Sabtu, 31 Disember 2011

TIGA SAINTIS MUDA USM TERIMA GERAN BERJUMLAH RM 55,000


PULAU PINANG, 28 Dis -  Dua pelajar ijazah tinggi dan seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dianugerahkan geran penyelidikan sains dan teknologi Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) berjumlah RM 55,000 dalam satu majlis khas yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penganugerahan geran tersebut dibuat bagi membiayai penyelidikan asas yang berkaitan dengan bidang yang diikuti pelajar berkenaan, selain turut menjadi platform khusus dalam menyokong usaha kerajaan melahirkan saintis muda berpotensi.

Menurut satu kenyataan dari Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM, pencalonan bagi mendapatkan geran tersebut dibuat melalui  cadangan dari pihak universiti dan wakil-wakil dari institusi sains dan sebagainya.

Tiga calon USM berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 saintis muda yang layak diberikan geran, antaranya ialah pelajar Ijazah Sarjana dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Teh Yi Lee melalui kajiannya yang bertajuk  Phylogenetic analysis of Aspergillus  species based on internal transcribed spacer (ITS) and β-tubulin gene sequences.

Yi Lee mendapat geran berjumlah RM 20,000 manakala Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Tan Pi Lin turut merangkul geran dengan jumlah yang sama melalui kajiannya, Investigation of the interaction between Synthetic Porphyrin as an Organic Film and Flexible Substrate.

Turut tersenarai, Dr. Pung Swee Yong juga pensyarah dari PPKBSM turut berjaya memperoleh geran berjumlah RM 15,000 bagi penyelidikannya, Photocatalytics study of manganese oxide nanowires with different polymeric phase.

Majlis penyampaian geran penyelidikan tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Polisi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad telah dijalankan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sumber:Laman Web USM 
EXCO PENERANGAN,PUBLISITI & MULTIMEDIA

Tiada ulasan: