Jumaat, 17 Februari 2012

USM NAIB JUARA DEBAT DIRAJA 2012

PULAU PINANG, 16 Feb – Barisan pendebat Universiti Sains Malaysia (USM) muncul naib juara pertandingan Debat Diraja 2012 kategori bahasa Melayu Utama setelah tewas tipis kepada Universiti Malaya (UM) dalam gelanggang akhir di Dewan Budaya USM, di sini semalam.
Selain muncul juara, UM yang diundi sebagai barisan pembangkang turut menyapu gelaran pendebat terbaik menerusi kelantangan pendebat ketiganya, Mohd. Firdaus Ahmad yang memukau penonton dengan hujah pematahnya yang bernas.
Pendebat USM yang bertindak selaku pihak kerajaan dalam tajuk ‘Dewan ini Mencadangkan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dipilih melalui Pilihanraya’ terdiri dari Affiqka Humaira Abdullah, Mohd. Hazry Zainal Abidin, Azimah Ashaari dan Noraninah Murah (simpanan).
Selai pendebat terbaik, UM pula membariskan Muhammad Azzairi Rosle, Chan Kheng Fai dan Mohd. Asri Abdul Jani (simpanan), kesemua mereka adalah pelajar tahun akhir jurusan undang-undang.
Persaingan sengit yang disaksikan lebih 500 peminat debat itu turut disertai pengumuman pemenang bagi debat bahasa Inggeris (utama) yang dijuarai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di peringkat akhir.
Kategori bahasa Arab pula diungguli UiAM yang berjaya menumpaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, pertemuan di antara UM, sebuah universiti premier dan USM yang memegang status APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan) diibaratkan sebagai pertembungan klasik.
Katanya, kedua-dua universiti berada pada kelas tersendiri dan diketahui sejak sekian lama mempunyai reputasi yang cukup baik dalam arena perdebatan.
``Namun yang menjadikan ia bertambah menarik, sejak Debat Diraja diperkenalkan pada tahun 1995, kedua-dua universiti tidak pernah berpeluang bersemuka di pentas akhir dan perkara itu berlaku pada hari ini.
``Justeru, saya merasakan pertandingan akhir ini adalah satu sejarah dan ia amat ditunggu-tunggu oleh semua pihak,’’ katanya dalam sidang media di sini semalam. Turut hadir ialah Pemangku Naib Canselor, Prof. Adnan Hussein.
Adnan pula berkata, secara keseluruhan USM selaku penganjur amat berpuas hati dengan pertandingan yang telah berlangsung selama empat hari itu, termasuk dalam aspek kemudahan dan keselesaan peserta, teknikal, logistik dan sebagainya.
Katanya, tiada masalah besar yang berlaku dan penganjuran debat edisi ke-16 di USM disifatkan berjalan lancar dan mendapat sambutan membanggakan jika dilihat pada penyertaan dari universiti-universiti di negara ini.
``Kejayaan pasukan debat USM muncul di pentas akhir juga memberikan satu signifikasi yang besar kepada universiti secara keseluruhan, selain kemampuan kita untuk menyerlahkan pasukan debat bahasa Arab buat julung kalinya pada tahun ini’’ ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, USM akan terus membudayakan debat dalam kalangan masyarakat kampus dan bercadang untuk melaksanakan pertandingan debat di antara pusat-pusat pengajian.
``Kita akan sentiasa menambahbaikan kemantapan dan kualiti pendebat-pendebat USM. Pengenalan kepada debat antara pusat pengajian ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk kita menambahbaik kualiti sedia ada,’’ katanya.

Sumber: Laman Web USM

Tiada ulasan: