Rabu, 20 Julai 2011

Ulasan Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar USM 2011 dari Kaca Mata Seorang Mahasiswa

Seusai tamatnya program Konvensyen Penggerak Pembangunan Pelajar yang julung kali dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) pada hari ini, tiada kata yang mampu saya secara peribadi katakan kepada pihak pentadbiran universiti. Bukan bertujuan untuk membodek pihak-pihak tertentu tetapi saya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk duduk bersama dan membincangkan banyak perkara berkaitan pembangunan pelajar bersama pegawai-pegawai tertinggi dan ilmuan-ilmuan akademik universiti. Bukan sahaja ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11 sahaja yang dijemput, malahan wakil-wakil dari barisan kepimpinan mahasiswa seperti persatuan dan Majlis Penghuni Desasiswa turut hadir ke program ini.


Dalam ucaptama Timbalan Naib Canselor (HEPP), Y.Bhg Prof. Dato’ Omar Osman, beliau menyentuh mengenai status terkini pencapaian APEX USM. Salah satunya adalah USM masih belum dikenali di mata dunia. Pada pendapat saya, penjenamaan USM sangat diperlukan kerana seperti yang kita tahu, banyak anugerah yang dimenangi oleh mahasiswa-mahasiswa USM sama ada di peringkat nasional dan global. Seharusnya, pengiktirafan ini mampu menjadi  penanda aras dalam mempromosikan jenama dan produk USM yang mungkin boleh dikomersialkan dengan lebih meluas. Bagi sebahagian orang, mungkin populariti itu tidak penting tapi tiada salahnya jika jenama dan produk USM itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Terbaru ialah produk berkonsepkan dari sisa ke emas yang dihasilkan oleh trio penyelidik muda dari P.Pengajian Kimia yang mengungguli Anugerah Penyelidikan Terbaik NRIC 2011. Tidakkah kita berbangga dengan pencapaian ini?

Pada hari pertama Konvensyen ini juga terdapat slot daripada Prof. Datuk Emiritius Dr. Shad Saleem Faruqi yang merupakan Penasihat Undang-undang USM. Slot ini sangat membantu terutama sekali kepada mahasiswa sendiri dalam memahami pindaan terbaru dalam AUKU, konsep kebebasan bersuara, demokrasi mahasiswa dan lain-lain.

Selain itu, lebih mengkagumkan apabila tiga orang wakil mahasiswa diberi peluang untuk membuat pembentangan dalam slot Bersama Pemimpin Pelajar. Saudara Idzuan (YDP MPPUSM 2010/11) diberi mandat untuk membentangkan topik Transformasi Mahasiswa, saudara Wafi (mantan YDP MPPUSM 2009/10) membentangkan topik Ketidakbergantungan Pelajar dan saudara Shafiq (Speaker DPP/mantan YDP MPPUSM 2008/09) telah membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara. Secara peribadi, saya dapat melihat ketrampilan dan kredibiliti pemimpin-pemimpin mahasiswa ini ketika mereka membentangkan tajuk masing-masing. Skil-skil pengucapan awam dan cara mereka menjawab setiap persoalan dan kritikan membina daripada pegawai universiti wajar kita contohi.

Selanjutnya, antara slot yg diadakan semasa Konvensyen ini adalah; “Pembangunan Pengurusan Pelajar Ijazah Lanjutan – Cabaran Kepada Universiti’ oleh Abdul Hamid Majid, Timbalan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah, “Kesejahteraan Pelajar dan Isu-Isu Semasa” oleh Azmi Hassan, Ketua Sektor Kesejahteraan BHEPP dan Prof. Madya Mohamad Hashim Othman, “Transformasi Desasiswa” oleh Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Majlis Pengawa-Pengawa, “Idea-Idea Terkini” oleh Prof. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga serta “Keseimbangan Akademik & Kokurikulum” oleh Dato’ Prof. Ishak Hj. Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Konklusinya, saya merasakan wajar Konvensyen seperti ini diteruskan dan menjadi konvensyen tahunan antara pihak pentadbiran universiti dan mahasiswa USM. Peluang platform seperti ini saya percaya belum pernah wujud di mana-mana IPT Malaysia apabila pegawai tertinggi universiti dan mahasiswa boleh duduk berbincang bersama-sama demi memastikan objektif transformasi universiti dan mahasiswa seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Siswa (DPS) dapat dicapai. Penghakupayaan dan pengukuhan dalam transformasi ini diharap dapat menambahbaik sistem yang sedia ada.

Justeru, saya menyarankan kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain supaya tidak cepat melatah sekiranya menghadapi masalah dengan pihak pengurusan universiti. Ketahuilah bahawa mereka juga bertungkus-lumus dalam memastikan kecemerlangan universiti untuk melahirkan mahasiswa USM yang berkualiti dan mampu berdaya saing sejurus tamat pengajian. Saya mewakili barisan MPPUSM 2010/11 juga ingin menyatakan bahawa sebagai perantara antara pihak pengurusan universiti dan mahasiswa, kami akan cuba sebaik mungkin supaya hal ehwal kebajikan mahasiswa sentiasa dalam keutamaan kami. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga kepada BHEPP atas peluang yang diberikan ini.





Artikel Oleh:
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa dan Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar USM 2010/11

Tiada ulasan: