Isnin, 25 Julai 2011

USM TERIMA DANA PENYELIDIKAN RM 34.6

PULAU PINANG, 25 Jul – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima dana berjumlah kira-kira RM34.6 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) khusus bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Dana yang disalurkan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 itu membabitkan beberapa cabang penyelidikan utama termasuk fundamental, kluster penyelidikan berimpak tinggi serta insentif penyelidikan.

Daripada jumlah tersebut, RM24 juta diberikan kepada empat projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Top-Down dan Bottom Up yang mana setiap satu penyelidikan menerima pembiayaan RM6 juta.

Selain itu, sejumlah RM6.5 juta pula diagihkan kepada 59 projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundemental (FRGS) dan kira-kira RM4.1 juta pula diberikan kepada 45 projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS).

Agihan itu adalah sebahagian daripada dana penyelidikan berjumlah RM741 juta yang diperuntukkan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tanah air, bertujuan meningkatkan pencapaian IPT dalam penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi impak kepada negara.

Majlis pelancaran dana tersebut disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memetik kenyataan Mohamed Khaled, beliau berkata, penyerahan dana kepada institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat dapat memperkukuhkan peranan IPT sebagai pemain utama dalam hub inovasi.

Katanya, ia turut menjadi langkah proaktif kerajaan dalam membantu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: