Selasa, 13 September 2011

GEMBIRA BERADA DI MALAYSIA - PELAJAR ANTARABANGSA

usmstudent


PULAU PINANG, 7 Sept – Rata-rata pelajar dari luar negara yang ditemui ketika sesi pendaftaran pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) sidang akademik 2011/2012 menyifatkan Malaysia khususnya Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik untuk melanjutkan pelajaran.

Malah, ada yang berpendapat, walaupun tiada pengalaman berkunjung ke negara ini namun keramahan masyarakat dan kemudahan infrastruktur di negara ini menjadikan kehidupan mereka tidak jauh berbeza dengan di tempat sendiri.

Rika, 20,  dari Osaka, Jepun berkata, Malaysia khasnya USM adalah satu tempat yang amat sesuai bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian di tempat asing ekoran pelbagai kemudahan dan kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan.

Beliau yang mengikuti program pengajian Bahasa dan Ilmu Kemanusiaan berpendapat, suasana di USM sangat menarik dengan kehadiran pelbagai bangsa merentasi negara dan ia dapat menambah soft skil mereka termasuk dari aspek pertuturan dan sebagainya.

Selain beliau, Sandro, 22 dari Jerman Barat pula menambah, biarpun cuaca di sini sedikit panas berbanding di negaranya, namun beliau gembira kerana dapat menyesuaikan diri dengan cepat, selain sudah mula jatuh hati pada makanan-makanan yang terdapat di negara ini.

``Saya tidak berasa terasing duduk di negara ini ditambah pula dengan keramahan rakyat serta makanan yang lazat yang memenuhi selera. Walaupun baru tiba namun saya merasakan Pulau Pinang ibarat rumah kedua bagi saya,’’ jelas beliau.

Pendapatnya itu turut disokong rakan dari China, Li Chong, 20 yang menyifatkan keputusannya untuk melanjutkan pengajian di negara ini sangat tepat dan berbaloi.

``Semuanya yang disediakan di sini amat mengujakan dan saya gembira untuk meneruskan pengajian dan berharap akan dapat berkunjung ke sini lagi apabila tamat pengajian kelak,’’ jelasnya.

Sementara itu, pendafataran pelajar bagi sidang akademik 2011/2012 menyaksikan kehadiran lebih 3,500 pelajar meliputi ketiga-tiga kampus iaitu Kejuruteraan di Nibong Tebal Pulau Pinang serta Kampus Kesihatan, Kelantan.

Selain pelajar antarabangsa, beberapa pelajar istimewa USM termasuk aktor terkenal tanah air, Mubarak Majid dan dua atlet kebangsaaan dari sukan hoki dan karate iaitu  Raja Mohd. Hafizi Raja Mohd. Effendi dan Lim Chee Wei turut mendaftar sebagai warga kampus.

USM turut menerima dua pelajar istimewa kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan, Mohd. Aziz Abidin dan M.Ruvindran, masing-masing bakal mengikuti pengajian dalam bidang Sastera.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak turut meluangkan masa beramah-mesra dengan para pelajar baru serta ibu bapa yang memenuhi kampus untuk sesi pendaftaran, di sini semalam.

Artikel dipetik daripada : SINI


Oleh:
Chuah How Siang
Exco Penerbitan, Publisiti & Informasi
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11
Universiti Sains Malaysia


'KELESTARIAN TERAS PEMBANGUNAN INSANIVERSITI'

Tiada ulasan: