Khamis, 22 Disember 2011

YOUTH SEMINAR ON FOREIGN POLICY:JAGA, SETIA DAN RAJIN BERTANYA KUNCI CEMERLANG


PULAU PINANG, 20 Dis – Siswa-siswi yang akan melangkah ke dunia pekerjaan khususnya di sektor awam disaran supaya lebih fokus kepada keperluan tugas termasuk menjaga tempat di mana mereka bekerja, setia dan mengamalkan sikap suka bertanya dalam segala hal.
Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Pengerusi Foreign Policy Studi Group (FPSG), Tan Sri Razali Ismail berkata, ketiga-tiga keperluan itu perlu dipenuhi bagi menjamin kejayaan individu dalam melaksanakan tugas yang digalas.

Katanya, graduan perlu tahu tanggungjawabnya menjaga, setia dan bertanyakan segala persoalan di mana sahaja mereka berkhidmat namun ia perlu dibuat dengan cara yang berdiplomasi dan beretika.
``Kita perlu tahu menjaga dan mengambil tahu tempat di mana kita bekerja, memberi kritikan atas hal-hal yang dirasakan perlu serta menanam semangat kesetiaan yang tinggi.
``Kita juga kena bertanya, baik kepada kakitangan yang lebih senior atau sesiapa sahaja untuk kepentingan menambah maklumat dan pengetahuan.  Amalan ini perlu dipupuk mulai sekarang namun biarlah dengan cara yang betul,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Seminar Belia Mengenai Dasar Luar Negara di USM, di sini hari ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Prof. Madya Dr. Azhari Abdul Karim.

Mengulas penganjuran seminar seumpama itu yang julung kali diadakan, beliau berkata: ``Saya gembira dan terkejut dengan hasil yang telah dibentangkan sepanjang dua hari ini oleh para peserta.
Mereka mempunyai masa depan yang cerah dan saya berpendapat sebahagian besar daripada peserta akan mendapat tempat dalam sektor awam di Malaysia sebaik mereka menamatkan pengajian kelak.’’
Omar pula berkata, para peserta mendapat banyak pendedahan dan pengalaman berharga dengan adanya pakar-pakar dalam bidang berkaitan yang turut serta dalam seminar itu, selain turut memberi nilai tambah kepada mereka dalam mengembangkan pemikiran kritis.

``Kita berharap segala hasil yang dibentangkan dalam seminar dapat dipanjangkan kepada penerbitan supaya ia lebih memberi impak daripada dibiarkan begitu sahaja,’’ katanya.
Dalam pada itu, tiga peserta dipilih sebagai terbaik dalam pertandingan menulis esei yang berkisarkan kepada topik mengenai kepentingan atau peranan belia dalam memberi sumbangan kepada negara khasnya dalam hal-hal berkait dengan polisi luar.

Ketiga-tiga mereka ialah pelajar dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, Nik Mohamed Hussein Nik Ali dari USM dan Mohamad Iqbal Ab Wahab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Seminar ini menghimpunkan para belia dari institusi pengajian tinggi di negara ini yang akan membincangkan dan melihat dengan lebih terperinci isu-isu yang berhubungkait dengan hal ehwal luar negara, termasuk yang menyentuk aspek diplomasi, tadbir urus, demokrasi dan sebagainya.

Sumber: Laman Web USM

MOHD HANIF AHMAD
EXCO PENERANGAN,PUBLISITI DAN MULTIMEDIA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM

Tiada ulasan: