Isnin, 26 September 2011

USM – RIKEN TUBUH MAKMAL BERSAMA UNTUK PENGHASILAN UBAT DENGGI, TB DAN HIV DARI SUMBER ALAM

PULAU PINANG, 22 SEPTEMBER 2011: Universiti Sains Malaysia dan Institut RIKEN, Jepun  kini menubuhkan makmal Penyelidikan bersama bagi menjalankan Penyelidikan untuk penghasilan ubat kepada penyakit demam denggi, Tubercolosis dan HIV dengan menggunakan sumber alam.
Makmal bersama ini yang juga dikenali sebagai ‘USM –RIKEN Joint Laboratory for Bioprobe Discovery’  kini mula beroperasi menerusi kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) dan Riken’s Advanced Science Institute.
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor, USM dengan status Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya biodiversity dan memiliki lebih 15% khazanah tumbuh-tumbuhan dunia, negara ini sememangnya mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan pelbagai penyelidikan di dalam penghasilan ubat-ubatan yang boleh memberi manafaat kepada dunia.
“Dunia mempunyai sekitar 250 spesis tumbuh-tumbuhan dan dengan penyelidikan yang terancang, banyak penemuan baru yang boleh kita dapat hanya dengan memberikan tumpuan kepada khazanah alam yang ada. Makmal ini akan menjadi nadi dan sumber kepada penyelidik di negara ini untuk menjalankan pelbagai penyelidikan berteraskan sumber alam.
“Ini juga akan menjadi makmal penyelidikan bersama yang pertama di antara RIKEN dan sebuah institusi luar. Oleh yang demikian, USM amat berbangga dipilih sebagai rakan usahasama pihak RIKEN.” kata beliau selepas merasmikan makmal tersebut secara bersama dengan Prof. Ryoji Noyori, Presiden RIKEN.
Tambah beliau lagi, penubuhan makmal ini juga sejajar dengan Polisi Bioteknologi Negara yang menumpukan kepada usaha pengkomersilan penemuan berkaitan kesihatan berasaskan sumber alam.
Menerusi penubuhan makmal bersama ini, RIKEN akan turut menempatkan penyelidik-penyelidiknya di USM bagi menjalankan penyelidikan secara bersama.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: