Khamis, 21 Julai 2011

SIRI NOVELKU NOVELMU: WADAH LESTARIKAN PEMBACAAN NOVEL

PULAU PINANG, 4 Jul – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) menganjurkan program khas yang memberi cabang baru kepada konsep kelestarian iaitu projek melestarikan pembacaan novel di kalangan warga kampus USM.

Projek khas dengan kerjasama kafetaria Anjung Semarak itu dibuat bagi melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kampus dan ia akan dimulakan oleh kepimpinan tertinggi USM iaitu Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak pada hari Rabu, 20 Julai 2011, jam 3.00 petang di Anjung Semarak, USM Pulau Pinang.

Program yang julung kali diperkenalkan ini bertujuan memupuk minat warga kampus berkongsi pembacaan novel dengan orang lain melalui penceritaan semula dengan pelbaga cara yang kreatif dan mengadakan perbincangan novel secara mudah tetapi menarik.

Selain melestarikan pembacaan novel daripada pelbagai genre seperti horor, percintaan, misteri, sci-fi dan sebagainya, program ini turut berperanan bagi menggalakkan golongan tertentu khususnya golongan sains berkongsi pengalaman pembacaan novel kerana ia adalah satu aktiviti intelektual dan psikologikal.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Prof. Sohaimi Abdul Aziz, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, PPIK USM.

Garis panduan bagi menyertai program ini adalah penceritaan mengenai latar belakang novel, latar belakang pengarang, sinopsis, perkara menarik mengenai novel dan lain-lain yang dirasakan pembaca yang boleh dikongsi dengan umum.

Sumber: Laman Web Universiti Sains Malaysia




Oleh:
Mohd Hanif Ahmad
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: