Isnin, 8 Ogos 2011

UNIVERSITI PERLU JANA KEWANGAN SENDIRI

usmips


PULAU PINANG, 8 OGOS 2011: Untuk mencapai kemajuan, sesebuah universiti perlu mencari jalan untuk menjana pendapatannya sendiri menerusi pelbagai usaha termasuklah pengkomersilan.

Prof. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kebergantungan sesebuah universiti kepada sumber peruntukan tetap yang diberi sepanjang tahun hanya akan menyukarkan proses pemajuan universiti tersebut.

“Menanti peruntukan bermakna kita akan berhadapan dengan pelbagai sekatan. Apabila ini berlaku, sesuatu projek penyelidikan contohnya mungkin akan tertangguh dalam tempoh yang lama kerana halangan dan pra-syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak yang berkuasa ke atas peruntukan tersebut.

“Jika universiti mempunyai sumber kewangan yang tersediri, universiti ini boleh membuat keputusannya berlandaskan kepada keperluan semasa tanpa perlu melalui sekatan-sekatan tertentu. Ini akan menggiatkan lagi proses percambahan ilmu yang sememangnya perlu berlaku di sebuah universiti,” kata beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Delivering Excellence in R&I@USM’ di Postgraduate Forum Series: Research & Innovation Agenda For Postgraduate Studies di Dewan Kuliah A, USM hari ini.

Tambah beliau lagi, usaha mencapai kecemerlangan sesebuah universiti itu juga berkait rapat dengan faktor bakat, governan dan sumber yang berupaya menentukan kadar perkembangan kemajuan universiti di dalam mencapai objektif, visi dan misinya.

“Bakat ini bukan sahaja perlu digilap, malah juga perlu dipupuk sepanjang masa. Ia perlu kemudiannya disokong dengan pendekatan governan yang positif terhadap pembangunan ilmu dan seiring dengan itu kita perlu mencari sumber-sumber baik dalam bentuk kewangan atau idea baru yang menyokong kepada apa sahaja perancangan yang dibuat.

“Kepincangan salah satu daripada tiga faktor ini akan merencatkan perkembangan universiti dan pengukuhan tiga faktor inilah yang telah dilakukan oleh USM dalam meletakkan asas yang betul ketika USM dipilih sebagai Universiti APEX pertama negara,” tambah beliau lagi.

Seramai lebih 200 peserta mengikuti sesi pembentangan tersebut yang bermula dengan pembentangan kertas kerja oleh Ahmad Al Khowaiter, Pengarah, Bahagian Penilaian dan Perniagaan Baru, Soudi Arabia National Oil Company (ARAMCO) bertajuk ‘Building an Innovation Ecosystem’

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: