Isnin, 26 September 2011

USM LANCAR PROJEK GENOM MANUSIA PERTAMA MALAYSIA

PNGENOM2
PULAU PINANG, 23 SEPTEMBER 2011 -- Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan projek genom manusia yang pertama di negara ini bagi meneliti penanda genetik yang menyebabkan pertumbuhan seseorang individu itu terbantut atau kerdil.
Penyelidikan berkenaan yang dijalankan oleh Pusat Biologi Kimia USM diketuai oleh pelajar sarjana pusat berkenaan, Lee Ling Sze.
Menurut beliau kajian USM itu menjadi langkah penting dalam pembangunan untuk memajukan bidang perubatan dan penjagaan kesihatan lain khususnya bagi bayi yang baru lahir.
"Keadaan atau situasi tersebut yang disebabkan oleh mutasi atau perubahan pada kromosom tertentu ini mungkin boleh diatasi menerusi penyelidikan yang dijalankan bersama sekumpulan penyelidik USM sejak 2009.
"Selepas mengetahui kromosom yang mengalami perubahan, mungkin ia boleh digunakan untuk mengatasi dan merawat penyakit yang dihadapi seseorang secara lebih berkesan selain mengelakkan genetik itu pada generasi masa depan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.
Menurut Ling Sze setakat ini kajian itu mendapati keadaan kerdil yang dihadapinya bukan disebabkan kerosakan pada kromosom yang dikenali 'fgf3' yang sering dikaitkan dengan Akondroplasia.
"Gen kromosom saya normal dan tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan, sehubungan itu saya mahu mencari puncanya dengan lebih lanjut," katanya sambil menyasarkan kajian itu dapat disiapkan akhir tahun ini selain berhasrat menerbitkan satu jurnal sains untuk rujukan pelbagai pihak.
Projek perintis itu turut mendapat sokongan Joint Genome Institute- Los Alamos National Laboratory (JGI-LANH) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dalam sidang media yang sama, USM yang diwakili Naib Canselornya Prof Tan Sri Dzulkifli Razak turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan JGI-LANH yang diwakili oleh Ketua Kumpulan Sains Genomics dan Pengarah Pusat Jabatan Tenaga JGI-LANH Chris Detter sambil disaksikan oleh Dato’ Seri Idris Jala, menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang hadir bagi mengumumkan penemuan tersebut. 

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: