Sabtu, 17 September 2011

INTEPRETASI MAKSUD ADIL SEWAJARNYA-DATO’ SHAHLAN

usmpm
PULAU PINANG, 12 Sept – Perkataan adil perlu diintepretasi dengan tepat khususnya dalam melihat konteks keadilan sosial yang sering dikaitkan dengan hak-hak bagi seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Shahlan Ismail berkata, dalam konsep keadilan sosial, adil lebih tepat dimengertikan dengan meletak sesuatu pada tempatnya, bukan bermaksud kesamarataan semata-mata.
``Dengan maksud itu, perlu diingatkan bahawa negara mengambil berat terhadap kepentingan dan hak masyarakat Malaysia dan sentiasa memastikan nasib semua kaum terbela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk 1 Malaysia di hadapan kira-kira 3,500 pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendaftar bagi mengikuti sesi pengajian untuk sidang akademik 2011/2012.
Tambah beliau, bagi memastikan hak semua kaum terbela, kerajaan sentiasa peka dalam menyalurkan segala bentuk bantuan termasuk dari aspek pendidikan, bantuan kelangsungan hidup dan sebagainya.
``Namun, rakyat perlu memahami dan mengambil kira tahap kemajuan kaum berada pada tahap yang berbeza kerana ia penting bagi memstikan konsep adil tidak disalah erti,’’ katanya.
Shahlan juga berkata, rakyat di negara ini perlu akur dan patuh kepada hak sesama kaun termasuk yang menyentuh hal-hal kebebasan bersuara, berpolitik, amalan agama, adat resam, pendidikan dan sebagainya.
``Nilai-nilai murni ini secara tidak langsung dapat menerapkan teras perpaduan antara kaum, selain menyuburkan sikap hormat-menghormati dan rendah diri di antara satu sama lain’’ katanya.



Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: