Khamis, 21 Julai 2011

USM bantu sekolah tubuh Kelab Neurosains

KOTA BHARU 19 Julai - Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah dengan menubuhkan Kelab Neurosains di peringkat sekolah dalam usaha memacu pembangunan modal insan negara di bidang sains.

Sebagai permulaan, USM melalui Kampus Kesihatannya di sini, bekerjasama dengan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 bagi menubuhkan kelab tersebut.

Penubuhan kelab itu antara lain bertujuan mendedahkan pelajar dengan ilmu sains neuro yang diharap mencetus minat mereka dalam bidang berkenaan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan Malaysia mencapai Wawasan 2020.

Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof. Datuk Susie See Ching Mey berkata, penubuhan kelab itu mengukuhkan kerjasama antara pihak universiti dengan sekolah dalam mempromosikan pendidikan terutama bidang perubatan dan sains neuro.

"Ia juga sebagai usaha penting dalam menyediaka sumber tenaga kerja bagi memastikan pembangunan dan kejayaan dalam penyelidikan neurosains berterusan pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kelab tersebut di Dewan Siswa USM Kampus Kesihatan di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat USM Kampus Kesihatan, Kol. (B) Dr. Wan Pauzy Wan Ibrahim; Ketua Jabatan Neurosains, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah; Pengetua SMSTMFP, Kamarudin Jaafar dan Guru Besar SK Kubang Kerian 3, Seri Dewi Mohd. Ibrahim.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya berbesar hati kerana USM memilih sekolah berkenaan bagi menubuhkan kelab tersebut yang ternyata menarik minat pelajar.

Jelasnya, Kelab Neurosains sekolah telah mewujudkan blog sendiri iaitu farisneuroscience. blogspot dan antara pengisiannya termasuk memuatkan informasi mengenai sains neuro, kegiatan ahli kelab, sejarah penubuhan, laporan aktiviti dan maklumat berkaitan sekolah.

Seri Dewi pula berkata, penubuhan kelab itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi mempromosikan bidang sains khususnya sains neuro di kalangan murid peringkat rendah.

"Usaha ini menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berpengetahuan dan berketerampilan," katanya.

Artikel dipetik daripada : SINI.


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: