Selasa, 27 September 2011

3 EMAS DARI PENYELIDIK USM SEMPENA PECIPTA 2011

pencipta_2011
PULAU PINANG, 26 Sept – Tiga penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul pingat emas dalam Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2011 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyelidik berkenaan, Prof. Zainal Arifin Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral menyumbang emas melalui produk penyelidikan bagi kategori Sains Gunaan iaitu High Performance of Al203/Y-TZP- filled PMMA Denture Base.
Selain beliau, dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Prof. Madya Kamal Zuhairi Zamli menerusi produk xGTWay: Parallel Java Unit testing Execution Tool With Task Resumption Facility dan Prof. Madya Ir. Dr. Cheong Kuan Yew dengan produknya, Chemical Vapor Growth of Nanowires.
Turut mengungguli malam anugerah tersebut ialah Prof. Madya Dr. Azizi Bahauddin menerusi rekaan tapak pameran yang berjaya merangkul Best Booth Award.
Selain emas, USM yang menghantar 14 produk penyelidikan daripada 253 yang dipertandingkan berjaya membawa pulang lima perak dan dua gangsa.
PECIPTA 2011 adalah salah satu aktiviti di bawah naungan Kementerian Pengajian Tinggi dan ia dijalankan secara dwi tahunan dan pada tahun ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dipertanggungjawabkan untuk menghoskan pertandingan berprestij tersebut.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah merasmikan PECIPTA 2011 yang bertemakan Invigorating Innovation in the New Economic Model itu.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: