PULAU PINANG, 29 Jul – Satu sistem
sokongan yang menyeluruh disifatkan sangat kritikal untuk diwujudkan
bagi membolehkan golongan wanita memberi tumpuan di sektor kerjaya,
khususnya ketika mereka berdepan dengan kepentingan menguruskan
keluarga.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan
Wanita (Kanita), Profesor Datin Rashidah Shuib berkata, sistem sokongan
tersebut sangat diperlukan bagi memberi ruang kepada golongan wanita
menyumbang dengan lebih baik di sektor kerjaya.
Katanya, antara langkah yang boleh
direalisasikan meliputi dua teras utama termasuk menyediakan satu
kemudahan untuk membolehkan wanita meletakkan anak di bawah jagaan pihak
profesional di tempat kerja.
Katanya, langkah kedua adalah dengan
mewujudkan satu polisi khusus yang melihat kepada kepentingan mesra
keluarga yang memberi ruang kepada wanita untuk menjalankan kedua-dua
tanggungjawab kerjaya dan keluarga tanpa didiskriminasi.
``Isu keluarga adalah sangat penting
untuk diberi penumpuan kerana anak-anak kecil ini juga adalah aset
kepada negara satu hari nanti. Ia terbukti apabila negara yang mempunyai
kadar kelahiran yang rendah kini sedang berdepan dengan masalah besar.
``Justeru, langkah yang lebih efektif
dan berhemah perlu diambil dalam menangani isu ini supaya pada akhirnya
negara beroleh manfaat daripada satu sistem yang memberi fleksibiliti
kepada semua pihak,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
pemberita selepas majlis pelancaran seminar bersama di antara USM dengan
Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia berkenaan topik Towards Good Governance & Leadership: Decent Livelihood For Women yang dirasmikan Pemangku Naib Canselor, Prof. Dato’ Susie See Ching Mey di sini hari ini.
Tambah beliau, statistik menunjukkan
penurunan mendadak bilangan wanita yang menyumbang dalam sektor kerjaya
apabila mereka melewati umur 28 ke 30 tahun.
Katanya, faktor utama yang menyumbang
kepada penurunan itu disebabkan golongan wanita terpaksa menguruskan
infrastruktur untuk menyokong pembangunan keluarga yang turut disifatkan
tidak kurang penting untuk masa depan negara.
``Justeru, kekangan ini menyebabkan
wanita terpaksa korbankan kerjaya mereka dan ini menjadi satu kerugian
buat negara khususnya dari aspek tenaga kerja mahir yang mempunyai
kelayakan akademik lebih tinggi.
``Jika kita lihat di universiti bilangan
wanita diketahui lebih dari lelaki namun apabila sampai satu tahap
setelah mereka memasuki alam kerjaya, jumlah ini menurun dan satu
langkah proaktif perlu diambil bagi menangani isu ini,’’ katanya.
Sementara itu, Susie pula dalam
ucapannya berkata, seminar sehari itu dilihat satu usaha yang baik
khususnya dalam melihat dengan terperinci isu-isu yang berhubungkait
dengan peranan wanita dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus dalam
sesebuah organisasi.
Katanya, peranan universiti khasnya
akademia bukan sekadar melihat isu ini sebagai satu ilmu semata-mata,
sebaliknya mereka perlu menggunakan penemuan dan pengetahuan untuk
membantu negara menangani setiap permasalahan melibatkan isu gender.
``Malaysia dan Indonesia mempunyai
banyak persamaan khususnya dalam isu yang dibincangkan dan diharap
melalui seminar ini, kedua-dua pihak dapat membuat satu rumusan yang
memberi manfaat kepada negara,’’ katanya.
Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan