Semasa” oleh Azmi Hassan, Ketua Sektor Kesejahteraan BHEPP dan Prof. Madya Mohamad Hashim Othman, “Transformasi Desasiswa” oleh Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Majlis Pengawa-Pengawa, “Idea-Idea Terkini” oleh Prof. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga serta “Keseimbangan Akademik & Kokurikulum” oleh Dato’ Prof. Ishak Hj. Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Sumber daripada: SINI.




Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: