Rabu, 29 Februari 2012

ILMU ANTARTIKA: USM SASAR JADI PENYUMBANG UTAMA

usmpolar
PULAU PINANG, 29 Feb 2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) mensasarkan matlamat untuk membantu Malaysia menjadi penyumbang utama di peringkat global dalam pengetahuan dan penyelidikan saintifik di benua kelima terbesar dan paling sejuk di dunia, Antartika.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Asma Ismail berkata, penyelidikan Antartika berupaya memberi gambaran yang amat signifikan dalam usaha saintis memahami proses-proses penting dalam ekologi alam sekitar dan iklim bumi.
Katanya, kajian dan pemantauan secara lebih terperinci terhadap benua Antartika membolehkan saintis mendapatkan pelbagai maklumat, termasuk memperoleh petunjuk atau sistem amaran awal berhubung perubahan penting yang berkaitan dengan bumi.
``Walaupun pada hari ini telah ada agensi mahupun badan-badan yang menyalurkan pengetahuan mengenai pembangunan iklim dan biodiversiti Antartika, namun masih wujud jurang yang memerlukan kerjasama lebih erat di antara negara maju dan membangun.
``Justeru dengan terbentuknya pasukan penyelidikan polar@usm, ia secara tidak langsung menjadi platform dalam menawarkan peluang bagi kerjasama dan pembentukan rangkaian baru di peringkat nasional dan juga global berhubung isu Antartika,’’ katanya.
DSC_0926
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis pelancaran buku polar@usm, serentak dengan penubuhan polar@usm, satu kluster khas yang bertindak sebagai penyelaras kepada usaha meningkatkan pembangunan dan penyelidikan kutub dalam kalangan penyelidik.
Majlis tersebut diadakan serentak dengan penganjuran bengkel polar@usm yang bertemakan Peluang dan Halatuju Penyelidikan Kutub anjuran Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan Pusat Kajian Samudera Pantai USM.
Sementara itu, Pengarah CGSS, Prof. Madya Dr. Norizan Md. Nor pula berkata, USM berharap dapat menubuhkan steses kajian tersendiri di Antartika bagi membolehkan saintis-saintis di Malaysia menjalankan kajian di Antartika dengan lebih sistematik dan efektif.
``Lebih baik jika negara kita mempunyai stesen kajian tersendiri di Antartika kerana ia memberi banyak manfaat khususnya dalam membangunkan satu paltform khas untuk pembangunan ilmu pengetahuan secara lebih menyeluruh,’’ katanya.
Mengulas penubuhan polar@usm beliau berkata, sainstis USM kini sedang giat berusaha bagi menjayakan dan meningkatkan dapatan kajian-kajian berkaitan kutub untuk meluaskan lagi pemahaman terhadap benua tersebut.
``Polar@usm ini turut menyokong usaha penyelidikan untuk menambahbaik polisi sains dan penyelidikan kutub, selain bertindak sebagai platform bagi menyuarakan cadangan dasar dalam pembentukan pelan pengurusan jangka panjang bagi program penyelidkan Antartika’’ ujarnya.
Sementara itu, buku polar@usm yang memuatkan penulisan berkaitan penyelidikan benua antartika oleh saintis-saintis USM merangkumi maklumat seperti latar belakang, siri ekspedisi, rangkaian kerjasama dan sebagainya.
Penyelidikan kutub di USM bermula sejak lebih sembilan tahun lalu dan sehingga kini USM telah melahirkan sepuluh saintis yang telah menyertai sekurang-kurangnya lima ekspedisi ke rantau kutub, selain mewujudkan kerjasama dan rangkaian penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: