Sabtu, 17 September 2011

GRADUAN PERLU KUASAI BAHASA INGGERIS

usmkejuruteraan
PULAU PINANG, 14 Sept – Graduan universiti disaran supaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik khususnya dalam pertuturan bagi menjamin peluang yang lebih cerah dan berdaya saing dalam sektor kerjaya.
Presiden Pesekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) merangkap Ahli Gabenor Universiti Sains Malaysia, (USM), Tan Sri Mustafa Mansur berkata, keperluan menguasai bahasa antarabangsa itu sangat kritikal pada hari ini.
Katanya, sektor kerjaya pada hari ini semakin mencabar dan graduan tidak akan berjaya menempatkan diri sekiranya tidak mempersiapkan diri dengan kemahiran pertuturan dan penguasaan bahasa selain dari bahasa Melayu.
``Graduan perlu memastikan mereka memiliki nilai modal insan yang luar biasa dan berpengetahuan tinggi, selain menyerlahkan  bakat dan kepintaran  tajam untuk membantu negara terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan sambutan ulangtahun penubuhan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) USM ke-25 di Nibong Tebal baru-baru ini.
Turut hadir ialah Wakil Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, Dekan PPKBSM, Prof. Ahmad Fauzi Mohd Noor dan sebagainya.
Mengulas penubuhan PPKBSM, beliau berkata, USM berjaya menerajui satu usaha yang dapat memberi pulangan yang menguntungkan dalam aspek ekonomi khususnya kepada negeri-negeri di Wilayah Utara.
Katanya, penubuhan PPKBSM juga telah membuktikan negara mampu mengeluarkan jurutera-jurutera dan penyelidik dalam bidang bahan dan sumber mineral yang berpengetahuan tinggi dan bertauliah.
``Sehingga kini keseluruhan garduan dari PPKBSM telah berjaya menempatkan diri dalam sektor kerjaya dan ini menunjukkan prestasi yang mengagumkan.
``PPKBSM juga begitu menonjol khususnya dalam meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa melalui pelbagai penemuan dalam penerokaan bahan-bahan baru seperti nano, komposit dan sebagainya,’’ katanya.
Tambahnya, PPKBSM turut menyumbang ke arah memperkasakan teknologi ‘Buatan atau Inovasi Malaysia’ dalam usaha menangani cabaran perniagaan di persada antarabangsa yang amat kompetetif dan menuntut untuk sentiasa berada di depan.
Dalam pada itu, sembilan memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangan denga pelbagai rakan strategik di peringkat nasional dan antarabngsa dalam usaha PPKBSM memastikan pusat ilmu itu terus berkembang dan kekal relevan.
Antara institusi yang menjalin kerjasama dengan PPKBSM termasuk Asian Composites Manufacturing Sdn. Bhd, Institute of Materials Malaysia (IMM), International Colllege of Advance Technology Sarawak dan Seagate International (Johor) Sdn. Bhd.
Turut tersenarai adalah Hoya Electronis Sdn. Bhd, Sibelco Malaysia Sdn. Bhd, Societe Generale de Surveillance, Toyohashi University of Science and Technology dan University of Applied Sciences Regensburg.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan: