SEKOLAH, UNIVERSITI PUNYAI PERANAN DALAM STM
PULAU PINANG, 22 Jul – Sekolah dan
universiti mempunyai peranan masing-masing dalam melihat dan mengkaji
semula isu yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (P&P)
subjek Sains, Teknologi dan Matematik (STM).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’
Saifuddin Abdullah berkata, situasi semasa memperlihatkan negara sedang
berhadapan dengan beberapa masalah dalam matapelajaran tersebut
khususnya yang melibatkan penguasaan, prestasi dan sebagainya.
Katanya, sekolah memainkan peranan dalam
melihat semula proses P&P termasuk menilai keberkesanan teknik
P&P yang digunakan, masalah yang dihadapi pelajar ketika mempelajari
subjek berkenaan dan juga kelemahan-kelemahan lain yang boleh diatasi.
``Universiti pula berperanan dalam
menumpukan kepada falsafah, sejarah dan kandungan matapelajaran
termasuk menyeru para pensyarah untuk bukan sekadar mengajar subjek
tersebut sebaliknya mengkaji perkara yang diajar,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan syarahan bertajuk Decolonising History: Goobye Euclid
oleh Pensyarah Kunjungan di Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti
Sains Malaysia (USM), Profesor C. K. Raju di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamed Idris, Naib Canselor USM, Prof. Tan
Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan
Pembangunan Pelajar, Prof. Dato’ Omar Osman.
Tambah Saifuddin, ada dua isu utama yang
perlu diberi perhatian dalam menangani perkara itu khususnya bagi
memastikan negara tidak ketinggalan dalam merealisasikan harapan untuk
bergelar sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Katanya, isu kedua adalah untuk melihat
tidak ada lagi individu atau sesiapapun di negara ini berhadapan dengan
masalah keputusan dan pencapaian yang tidak memuaskan dalam
matapelajaran tersebut.
``Pihak kementerian melalui satu
kumpulan penyelidik sedang membuat kajian bagi memastikan isu ini dapat
ditangani dengan baik dan ia diharap boleh mewujudkan kaedah baru yang
lebih praktikal dan berkesan dalam P&P subjek itu,’’ katanya.
Sementara itu, syarahan Decolonising History: Goodbye Euclid
antaranya memfokuskan kepada perbincangan berkenaan ikon barat yang
juga terkenal dengan gelaran Bapa Geometri, Euclid yang dikatakan tidak
wujud dan hanya mainan barat dalam membuktikan kehebatan tamadun mereka.
Syarahan ini juga bertujuan menjadi
platform kepada universiti sebagai sebuah gedung ilmu menyebarkan ilmu
yang diperoleh kesan dari pembacaan dan kajian tokoh-tokoh ilmuan dalam
melihat sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan menyeluruh.
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Artikel dipetik daripada : SINI
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan