Sabtu, 1 Oktober 2011

PUSAT SEHENTI PELAJAR: PPSF PERTAMA SEDIAKAN KEMUDAHAN SELESA

usmfizik
PULAU PINANG, 28 Sept – Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) muncul pusat pengajian pertama yang menyediakan Pusat Pelajar, satu ruang khas dengan kemudahan selesa yang menjadi pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti khusus untuk para pelajar PPSF.
Pemangku Naib Canselor, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, ruang tersebut disediakan bagi memudahkan aktiviti pelajar khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ilmiah seperti mengulangkaji, perbincangan kumpulan, pertemuan dengan pensyarah dan sebagainya.
Katanya, ruang khas yang turut menyediakan kemudahan internet, surau, pantri dan sebagainya itu menjadi tempat untuk pelajar berinteraksi, selain menjadi salah satu agenda dalam memperkasakan para pelajar USM di bawah Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
``Banyak manfaat yang diperoleh dengan tertubuhnya pusat serbaguna seperti ini termasuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengoptimumkan pencapaian mereka di bidang akademik dan nilai tambah yang lain.
``Dalam konteks penubuhan Pusat Pelajar ini, pihak pengurusan pusat pengajian telah memberikan autonomi kepada pelajar untuk menguruskannya sendiri dengan pemantauan oleh jawatankuasa pensyarah,’’ katanya.
Belaiu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pusat tersebut. Turut hadir ialah Dekan PPSF, Prof. Zainuriah Hassan dan Timbalan Dekan (Akademik & Pembangunan Pelajar) PPSF,  Prof. Madya Mohamad Suhaimi Jaafar.
Zainuriah pula berkata, kemudahan yang disediakan itu selaras dengan usaha PPSF untuk memberi kemudahan kepada pelajar dalam memastikan kesinabungan interaksi di antara pelajar dengan kakitangan PPSF khususnya pensyarah.
Katanya, kebiasaannya bagi para pelajar pra siswazah, mereka cenderung untuk tidak kembali ke pusat pengajian setelah melalui minggu-minggu pembelajaran dan lebih memilih untuk menjalankan aktiviti di tempat lain seperti perpustakaan, kafetaria dan sebagainya.
``Ia disebabkan faktor ruang yang terhad. Justeru, kita mengambil langkah proaktif dalam menyediakan tempat khas bagi mereka menjalankan aktiviti serta memudahkan urusan perbincangan dengan para pensyarah, rakan sekuliah dan sebagainya,’’ katanya.
Tambah beliau, setiap tahun jumlah pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang Fizik semakin bertambah dan pihak pengurusan pusat pengajian terpaksa akur dengan unjuran yang ditetapkan oleh universiti untuk kebaikan pelajar.
Katanya, kursus Fizik yang dipecahkan kepada lima program iaitu Fizik Tulen, Fizik Gunaan, Geofizik, Fizik Kejuruteraan dan Fizik Perubatan merangkumi praktis amali makmal dan itu menjadi kekangan utama bagi pusat pengajian dalam menambah bilangan pelajar.
``Dahulu bidang Fizik dilihat kurang popular berbanding bidang lain namun situasi itu kini mula berubah dan ramai pemohon menjadikan bidang ini sebagai pilihan utama mereka dalam mengikuti pengajian pra siswazah di universiti,’’ jelas beliau.
Pusat Pelajar tersebut yang dianggarkan bersaiz lebih 4000 kaki persegi turut memperlihatkan satu lagi sisi kejayaan PPSF dalam melestarikan fasa pembelajaran yang kondusif dalam kalangan pelajar dan meningkatkan motivasi mereka untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.
Ia turut dilengkapi oleh ruang bacaan, ulangkaji kumpulan, ruang rehat, bilik persatuan pelajar, bilik penasihatan dan kemudahan ruang untuk melaksanakan temuduga panel penasihatan dan temuduga kerja dengan pihak industri.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: