Bagi bakal-bakal mahasiswa yang datang daripada keluarga berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan, pengumuman pemberian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang akan disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada hampir 35,664 pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi (IPT) pasti membuat ibu bapa khususnya berasa lega dalam menyediakan kelengkapan buat anak-anak yang bakal menjengah dunia kampus awal September depan.
Saya percaya bahawa kita semua sedar bukan semua antara kita yang datang daripada keluarga yang berkemampuan. Saya sendiri, ketika mahu melanjutkan pelajaran ke USM pada Julai tahun lepas, turut berkira-kira dan berfikir panjang sama ada patut menggunakan WPP atau tidak. Tapi, mengenangkan 2 adik yang lain juga bakal melanjutkan pelajaran dan 3 lagi masih di alam persekolahan, saya nekad untuk menggunakan WPP walaupun menyedari PTPTN akan menolak RM500 bermula pada semester kedua.
Suka saya nasihatkan kepada bakal-bakal penerima WPP supaya menggunakan wang itu dengan sewajarnya. Suatu ketika dulu, sebelum wujudnya WPP, ada ibu bapa yang sanggup berkorban dan bergolok-gadai demi memastikan anak tercinta dapat menyambung pelajaran ke IPT. Sesungguhnya kita sekarang sangat beruntung kerana sekurang-kurangnya dengan WPP, banyak persiapan yang boleh kita buat tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa.
Tidak harus dilupa bahawa bagi kita yang beragama Islam, kita bakal menyambut ketibaan Aidilfitri beberapa hari sebelum sesi pendaftaran di IPT masing-masing. Sudah tentu ibu bapa kita juga perlu memikirkan persiapan untuk menyambut raya. Bayangkan bagaimana ibu bapa kita perlu bekerja-keras dan mengikat perut demi memenuhi persiapan-persiapan ini kerana sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan keperluan anak-anak.
Justeru, manfaatkanlah WPP ini dengan bijak dan rancanglah perbelanjaan dengan teliti. Pentingkan apa yang lebih penting daripada pentingkan apa yang tidak penting kerana pentingkan apa yang lebih penting adalah lebih penting dari pentingkan apa yang tidak penting. Sebagai balasan atas jasa-jasa mereka yang bertanggungjawab dalam memudahkan keperluan kita, belajarlah bersungguh-sungguh dan pastikan mereka berbangga dengan kejayaan kita. Bukan semua orang mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran. Janganlah disia-siakan peluang yang diberi kepada kita.
Sekian.
Pesanan ikhlas,
Wan Zahidah Wan Sulaiman
Exco Pembangunan Mahasiswa & Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia
'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan