Khamis, 21 Julai 2011

PELAJAR USM WAKILI NEGARA KE YPLC DI BRAZIL

Nor Fasihah Zaaba (kiri sekali), Muhammad Ghaddafi Affendy dan Soo Mun Teng berjaya mewakili negara ke pertandingan Young Person's Lecture Competition (YPLC) 2011 peringkat dunia di Brazil.


PULAU PINANG, 12 Jul – Pelajar tahun pertama ijazah Sarjana dari Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan manis apabila terpilih mewakili negara ke pertandingan Young Person's Lecture Competition (YPLC)  2011 peringkat dunia di Brazil, September depan.

Muhammad Ghaddafi Affendy, 25, terpilih sebagai wakil tunggal negara ke pertandingan berprestij itu setelah berjaya mengenepikan cabaran lima peserta lain yang bersaing merebut tempat dalam YPLC peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Pertandingan yang menyaksikan kepintaran dan kepetahan peserta dalam melontarkan pengetahuan dalam bidang sains kejuruteraan itu diadakan dengan kerjasama Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3).

Pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Mineral,USM itu menyampaikan persembahan beliau bagi memperkenalkankan inovasinya yang bertajuk `Sago Gel Zink Air Battery’ dengan cara tersendiri dan terpilih mendahului peserta di tempat kedua dan ketiga iaitu Nor Fasihah Zaaba 24 dan dan Soo Mun Teng, 26.

Gaddafi berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan muncul juara bagi pertandingan itu kerana berpendapat saingan dari para peserta amat sengit dan kesemuanya menampilkan keunikan tersendiri.

Katanya, kemenangan yang diraih bukan sahaja dilihat sebagai satu kebanggaan dalam pencapaian dirinya malah turut diiringi tanggungjawab besar yang akan digalas dalam mempertaruhkan nama universiti dan negara di Young Person’s world Lecture Competition (YPWLC) kelak.

``Saya akan melakukan lebih banyak kajian dalam memantapkan ilmu pengetahuan dalam inovasi yang dibentangkan dan belajar untuk mengenal pasti audien disamping cuba untuk menyesuaikan pembentangan dengan persekitaran yang bakal  saya hadapi.

``Saya perlu kenali kekuatan diri dan dalam masa yang sama mengenali potensi audien bagi memudahkan saya memberi pemahaman kepada mereka mengenai apa yang diperkatakan,’’ ujar beliau ketika diminta mengulas persiapan yang bakal dilakukan untuk berentap di  Brazil kelak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500, cenderamata dan sijil yang disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Mineral, USM ,  Prof.Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor  di Hotel Equatorial, hari ini.

Dalam ulasan yang diberikan mengenai pertandingan tersebut, Dr.Ahmad gembira dengan komitmen semua pihak khususnya peserta yang disifatkan telah bersedia dengan secukupnya sebelum tampil membuat persembahan masing-masing.

YPLC diperkenalkan sebagai usaha untuk menggilap kebolehan anak-anak muda yang berusia bawah lingkungan 28 tahun dalam menyuarakan idea-idea bernas dalam bidang kejuruteraan yang disampaikan secara penuh kreatif dan berkeyakinan.

Ia turut berperanan sebagai platform untuk mengumpulkan mereka yang berbakat negara ini di bawah satu bumbung sekaligus menggalakkan perkongsian pandangan dan idea  dalam kalangan peserta.

Profesor Abdul  Latif Ahmad dalam ucapan perasmiannya pula berkata, penganjuran YPCL yang masuk edisi kelima ini, telah memberikan satu ruang dan insentif kepada para pelajar  yang mempunyai idea yang bagus disusuli persembahan pembentangan yang baik  dan meyakinkan.

``Program seumpama ini wajar diteruskan pada masa depan lantaran ianya bukan sahaja dapat memenuhi hasrat universiti, malahan turut menyahut seruan kerajaan terutamanya keperluan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran nilai tambah selain daripada cemerlang akademik,’’ katanya.

Beliau turut berkata, kalah dan menang merupakan adat pertandingan dan adalah tidak wajar untuk menjadikannya sebagai kayu pengukur dalam penilaian peserta dalam YPCL kerana semua yang terlibat menjadi peserta  adalah terdiri daripada mereka yang terbaik.

``Pengalaman yang digarap menerusi pertandingan inilah yang perlu disemat dan dinilai sebagai panduan pada masa akan datang selain dapat mewujudkan jaringan dan persahabatan antara peserta dan pihak luar,’’ jelasnya.

Setiap peserta tidak pulang dengan tangan kosong apabila naib johan turut membawa pulang hadiah wang tunai RM300, tempat ketiga RM200, manakala tempat keempat hingga keenam pula membawa pulang wang tunai RM100 yang masing-masing diringi dengan sijil dan cenderamata dari USM.

Sumber: Laman Web Universiti Sains Malaysia



Oleh:
Mohd Hanif Ahmad
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: